5 September 2022, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Mohamad Shahidan menjadi pembicara dalam “Rancangan Tabik Dia: Jauhari Juga yang Mengenal Manikam” untuk menceritakan pengalamannya dalam bidang penyelidikan dan editorial. Beliau telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lebih daripada 30 tahun. Sepanjang tempoh perkhidmatannya itu, beliau banyak mengumpul pengalaman kerja sebagai penyelidik sastera, editor majalah dan editor buku sastera. Beliau juga sering membentangkan kertas kerja, menulis artikel tentang sastera dan membimbing bengkel yang berkaitan dengan sastera.

Kurik Kundi Merah Saga adalah antara kerja penyelidikan dan transkripsi yang telah dihasilkan semasa bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP. Berkongsi pengalaman dalam kerja penyelidikan, beliau menyatakan perkara yang penting ketika kerja lapangan dijalankan ialah informan kerana informan dapat membantu penyelidik untuk memperoleh dapatan kajian yang dijalankan.

Beliau juga berpengalaman luas dalam kajian tentang pantun. Beliau menyatakan pantun merupakan puisi tradisional milik bangsa Melayu yang dapat digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan. Walau bagaimanapun, pantun tidak bersifat kemelayuan samata-mata kerana bahagian maksudnya memancarkan nilai kesejagatan dan relevan dalam setiap zaman. Pantun juga mempunyai data atau korpusnya yang tersendiri untuk dijadikan bahan analisis pemikiran dan perasaan masyarakat Melayu.

Pada tahun 2009, beliau telah menghasilkan buku bertajuk Mencintai Pantun. Buku ini bermula dengan tercetusnya idea untuk mengumpul slaid hasil daripada bengkel berkaitan dengan pantun. Asas buku ini dapat membantu pembaca mencipta pembayang pantun selain menerangkan tentang unsur alam yang telah dikategorikan dalam penghasilan pantun.

Beliau turut berkongsi tentang sastera lisan yang dibahagikan kepada dua, iaitu berbentuk prosa dan puisi. Dalam tradisi sastera lisan tersebut, ada cerita teladan, lipur lara, binatang, jenaka, mitos dan legenda manakala puisi pula terdiri daripada pantun, syair, gurindam, seloka dan peribahasa.

Selain itu, beliau juga turut menceritakan pengalaman indah sepanjang berkhidmat di DBP. Antaranya termasuklah dilatih menjadi seorang penyelidik dan editor oleh penyelidik dan editor yang lebih berpengalaman ketika itu. Kebebasan yang diberikan semasa berkhidmat juga dapat membantu beliau untuk mendapat banyak maklumat, terutamanya dalam kerja melibatkan penyelidikan dan editorial.

Beliau berpandangan bahawa sumbangan sastera dalam peradaban manusia sangat besar kerana subjek ini mendekati kehidupan manusia yang berfikiran dan berperasaan. Tambahnya lagi, untuk membentuk bangsa yang mempunyai jati diri, penghayatan sastera amat diperlukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.