Oleh Norma Sanid
26 Ogos 2022, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) telah mengadakan Wacana Perkembangan Persatuan Penulis Sastera Sabah pada 25 Ogos di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Menurut Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah yang mewakili Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa wacana tersebut merupakan kesinambungan daripada wacana Siri 1 yang telah diadakan di DBP Cawangan Sarawak pada 6 Julai lalu. Tujuan wacana ini diadakan adalah untuk menghasilkan korpus penulisan kajian tentang perkembangan persatuan penulis sastera di Malaysia selain menyebarluaskan maklumat hasil penyelidikan tersebut kepada khalayak melalui wacana atau seminar dalam pelbagai medium sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Sesi bergambar bersama-sama dengan YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah (enam dari kiri).

Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa walaupun tertubuhnya pelbagai persatuan di negara ini, namun matlamatnya masih sama, iaitu menjadi wadah penyatuan penulis di peringkat negeri, kebangsaan malahan antarabangsa. Kolaborasi ini haruslah diteruskan supaya persatuan-persatuan bahasa dan sastera ini terus lestari dan diperkukuh.

YBhg. Tuan Haji Hamzah Hamzani yang merupakan Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dalam ucapan penghargaannya pula mengujarkan,

Saya menyeru penulis dan pengkarya supaya merekodkan segala perkembangan dan sejarah persatuan supaya kita dapat mendokumentasikan bahan-bahan ini menjadi rujukan lengkap untuk generasi seterusnya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap segala persatuan yang ada sendiri terus berusaha memantapkan bakat-bakat penulis, terutamanya di Sabah.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup.

YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah pula dalam ucapan penutup wacana tersebut menyatakan supaya majlis-majlis tradisi keilmuan diteruskan agar dapat melahirkan penulis yang mempunyai sahsiah yang tinggi seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang berfikiran jauh ke hadapan.

Selanjutnya, dalam ucapannya juga beliau menegaskan bahawa kearifan tempatan yang terdapat di negeri Sabah ini harus dijadikan kajian dan disebarluaskan serta memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah sendiri amat prihatin dan sangat mendukung aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.

YBhg. Datuk Haji Jamdin Buyong ketika menyampaikan ucapan ucap utama.

YBhg. Datuk Haji Jamdin Buyong yang merupakan Tokoh Pejuang Bahasa 2020 dalam ucapan ucap utamanya pula menyatakan sedemikian:

Sejak tahun 1930-an, pada pandangan saya tidak pernah wujud lagi persatuan yang benar-benar wujud sebagai persatuan penulis sastera. Hal ini kerana peneraju dan ahli persatuan pada ketika itu bukanlah terdiri daripada penulis sastera sepenuhnya.

Beliau juga menjelaskan serba sedikit tentang asal usul sejarah perkembangan persatuan-persatuan di Sabah. Menurutnya, persatuan dan penulis di Sabah ini sentiasa bersifat sandar-menyandar. Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Angkatan Gaya Baru (AGABA), dan Persatuan Penulis-penulis Sabah (PERPESA) merupakan antara persatuan yang bergiat aktif pada waktu itu. Beliau bersama-sama Dzulkifli Abd.Hamid dan Noraini Haji Salleh merupakan teraju utama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah.

Sesi pembentangan kertas kerja sedang berlangsung.

Pada awal penubuhan BAHASA, mereka tidak meletakkan perkataan “sastera” bagi nama badan ini bertujuan mengelakkan tanggapan umum bahawa badan ini dikhususkan untuk kegiatan sastera demi kepentingan para penulis sastera semata-mata. Sebanyak 27 buah cawangan BAHASA berjaya ditubuhkan di setiap daerah di Sabah dengan ribuan ahlinya. Jatuh bangun persatuan-persatuan yang ada di Sabah merupakan sejarah yang tidak boleh dilupakan.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Sesi Pembentangan Kertas Kajian. Sesi pembentangan ini dikemudi oleh Encik Rusdi Awang, iaitu Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah. YBhg. Datuk Jasni Matlani membentangkan kertas kerja bertajuk “Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)”. Beliau serba sedikit menyambung penerangan sejarah penubuhan BAHASA dalam pembentangannya. Ketika menerajui badan BAHASA, beliau menambah perkataan “sastera” pada nama BAHASA, iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah. Beliau juga menukar logo BAHASA kepada logo baharu yang lebih relevan, dan nama jawatan Yang Dipertua juga ditukar kepada Presiden BAHASA.

Dalam tempoh 10 tahun dari tahun 1963 hingga 1973, Sabah masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Namun, selepas tempoh itu, Tun Datu Haji Mustapha bertegas menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di Sabah. Beliau menggunakan perkataan Malaysia supaya mudah untuk diterima oleh rakyat Sabah dan Sarawak pada ketika itu. Bagi beliau, tiada isu untuk menggunakan perkataan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia kerana rohnya tetap satu dan demi perpaduan rakyat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh YBhg. Prof. Dr. Harun Haji Pudin yang bertajuk “Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA)”. Beliau menceritakan bahawa penubuhan akhbar tempatan, iaitu NADI LABUAN menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penulisannya.

Menurutnya, PERWILA ditubuhkan untuk menyatukan penulis-penulis Wilayah Persekutuan Labuan, memperjuangkan hak-hak dan kepentingan penulis, mempertingkatkan bakat penulis dengan mengadakan kursus dan bengkel, memperluas lapangan bahasa dan sastera, serta bekerjasama dengan badan penulis dari dalam dan luar negeri. Beliau berharap melalui PERWILA, maka lahirlah penulis-penulis di Labuan yang bersemangat dan meneruskan perjuangan PERWILA.

Pembentang kertas kerja berserta dengan tetamu kehormat dan para hadirin merakamkan gambar kenang-kenangan.

Manakala, kertas ketiga yang berjudul “Ikatan Penulis Sabah:Wadah Penulis Muda (IPS)” disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Sukor Haji Usin@Hussin. Beliau menceritakan asal usul sejarah penubuhan Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang merupakan wadah bagi penulis muda. IPS ditubuhkan pada 23 Februari 1990. Antara tujuan penubuhannya ialah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, meningkatkan mutu sastera berbahasa Melayu di Sabah sebagai teras bahasa kebangsaan, menggalakkan penghasilan karya sastera berunsur pembangunan insan, menerbitkan karya-karya ahli, menganjurkan bengkel, diskusi dan seminar bertemakan sastera, menganjurkan sayembara sastera dengan pihak-pihak tertentu dan memperkenalkan sastera Sabah ke peringkat kebangsaan dan serantau.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.