Oleh Putraery Ussin
22 Ogos 2022, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bertam –Hajat Ain Shakinah untuk mewakili negeri Pulau Pinang tercapai. “Saya tidak berjaya pada tahun lepas untuk ke peringkat kebangsaan. Oleh itu, saya melakukan persediaan lebih awal pada tahun ini. Saya bersyukur kerana dinobatkan sebagai pemenang,” ujar Ain Shakinah selepas diumumkan sebagai juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringat Negeri Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Myden Mall Bertam, Kepala Batas pada 20 Ogos 2022.

Beliau merupakan seorang pendidik yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang, Teluk Ayer Tawar dan mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris. Ternyata sajak yang berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini” karya Mohd  Ghazali Taib telah membawa tuah kepada beliau untuk menggondol hadiah wang tunai RM1000, sijil dan hadiah iringan sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Wilayah Utara (DBPWU).

Tempat kedua pula menjadi milik Umi Saidatul Hassan. Beliau yang juga merupakan seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Minyak dan mengajar subjek Pendidikan Khas itu, menerima wang tunai RM700 berserta sijil dan hadiah iringan. Sajak yang dideklamasikan oleh beliau berjudul “Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa” karya Shamsudin Othman.

Tempat ketiga sayembara tersebut menjadi milik Muhammad Afif Zulhusni Azhar. Beliau menerima wang tunai RM500 berserta sijil dan hadiah iringan. Sajak yang dideklamasikan berjudul Citra Jiwa Merdeka nukilan Abdul Karim Gulam. Beliau yang baru sahaja tamat belajar peringkat Ijazah Sarjana Muda menganggap sayembara tersebut sebagai rezeki permulaannya untuk mencari pekerjaan.

Peserta lain iaitu Nor Alia Aqilah Mohamad Fauzi, Putera Nur Ikhwan Tarmizi, dan Wan Nor Azlin Wan Abaid masing-masing mendapat hadiah sagu hati berupa wang tunai RM200, sijil dan hadiah iringan.

Sayembara ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dan Mydin Mall Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Acara tahunan ini bertujuan untuk memilih seorang peserta yang akan mewakili negeri dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringat Kebangsaan yang akan diadakan pada September 2022.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah DBWU, Encik Rahimi Arifin, diiringi oleh Pengurus Besar Mydin Mall Bertam iaitu Encik Megat Hilmi Megat Hashim dan Ketua 1 2PNP Dato’ Haji Anuar Haji Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.