8 Ogos 2022, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pantun merupakan khazanah puisi masyarakat Melayu yang tertua. Bermula sebagai puisi lisan yang dicipta oleh masyarakat yang buta huruf, pantun berkembang sebagai puisi bertulis apabila masyarakat Melayu telah mengenal huruf. Pantun yang terus berkembang dalam masyarakat Melayu moden ialah pantun empat kerat. Pantun dua kerat, enam kerat, lapan kerat dan sepuluh kerat pula makin tidak mendapat tempat dalam kehidupan moden.

Dr. Mohamad Shahidan dalam Bicara Karyawan telah membicarakan pantun empat kerat yang sama rima atau pantun yang berakhir dengan rima /a/,/a/,/a/,/a/. Dalam pembicaraannya itu, beliau telah menjelaskan bahawa penganjur pertandingan berbalas pantun di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor awam dan sektor swasta sering menetapkan syarat rima akhir pantun ialah /a/,/b/,/a/,/b/ kerana menganggap rima akhir yang sama merupakan rima akhir syair dan rima akhir yang sama juga dianggap rendah mutunya.

Dr. Mohamad Shahidan ketika membicarakan tentang rima akhir pantun.

Dalam bicara karyawan yang berlangsung sekitar 30 minit itu, beliau menjelaskan bahawa berlakunya salah tanggap terhadap rima akhir disebabkan oleh pihak penganjur didedahkan pada bentuk pantun dan bentuk syair yang kurang tepat. Biasanya yang dijelaskan ialah pantun dan syair terdiri daripada empat baris serangkap. Dua baris awal pada pantun merupakan pembayang dan dua baris akhirnya merupakan maksud. Sementara setiap baris dalam setiap rangkap syair merupakan isi. Rima akhir pantun dinyatakan sebagai /a/,/b/,/a/,/b/ dan rima akhir syair /a/,/a/,/a/,/a/. Pihak penganjur mungkin berpegang pada penjelasan ini dan akhirnya tidak memasukkan rima akhir yang sama dalam syarat pertandingan berbalas pantun.

Tindakan pihak penganjur ini akan memberikan kesan yang tidak baik kerana menyempitkan rima akhir pantun dan lama-kelamaan generasi moden hanya akan mencipta pantun dengan rima akhirnya  /a/,/b/,/a/,/b/.

Beliau menjelaskan lagi bahawa sejarah puisi Melayu tradisional wajar disusuri dalam memahami bentuk pantun dan syair. Pantun muncul sejak zaman masyarakat Melayu masih belum mengenal huruf dan diungkapkan oleh semua lapisan masyarakat. Sejak kemunculannya lagi telah ada pantun yang berima akhir /a/,/a/,/a/,/a/ sebagai variasi daripada pantun yang berima akhir /a/,/b/,/a/,/b/. Syair pula ialah puisi bertulis yang mula muncul pada abad ke-17 dan bererti syair muncul jauh lebih kemudian daripada pantun. Oleh itu, syairlah yang mengambil bentuk rima akhir pantun /a/,/a/,/a/,/a/ dan hal ini akan lebih jelas apabila kedua-dua genre puisi Melayu tradisional ini dibicarakan dalam konteks pengaruh.

Dalam pembicaraannya juga beliau menolak pandangan yang mengatakan bahawa pantun yang rima akhirnya /a/,/a/,/a/,/a/ rendah mutunya dengan alasan rima akhir hanyalah syarat asas penciptaan pantun. Tinggi rendahnya mutu rangkap pantun itu ditentukan oleh unsur bunyinya, diksinya yang tidak langsung dan hubungan antara pembayang dengan maksud. Beliau telah memberikan contoh rangkap pantun yang rima akhirnya sama bagi menguatkan pandangan yang dikemukakannya.

Beliau bersama-sama dengan Dr. Faezah Muhayat telah menyusun sekitar 1000 rangkap pantun tradisional yang rima akhirnya /a/, /a/, /a/, /a/ sebagai usaha mengetengahkannya ke dalam masyarakat dan sekali gus bertujuan mengelakkan salah tanggap terhadap rima akhir pantun. Kumpulan pantun ini dengan judulnya Pantun Sama Rima dijangka akan diterbitkan oleh DBP dan diharapkan dapat mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh kumpulan-kumpulan pantun yang telah diterbitkan.

Tonton bicara tersebut di sini:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.