1 Ogos 2022, 01:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JITRA – “Saya berasa terkejut dan tidak menyangka bahawa saya memenangi pertandingan ini. Saya berasa bersyukur kerana puisi yang saya deklamasikan dipilih sebagai juara bagi pertandingan ini,” ujar Zaheera Ibrahim selepas diumumkan sebagai juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringat Negeri Kedah 2022 yang diadakan di Dewan Al-Hawa, Masjid Al-Shahab, Kepala Batas, Jitra pada 29 Julai 2022.

Zaheera Ibrahim yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah, telah mendeklamasikan puisi Citra Jiwa Merdeka, karya Abdul Karim Ghulam bagi pertandingan tersebut. Menurutnya, puisi yang dibawa itu mempunyai kata-kata semangat yang memberikan kekuatan dan keyakinan kepadanya ketika membuat persembahan dalam pertandingan itu. Pada tahun 2021, beliau juga turut merangkul gelaran juara dalam pertandingan yang sama yang telah diadakan secara dalam talian.

Zaheera Ibrahim merupakan seorang ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan pernah mewakili Kedah pada tahun 2015, 2016, 2017 dan 2021 bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringat Kebangsaan. Beliau mendapat tempat ketiga pada tahun 2016 dan naib juara pada tahun 2017.

Pertandingan ini dianjurkan secara tahunan oleh ASASI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) untuk memilih seorang peserta yang akan mewakili negeri bagi peringkat kebangsaan.

Pada tahun ini, seramai enam orang peserta yang mempunyai latar kerjaya berbeza telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Naib johan pertandingan disandang oleh Fitrah Adilah Abdul Rahman, 29 tahun dari Sungai Petani menerusi puisi yang sama, Citra Jiwa Merdeka (Abdul Karim Ghulam) manakala tempat ketiga disandang oleh Muhammad Faiz Md Nayan, 28 tahun dari Kulim menerusi puisi Idaman Taman Indera Bestari (Awang Ali Kemaman).

Zaheera Ibrahim selaku juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, buku dan sijil penghargaan; diikuti dengan tempat kedua dan ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 dan RM500, buku dan sijil penghargaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Penolong Pegawai Kanan, Bahagian Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Ustaz Haji Mohd Isa Haji Abd Rahman. Turut hadir menyerikan majlis itu ialah Ketua Satu ASASI, Haji Abu Hassan Morad dan Ketua Dua ASASI, Putraery Ussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.