Oleh Orked Una
25 Julai 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Bimbingan Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia 2022 menampilkan dua orang panel, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (Persatuan Sejarah Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (Universiti Malaysia), manakala Puan Nawal Hanim pula bertindak selaku moderator program.

Prof. Madya Dr. Hashim Ismail memulakan sesi dengan konsep ‘Strategi Naratif Novel Remaja (Ciri, Idealisme, Matlamat dan Pendekatan)’. Konsep ini membolehkan penulis membentuk novel dengan watak bersejarah yang menepati jiwa eksplorasi dan perasaan ingin tahu remaja.

Kebijaksanaan pengarang yang dicari ialah penulis yang membawa pengalaman atau idea baru, tidak stereotaip dan mempunyai kompleksiti karya, kematangan berbahasa dan keupayaan olahan visual dalam menghidupkan cerita.

Sebagai penulis novel sejarah, watak dan peristiwa bersejarah mestilah nyata berlaku dan bukannya dicipta sehingga mengubah fahaman dan peristiwa sejarah. Antara pendekatan sejarah yang boleh dijadikan pilihan ialah teori Hermeneutik, teori Feminisme, Pascakolonial – Wacana Biasa, New Historisisme, dan Konflik Idealisme. Menerusi pendekatan ini, paradigma sejarah boleh diubah melalui penelitian dan pemahaman fakta peristiwa sejarah.

Menurut beliau lagi, penulis boleh melihat kebijaksanaan novel sejarah lain seperti novel Mengukir Larut (Amer Hamzah L. Kadir) yang telah memenangi tempat pertama Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2015. Malah, novel lain yang memenangi hadiah dalam sayembara yang sama juga dapat membantu penulis memahami strategi naratif.

Sesi kedua diteruskan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali yang menerangkan tentang sejarah Malaysia sebelum tahun 1900. Menurut beliau, walaupun ada tokoh tertentu yang telah disentuh, masih terdapat ruang lain untuk digarap bagi menghasilkan novel sejarah dengan melakukan penelitian kajian sejarah.

Tidak terhad mengangkat tokoh sejarah lelaki sahaja. Terdapat ramai tokoh wanita yang hebat dan terkenal yang boleh diangkat selain Tun Fatimah seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong,” katanya lagi.

Selain itu, menurutnya, watak yang dipilih untuk diketengahkan tidak semestinya sultan dan para pembesar sahaja. Watak bersejarah ialah tokoh yang terlibat dalam peristiwa bersejarah.

Banyak sumber rujukan peristiwa sejarah pada kurun ke -19 yang boleh digunakan. Antaranya ialah peristiwa yang tercatat dalam Tuhfat al- Nafis (Raja Ali Haji), Hikayat Abdullah (Abdullah Abdul Kadir Munsyi) dan Hikayat Pahang.

Seterusnya, banyak perkara boleh digarap ketika zaman yang melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu pada kurun ke-18 dan kemasukan British pada kurun ke-19. Perjuangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak. Antara tokoh gerakan ialah Mat Saleh, Mat Sator, Antanom, Rentap, Sharif Masahor, dan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur. Watak lain yang boleh digarap ialah tokoh sejarah yang menunjukkan kebijaksanaan bangsa seperti Panglima Awang dalam ilmu pelayaran dan keupayaannya menjadi jurubahasa. Melalui penceritaan tokoh dan peristiwa sejarah yang dimasukkan dalam novel, hal tersebut boleh meningkatkan jati diri dan menyuburkan semangat cinta akan bangsa dan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.