Oleh Marsli N.O
14 Julai 2022, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menurunkan petua menulisnya agar para penulis menulis dengan keyakinan dan berobjektif.

Kita tidak menulis kerana suruhan atau tempahan orang dan mengharapkan puji serta sanjungan mereka.

Ketika bersendirian menulis, diri didatangi “suara halus” menyampaikan bisikan. Bisikan yang jika tidak dihadapi dengan jiwa dan semangat kental, menerimanya sebagai suatu cabaran yang perlu dihadapi secara positif, namun pasti akan menggagalkan niat dan hasrat seorang penulis yang memang sedar kelemahan dan kekerdilan dirinya sendiri.

“Untuk apa kaumenulis? Supaya dikenali orang banyak atau apa? Sedarlah siapa dirimu. Kau bukan siapa-siapa pun di sini.”

Bersedih kecewa meratapi kekurangan diri tiada faedah dan gunanya. Kerja menulis memang kerja yang selalu dan amat menduga kesabaran serta ketahanan jiwa.

Upaya terbaik adalah dengan membuang jauh segala rasa rendah diri dan perasaan mulia yang berlebihan dalam diri. Menulis dan terus menulis tanpa mempedulikan orang lain. Katakan kepada diri sendiri, “Aku menulis bukan kerana orang lain atau sesiapa yang menyuruhku. Aku menulis kerana ingin membahagiakan diriku sendiri.”

Benar, dirimu memang bukan sesiapa di jagat penulisan negeri ini. Bukan orang bijak pandai berpendidikan universiti. Bukan. Bukan dan bukan.

Akan tetapi, jika bukan kau yang menghargai dirimu sendiri, siapa lagi?

Begitulah selalunya. Kita memerlukan peringatan dibisikkan kepada diri apabila setiap kali didatangi rasa malu dan rendah diri ketika sedang menulis. “Hindarkan. Hindarkan jauh rasa negatif dan kurang percaya diri sebegitu.”

Tujuannya, pada peringkat permulaan menulis atau kepada para pemula, apabila kita punya rasa percaya diri yang tinggi dan memilih menulis sebagai ruang menyatakan fikiran dan perasaan sendiri, kita tidak akan peduli apakah yang kita tulis itu akan dibaca oleh orang lain ataupun tidak.

Kita juga tidak akan peduli dengan segala macam cemuhan atau ejekan orang yang melabelkan diri dan tulisan kita, misalnya “syok sendiri”, “gila glamor”, “hendak tegakkan benang yang basah”, “kaki sentap”, atau apa-apa sekalipun.

Sikap tidak ambil peduli kita itu bukan kerana dorongan rasa sombong kita yang melulu. Sebaliknya, kita menjadi seorang yang tidak mahu mengacuhkan apa-apa sahaja cemuhan orang terhadap diri dan apa-apa yang kita tulis itu kerana kita menulis hanya untuk diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain.

Maksudnya, pusat perhatian dan persoalan dalam hasil tulisan kita ialah diri kita sendiri dan bukannya diri orang lain. Hanya, setelah tulisan tersebut diterbitkan dan berada di tengah khalayak, dengan rela kita perlu merubah statusnya menjadi terbuka.

Sebagai motivasi agar dapat trerus-menerus menulis, terutamanya kepada para pemula, tetaplah menulis dan terus menulis sebagai diri sendiri, meskipun orang lain mengatakan, apa-apa yang dituliskan itu tidak bererti atau membuang waktu.

Tidak mengapa, dan teruslah menulis walau apa-apa pun kecaman dan kritikan negatif orang. Kita tidak menulis kerana suruhan atau tempahan orang dan mengharapkan puji serta sanjungan mereka.

Kita menulis hanya kerana hasrat ingin menyatakan dan melahirkan buah fikir dan rasa perasaan sendiri menurut acuan dan cara yang juga kita tetapkan sendiri.

Walau kita pun tahu cara mudah untuk disanjung dan popular adalah dengan menurut dan patuh. Akan tetapi, untuk apakah popular dan pujian melambung orang jika menulis sekadar menulis tanpa sikap hidup dan keperibadian sendiri yang jelas?

Setiap daripada kita bebas untuk memilih dan kerana itu tidak perlu mengecam, mengeji dan menghina sesiapa sahaja yang tidak sealiran.

Walau sudah demikian resam hidup di dunia, keji dan hina jadi mainan, penuh duga dan pancaroba, namun tidak perlu berasa sedih kecewa, apatah lagi berasa patah dan tertekan, jika dihina dan dikecam, kerana telah memilih untuk hidup sebagai penulis yang bebas dan meneruskan keyakinannya sendiri.

Kau tidak ingin bertanding atau menandingi sesiapa pun di dunia ini. Buruk atau baik karyamu, kau hanya ingin menjadi dirimu sendiri.

Buku atau karya yang kautulis dikatakan penilai dan pengkritik yang terlalu bijak sebagai hanya berisikan kisah yang biasa-biasa, ditulis dengan cara dan gaya yang merepek serta penuh dengan hal yang tidak munasabah.

Kata mereka ini lagi, apa-apa yang kaudakwa sebagai usaha bereksperimen itu bukan sebenarnya eksperimen, tetapi hanyalah hasil kerja orang yang tidak tahu teori dan teknik penulisan yang sebenar.

Adakah kau mesti berasa sedih dan kecewa kerana semua hunjaman ini? Tentu sahaja tidak.

Sebagai penulis, kau sudah mula memilih dan membuat pilihan kau sendiri. Kau menulis bukan kerana ikut-ikutan, bukan kerana mahu menyenangkan hati sesiapa, tidak mahu meraih pujian yang tidak pada tempatnya, sanjungan dan perhatian yang berlebihan dan tidak perlu daripada sesiapa pun yang namanya pengkritik atau penilai. Bukan itu yang menjadi niat dan tujuannya.

Sudah sejak lama kau sedar siapa dan di mana kedudukan sebenar dirimu sebagai penulis. Kau tidak ingin bertanding atau menandingi sesiapa pun di dunia ini. Buruk atau baik karyamu, kau hanya ingin menjadi dirimu sendiri. Cuma itu.

Kau memilih menulis bukan kerana hendak menyombong dan melagakkan hebat diri atau ilmu yang kebetulan dimiliki. Sama sekali tidak.

Sebaliknya, menulis dan kemudian menerbitkan karya bagimu hanyalah kerana kau mahu menyatakan segala apa yang kau rasai, alami serta fikirkan, secara jujur dan menurut cara dan gaya yang telah kau tetapkan sendiri.

Kerana itu, kau sudah cukup bersedia untuk diterima dan dianggap sebagai apa sahaja oleh sesiapa pun di dunia ini.

Benar. Karya tulismu mungkin tidak punya apa-apa pun yang istimewa di dalamnya. Tidak berdasarkan ilmu dan teori yang hebat dan hanya berlandaskan rasa perasaan semata-mata. Tidak mengapa. Tidak perlu berasa sedih, kecewa dan patah.

Percaya dan yakinlah kepada diri sendiri. Tidak mengapa jika kisah yang kautulis hanyalah kisah-kisah biasa. Tidak perlu berasa gundah dan kecil diri.

Asal saja setelah kau mati, begitu orang membaca karya tulismu, pembaca tidak terangsang syahwat nafsunya lantaran kisah dan adegan lucah yang kaupaparkan dalam karya, atau pembaca tidak berasa tertipu kerana karya tulismu penuh dengan fatamorgana.

Betapa pun semasa hidupmu, kau selalu keseorangan dan berasa terlalu sepi di dunia ini. Tidak mengapa. Kerana kau memang memilih jalan dan cara hidupmu sendiri.

Kredit Gambar: Paul Blenkhorn/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa dan sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi merangsang daya kreatif dan kreativitinya. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.