Oleh U-Wei Haji Saari
7 Jun 2022, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

U-Wei Haji Saari melalui bacaan budaya popular dan hasil persuratan, meneliti kembali sejarah perkembangan dan halangan bahasa Melayu dapat diantarabangsakan.

Penulisan baharu ialah petanda kemajuan atau kesegaran sesuatu bahasa dengan kandungan yang mencerminkan masyarakatnya.

Bolehlah dikatakan dan juga dibahaskan bahawa ada beberapa novel besar dan dianggap sebagai magnum opus di Tanah Melayu dalam tahun-tahun 1960-an. Novel-novel ini mengambil pendekatan “menulis-apa-yang-terlihat” dan menolak gaya berbunga semata-mata untuk memperindah ayat yang ditulis. Usaha ini merupakan penghasilan daripada pengarangan anak-anak muda yang dipengaruhi oleh penulis-penulis dari seberang. Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS 50) di Singapura ialah jawapan penulis Singapura-Malaya terhadap Angkatan Sasterawan ‘45 (ASAS 45) di Indonesia. Corak penulisan mereka agak jurnalistik (ala laporan) kerana ramai dalam kalangan mereka ketika itu bertugas di syarikat penerbitan akhbar. Slogan “seni untuk masyarakat” dan kemudian “seni untuk seni” juga mula disebut-sebut masa itu. Agak tidak keterlaluan apabila penulis kita dibayangi oleh penulis dari seberang yang sezamannya, walaupun penulis di sini juga mengagumi dan terdedah pada penulis dari Barat seperti mereka juga. Bagi mereka, bayangan panjang itu masih lagi wujud hingga sekarang.

Sekarang, Malaysia telah menganugerahkan 14 orang tokoh sastera kepada status Sasterawan Negara sejak tahun 1981 yang membawa beberapa benefits (kemudahan) bagi menjalani hidup untuk/dan berkarya. Hal ini merupakan pengiktirafan tertinggi di Malaysia yang dapat diberikan untuk seseorang sasterawan yang juga ahli persuratan penulis. Mendapat penghormatan anugerah Sasterawan Negara diibaratkan memasuki golongan kaum bangsawan warga sastera. Karya-karya mereka meliputi sajak, novel, cerpen, drama pentas, dan esei, yang diangkat atas dasar pemikiran dan kepakaran dalam bahasa Melayu. Oleh itu, mereka merupakan crème de la crème dalam hasil penulisan dan sekali gus turut mencerminkan taraf worldview kreativiti sastera negara di peringkat dunia.

Dengan jumlah 14 orang tokoh terpilih, jumlah hasil karya mereka tidaklah terlalu banyak atau lebih tepat jika dikatakan jumlah hasil karya besar daripada mereka tidak banyak. Baru-baru ini (tahun 2019), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan semula dua tajuk terpilih bagi setiap Sasterawan Negara, daripada Keris Mas kepada Zurinah Hassan. Siri ini merupakan suatu usaha yang sangat dialu-alukan oleh peminat sastera bahasa Melayu, walaupun siri ini tidak menerbitkan semula karya-karya yang besar daripada mereka. Hampir kesemua mereka menceburkan diri menghasilkan pengarangan sajak dan cerpen. Nordin Hassan seorang sahaja diangkat kerana fortenya drama pentas dan yang paling prolifik dalam menghasilkan novel ialah Arena Wati.

Tidak dapat dinafikan, jika menyentuh novel moden tempatan yang paling popular dan nyata pada khalayak pembaca di Asia Tenggara ialah Salina yang diterbitkan pada tahun 1961. Novel ini merupakan novel besar daripada A. Samad Said yang pernah bertugas di DBP. Malah, tidak kurang daripada enam orang Sasterawan Negara ialah bekas pekerja di DBP.

Jika Salina karya A. Samad Said dikira magnum opusnya dan dikatakan berbau karya Mochtar Lubis, melihat pada tajuknya sahaja membuat saya serta-merta teringat pada novel Lolita karya Vladimir Nabokov dan bukan Senja di Jakarta yang terbit kemudian. Salina diterbitkan pada tahun 1961. Memang hampir menjadi resam pada setiap penulis baharu dipengaruhi oleh tulisan terdahulu daripada penulis yang disanjungi.

Bermula Perang Dunia Kedua, apabila datangnya Jepun ke Asia Tenggara, segala persekolahan terhenti, pelajaran dan penimbaan ilmu dalam bidang penulisan hanya boleh diteruskan “sendiri-sendiri” dengan berlatih (kerap menulis) dan melihat contoh (membaca buku-buku yang ada). Begitu juga para penulis dari seberang. Apabila mengamati karya Iwan Simatupang, saya terlintas karya Franz Kafka, dan kala membaca ayat pertama Bumi Manusia daripada karya besar tetralogi Pramoedya Ananta Toer mengingatkan saya pada ayat pertama dalam Moby Dick, iaitu novel Herman Melville. Malah, Pramoedya Ananta Toer ialah penulis Indonesia yang diikuti oleh Shahnon Ahmad sebelum dia sendiri menjadi penulis.

Novel tahun 1966 Shanon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan dikira sebagai novel penting dalam kanon kesusasteraan Melayu moden. Beliau tokoh Sasterawan Negara kedua yang tidak takut menghadapi kontroversi. Daripada penggunaan perkataan SHIT (najis dalam bahasa Melayu) untuk tajuk buku, menyuarakan penolakan nama calon untuk cadangan Sasterawan Negara, kepada turut menyuarakan pendapat dalam keagamaan dan pegangan politiknya. Shahnon memang membara. Beliau juga terpaksa ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan menimba ilmu penulisan. Setelah Shahnon Ahmad menghasilkan Rentung dan Terdedah, dan kemudian memecahkan ragam bunyi penulisan dengan ayat-ayat berulang dan bersahaja dalam novel sensasi termasyhurnya, Ranjau Sepanjang Jalan, beliau malangnya hingga ke sudah tidak berubah teknik bahasanya – termasuk stail dan corak bunyi tulisannya. Selepas itu, tidak ada lagi karya lain yang benar-benar mengangkat dan mencabar kreativiti penulisan novel mahupun daripada penulis senior, seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam (Ruhi Hayat) dan A. Samad Ismail (sekadar contoh), yang kebanyakannya kerap hilang dalam tulisan novel ringan dan tulisan-tulisan majalah dan akhbar.

Sekali lagi, bukan tidak dapat dijangka oleh pihak ilmuwan bahasa (disertai oleh menteri) di Indonesia akan punya keraguan dan prejudis terhadap status bahasa Melayu terkini dan dalam kemampuan kita sebagai bangsa Malaysia untuk membawa bahasa Melayu ke peringkat lingua franca, sekurang-kurangnya di Asia Tenggara. Petikan curahan hati ahli akademik kita sendiri dalam jurusan bahasa (yang ditularkan) menyatakan kekesalannya terhadap bangsa Malaysia dalam penggunaan harian bahasa Melayu. Pandangan beliau boleh dikaitkan dengan sistem pendidikan kita sendiri. Dan, tidak jauh perbezaannya jika ditinjau dan dibandingkan penghasilan karya filem dan lagu dalam muzik kita pada konteks bahasa Melayu dengan mereka.

Adakah kita mempunyai karya novel besar? Hal ini membangkitkan beberapa soalan lagi: (1) Setelah Salina (1961) atau Ranjau Sepanjang Jalan (1966), jika tidak sepopular, novel yang mana lagi, atau adakah terdapat novel lain yang setanding dan boleh diketengahkan? (2) Jika tidak ada, mengapa?

Bagi soalan kedua, saya tidak layak menjawab dan tidak akan cuba menjawabnya. Saya juga tidak akan berpura-pura mampu menjawab soalan yang pertama. Namun begitu, saya sedar memang tidak ada novel yang dapat diperkatakan seperti kedua-dua novel yang ditampilkan tadi. Hal itu bukan bermakna kita tidak ada lagi penulis baharu. Begitu ramai sekarang penulis timbul di tanah air dan untuk menerbitkan sesebuah buku tidak lagi sukar kerana terdapat banyak rumah penerbitan kecil dan indie, selain rumah penerbitan besar yang telah wujud sejak dahulu.

Menurut Aristotle, hanya tujuh cerita yang ada dalam dunia dan yang lain itu hanyalah variasi. Premis inilah yang dikerjakan dan ditelaah oleh semua penulis fiksyen mahupun bukan fiksyen, baik yang berkhayal dalam dunia nyata (real) mahupun tidak, baik penulis yang baharu mahupun yang lama. Selagi kisah berkisar pada manusia dan kehidupan, tujuh cerita inilah yang menjadi tulang belakang penceritaan. Usaha mencari pembaharuan itu fitrah manusia, maka penulis generasi baharu akan berusaha untuk mendapatkan pembaharuan daripada penulis sebelumnya. Seperti yang saya katakan di perenggan atas, kita memang ada ramai penulis baharu, tetapi persoalannya, adakah mereka membawa penulisan baharu, menolak sempadan? Novel-novel terlaris di pasaran sekarang masih novel-novel remaja, fantasi dan kisah cinta. Penulisan baharu ialah petanda kemajuan atau kesegaran sesuatu bahasa dengan kandungan yang mencerminkan masyarakatnya.

Pada tahun 1967, DBP sempena 10 tahun kemerdekaan telah mengadakan sayembara menulis novel bertemakan kemerdekaan. Lima orang penulis memenangi hadiah sagu hati, dengan Arena Wati mendapat hadiah tempat ketiga melalui novelnya, Sandera yang kemudian diterbitkan pada tahun 1971. Tiada sesiapa menduduki tempat pertama dan kedua. Oleh sebab novel-novel ini khusus ditulis berfokuskan satu tema (kemerdekaan negara), mengikut selera dan cita rasa pembaca sekarang, kebanyakannya agak terasa didaktik jika enggan dikatakan berbau propaganda. Walah bagaimanapun, sudah 50 tahun berlalu, dari sejak kerajaan sendiri bersungguh-sungguh memberikan galakan berserta pengiktirafan awal pada penulis, jadi tidak keterlaluan kita berharap ada anjakan atau peningkatan pengisian yang berlaku pada karya-karya penulis kontemporari kita.

Ada berbagai tema dan konsep yang dikerjakan oleh penulis dalam usaha mempertajam kepengarangan bercerita dan memperkuat ekspresi diri dalam karya-karya penulis mapan dan muda kontemporari, seperti Faisal Tehrani, Wan Nor Azriq, S.M. Zakir, Rebecca Ilham, atau Zainal Rashid Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka merupakan para penulis yang bagus dan produktif. Begitu juga dalam karya S. Othman Kelantan atau Anwar Ridhwan sebagai wakil penulis generasi sebelum. Akan tetapi, adakah karya-karya yang ada ini mencabar bahasa itu sendiri? Apakah pandangan mereka terhadap visi bahasa (Melayu) dalam penceritaan, selain bermain dengan percaturan konfigurasi adegan beralternatif dalam struktur cerita?

Pengkarya bijak memerlukan pembaca bijak apabila melahirkan karya yang bijak. Faktor demografi kita juga memberi kesan. Hampir separuh daripada penduduk kita tidak mesra dengan tulisan berbahasa Melayu, apatah lagi menulis dalam bahasa Melayu. Inilah yang menyebabkan pembacaan dan penggunaan bahasa Melayu di sini tidak akan sampai pada paras tertinggi yang sepatutnya.

Jika diteliti kembali, menteri Indonesia Nadiem Makarim yang tidak menyokong dan terus menolak cadangan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca mempunyai alasan yang jelas. Beliau menyatakan, “Bahasa Indonesia telah jadi bahasa terbesar di Asia Tenggara”. “Terbesar”nya bahasa Indonesia kerana dilihatnya daripada sejarah, undang-undang (hukum) dan linguistiknya. “Terbesar”nya’ juga datang daripada jumlah bilangan (volume), yang bererti, lebih ramai yang menggunakan bahasa Indonesia daripada bahasa Melayu. Rata-rata, pengamal bahasa Indonesia ialah penduduk negara itu sendiri. Negara keempat terbesar di dunia yang mempunyai lebih daripada 18 ribu pulau dengan pulau yang terbesar di dunia. Luasnya hampir 2 juta km persegi, menjangkau dari Aceh ke Kalimantan dan Irian Jaya dengan bilangan penduduk terakhir dikatakan sudah mencecah lebih 265 juta. Bayangkan penduduk kota Jakarta sahaja sudah seramai penduduk negara Malaysia: Seluruh penduduk Malaysia sekadar hanya berada di satu kota. Alasan jumlah bilangan ini boleh dilihat semata-mata pada isu geopolitik.

Diharap alasan Nadiem Makarim untuk tidak mahu menyokong bahasa Melayu sebagai lingua franca bukanlah kerana istilah Melayu yang dilihat berkait dengan negara Malaysia. Sebagai contoh, jika dibandingkan jumlah penduduk negara Portugal yang jauh lebih kecil daripada negara Brazil yang juga menggunakan bahasa Portugis. Atau, negara Amerika Latin yang jauh lebih luas dan sarat dengan penduduk berbanding negara Sepanyol, tetapi tetap menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi.

Tidak dinafikan, lebih banyak novel besar yang signifikan lahir dari seberang. Hal itu memang harus dijangka. Mereka mempunyai jumlah penduduk yang berlipat ganda daripada penduduk Malaysia. Permintaan penterjemahan novel Indonesia kepada bahasa lain makin meningkat, termasuk pengiktirafan beberapa anugerah antarabangsa juga. Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada mereka. Pengkajian dan pembelajaran Bahasa Indonesia dikatakan banyak diadakan di institusi pengajian tinggi luar negara, suatu perkara yang dibanggakan. Segala tanda baik terhadap bahasa yang digunakan di negara Indonesia hidup subur, menyebabkan hal ini harus menjadi pengakuan bahawa pokok asalnya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang masih hidup dan diamalkan di Asia Tenggara.

Agar tidak memanjangkan lagi perbicaraan ini, saya berharap Perdana Menteri dapat memberikan jawapan dan justifikasi yang kuat atas cita-citanya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai lingua franca di Asia Tenggara.

Dan, berbalik kepada watak Pok Ya pada penghujung drama pertamanya, wataknya ada membawa suatu suasana lucu apabila Pok Ya berkata, “Kalu aku nak kutik ambik tahu seremo masaloh ore, baik aku jadi menteri” (“Kalau aku nak kutip ambil tahu semua masalah orang, baik aku jadi menteri”). Suara menteri ialah suara rakyat dan sememangnya kerja hebat menteri adalah untuk mengambil berat isu dan persoalan rakyat – kerana rakyatlah yang akan menyokong menterinya kembali.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Pok Ya, Bahasa Melayu, Menteri dan Lingua Franca (Bhg. 1)

Kredit Foto: IvanH/Unsplash

_________________________

U-Wei Haji Saari ialah pengarah filem tersohor yang banyak mengadaptasi karya sastera kepada filem, seperti Kaki Bakar (1995), Jogho (1997) dan Hanyut (2012). Beliau pernah menghasilkan drama Wangi Jadi Saksi (DBP, 2010).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!