Oleh Fansurina Ramli
27 Mei 2022, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan “Bicara Karyawan” bersiaran sekali lagi semalam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membicarakan sebuah buku antologi cerpen terbitan terbaharu DBP. Buku Wanita Kopi Mahal merupakan hasil karya tiga orang penulis wanita yang cukup berbakat dalam dunia penulisan, iaitu Ayudez Zuraina, Hani Salwah Yaakup dan Lin Haslinaz.

Ketika diminta memperkenalkan diri, tiga penulis berketerampilan ini menceritakan pengalaman mereka yang pernah menghasilkan pelbagai jenis penulisan selain cerpen seperti sajak, novel, drama pentas dan penulisan ilmiah. Tambah Ayudez Zuraina, mereka juga berkecimpung dalam aktiviti sastera lain seperti mendeklamasi puisi dan berlakon.

Perkongsian diteruskan dengan para penulis menjelaskan inspirasi masing-masing sewaktu menyiapkan manuskrip antologi yang mengandungi sebanyak 18 cerpen secara keseluruhannya.

“Saya mendapat inspirasi daripada pemerhatian saya ketika tinggal bersama-sama dengan nenek di kampung. Pada waktu itu, saya merasai sendiri suasana masyarakat kampung yang menjadikan kopi sebagai mata pencarian mereka,” jelas Lin Haslinaz.

Manakala menurut Hani Salwah Yaakup pula, selain mendapat inspirasi daripada pengalaman beliau yang sering mengunjungi kedai kopi ketika pengajian peringkat sarjana dan PhD, beliau juga membawa cerita dongeng lama yang diberikan nafas baharu.

Saya cuba menampilkan perspektif baharu kepada cerita ini di samping memberikan naratif yang bersesuaian dengan keadaan masa kini. Saya juga menyelitkan kritikan kepada media dan komunikasi melalui isu drama rantaian.

Mereka turut membicarakan tentang keunikan buku Wanita Kopi Mahal ini yang bukan sahaja menghidangkan garapan cerita yang penuh warna-warni, malahan, pembaca berpeluang menikmati ilustrasi yang dilukis khas pada pengakhiran setiap cerpen.

Ilustrasi ini dilukis oleh Anis Suzila Abd Talib dan Abdul Raof Ali, iaitu dua orang pelukis tersohor dalam dunia lukisan catan dan lukisan digital. Permulaan buku ini sebenarnya telah bertitik tolak daripada Pameran Seni Antarabangsa Meraki’21 yang turut merangkumi pameran lukisan. Maka itu, tercetuslah idea untuk memperlihatkan kesinambungan antara seni lukisan dengan tulisan dalam sebuah buku.

Antologi cerpen yang banyak mengangkat tema kasih sayang dan pemerkasaan martabat wanita ini turut memuatkan kata pengantar daripada S.M. Zakir, seorang penulis yang tidak asing lagi di Malaysia.

“Kami ada juga menerima pertanyaan seperti penggunaan terma “kopi mahal” dalam judul buku ini yang dikatakan seolah-olah mengkhususkan untuk kumpulan peminum kopi yang mahal sahaja. Sebenarnya, tidak. Anda harus membaca antologi ini sendiri kerana yang mahal itu bukanlah pada kopi semata-mata. Nilai itu terletak pada kisah di sebalik kopi itu.” ujar Hani Salwah Yaakup.

Rancangan diakhiri dengan tiga sahabat penggemar kopi ini menyampaikan harapan mereka agar antologi cerpen ini dapat memberikan manfaat dan membina semangat positif kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan hari ini dan masa hadapan.

Buku antologi cerpen Wanita Kopi Mahal boleh dibeli melalui pautan ini.

Tonton Bicara Karyawan: Wanita Kopi Mahal di sini.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.