Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNor Muhamad mencerakinkan Hikayat Perempuan dan meletakkan citra wanita dalam pelbagai dimensi, rupa dan arah serta tidak lupa menghantar isyarat bahawa wanita merupakan insan yang utuh.
Kisah perempuan dalam Hikayat Perempuan ditransformasikan atau dimodifikasi ke dalam teks baharu dengan tidak menukar perwatakannya sama sekali. Pengarang naskhah ini secara kreatif dan kritis memberikan penjelmaan semula kepada watak dan perwatakan dengan memurnikan semula bentuk penekanan terhadap perasaan, reaksi dan tindak balas
H ikayat Perempuan, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2021) mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikannya bukan hanya terletak semata-mata pada nilai didaktik atau unsur pengajaran yang terkandung dalam naskhah tersebut, tetapi terhadap fokus pada semua watak wanita untuk setiap ceritanya. Fokus ini boleh dikatakan sebagai tunjang utama dalam karya tersebut selain dikarang oleh penulisnya yang juga seorang wanita, iaitu Amelia Hashim. Melalui pendekatan dalam teori sastera, apabila cerita yang berpusat pada watak wanita dan ditulis oleh wanita, maka cerita itu mampu dianalisis dengan menggunakan Teori Feminisme yang secara jelas mengangkat peranan wanita dalam kehidupan. Oleh itu, penghasilan karya ini seolah-olah bertujuan untuk mengembalikan keadilan dan keseimbangan terhadap wanita dan mengiktiraf hak wanita tanpa wujudnya diskriminasi gender.
Umumnya, Hikayat Perempuan memperkatakan tentang 15 watak utama wanita melalui watak-watak yang berbeza darjat dan latarnya. Ada watak dalam kalangan bangsawan seperti permaisuri, puteri raja dan anak gadis seorang pembesar istana, serta rakyat biasa seperti tukang lulut dan anak bupati.
Watak dan perwatakan ini diambil semula menerusi hikayat, teks sejarah dan teks sastera Melayu tradisional. Antara watak tersebut ialah Tun Takiah Dora (Hikayat Raja Pasai), Cik Raknamala (At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah), Raden Galuh Gemerencang (Hikayat Raja Pasai), Tun Manda (Sejarah Melayu), Raja Ijau (Hikayat Pattani), Bok Martayuda (Babad Tanah Jawa), Tun Kudu (Sulalat al-Salatin), Raja Fatimah (Sejarah Melayu), Si Tukang Lulut (Sejarah Melayu), Tengku Kamariah (Tuhfat al-Nafis), Raja Kuning (Hikayat Pattani) Puteri Junjung Buih (Hikayat Banjar), Raden Mas Ayu (Hikayat Hang Tuah), Tun Fatimah (Sejarah Melayu) dan Cik Safura Negara (At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah).
Rangkuman watak wanita ini diangkat bagi memperlihatkan keunggulan dan kewibawaan wanita sehingga mampu menjadi pedoman kepada wanita (pembaca) pada masa kini. Begitu juga dengan tema yang pelbagai seperti kisah kehebatan perempuan yang memikul tanggungjawab sebagai pemerintah negara (misalnya Raja Kuning yang berdepan dengan cabaran yang hebat semasa memerintah kerajaan yang besar); kisah perempuan yang terpaksa berkorban kerana berkahwin dengan suami yang boleh dikatakan sebagai pembunuh (Tun Fatimah dan Tengku Kamariah); pengorbanan terhadap keluarga kerana dipaksa berkahwin untuk tujuan menyatukan dua negara atau dua pihak (Raden Mas Ayu, Tun Kudu, Cik Raknamala); kahwin paksa kerana ketelanjuran dalam membuat perjanjian (Tun Manda); kesan kepada isteri yang berlaku curang terhadap suami (Bok Martayuda); perebutan takhta (Raja Fatimah, Cik Safura Negara, Raja Ijau), perebutan perempuan oleh bapa sehingga menyebabkan pembunuhan (Raden Galuh Gemerenceng); pengorbanan terhadap keluarga melebihi diri sendiri bagi tujuan memulihkan martabat keluarga (Tengku Kamariah); dan kisah bapa yang berahikan anak sendiri (Tun Takiah Dora).
Walaupun watak yang diceritakan berdasarkan latar masa zaman silam, peristiwa seperti ini tetap wujud dalam masyarakat hari ini.
K isah perempuan dalam Hikayat Perempuan ditransformasikan atau dimodifikasi ke dalam teks baharu dengan tidak menukar perwatakannya sama sekali. Pengarang naskhah ini secara kreatif dan kritis memberikan penjelmaan semula kepada watak dan perwatakan dengan memurnikan semula bentuk penekanan terhadap perasaan, reaksi dan tindak balas. Watak wanita yang menjadi tunjang dalam naskhah ini membayangkan bahawa sejarah lampau secara tidak langsung mengabaikan peranan kaum wanita dalam sistem pemerintahan dan keadilan sosial. Ia seolah-olah memberikan mesej kepada para pembaca dan peneliti agar mempertimbangkan konsep adil itu secara benar, betul dan saksama. Hal ini membangkitkan perjuangan dalam kalangan wanita, dan mereka bangkit berjuang menentang penindasan tersebut dalam pelbagai bentuk dan cara, sama ada secara halus atau keras.
Antara watak bangsawan ialah “Tun Takiah Dora” yang mengisahkan Raja Ahmad Prumal Perumudal, Raja Pasai yang mempunyai nafsu berahi terhadap anak daranya sendiri. Kisah “Cik Raknamala” ialah cerita yang memerihalkan tentang penderitaan dan pengorbanan seorang permaisuri Qalha yang berkorban meninggalkan keluarga untuk hidup bersama-sama suaminya, Sultan Sulaiman, Raja Qalha; dan “Raden Galuh Gemerenceng” mengisahkan puteri Raja Majapahit, Raden Galuh yang cerewet memilih jodoh. Apabila menjumpai jodoh yang berkenaan, dibunuhnya Tun Abdul Jalil (anak Raja Pasai) oleh bapanya sendiri kerana mahukan Raden Galuh.
Ada juga yang memerihalkan tentang keupayaan wanita dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemerintah (pemimpin). Misalnya, dalam cerita “Raja Ijau”. Kisah itu merupakan perihal perebutan kuasa antara anak gundik dengan anak raja di Pattani hingga menyebabkan pertumpahan darah. Akhirnya, takhta kerajaan diberikan kepada anak perempuan daripada keturunan raja yang bernama Raja Ijau. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, namun raja perempuan dapat menghadapinya dengan cekal. Begitu juga melalui kisah “Raja Fatimah” dan “Raja Kuning”. Cerita “Raja Fatimah” dan “Cik Safura Negara” berkaitan dengan pergolakan pewarisan takhta negara untuk diserahkan kepada pewarisnya, manakala kisah “Raja Kuning” menjelaskan tentang peranan, tanggungjawab dan keunggulan seorang wanita yang diangkat sebagai raja dalam sesebuah negeri. Walaupun dipandang serong dan sinis oleh kaum lelaki kerana dia seorang wanita, namun Raja Kuning tetap menjalankan tugasnya sebagai pemerintah di Pattani.
Seterusnya, ada juga kisah yang memperlihatkan penindasan suami terhadap kaum isteri, dan kecurangan isteri terhadap suaminya. Walaupun watak yang diceritakan berdasarkan latar masa zaman silam, peristiwa seperti ini tetap wujud dalam masyarakat hari ini. Misalnya, “Bok Martayuda” yang memerihalkan tentang seorang isteri yang tidak menyukai suaminya disebabkan pasangannya tidak mempunyai rupa paras yang menarik sehingga menyebabkan dirinya berlaku curang, manakala cerita “Tun Kudu” ialah kisah Sultan Melaka yang mengorbankan isterinya. Tun Kudu dikatakan telah diserahkan kepada Seri Nara Diraja semata-mata untuk mengelakkan perpecahan antara Seri Nara Diraja dengan adik ipar sultan, Tun Perak. Cerita penindasan yang lain ialah kisah “Tun Manda” yang memaparkan sikap seorang bapa yang terlanjur berjanji untuk menikahkan anaknya yang masih kecil dengan Orang Besar dari Surabaya. Akhirnya, Orang Besar itu menuntut janjinya apabila Tun Manda meningkat remaja, dan pada akhirnya tercetuslah peristiwa kahwin paksa.
Selain itu, kisah “Raden Mas Ayu” pula memerihalkan tentang suka duka yang dialami oleh Raden Mas Ayu, anak Ratu Majapahit yang berkahwin dengan Sultan Melaka. Sultan Melaka kemudiannya berkahwin dengan Tun Teja, dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isterinya, Raden Mas Ayu. Akhirnya, Raden Mas Ayu membuat keputusan untuk meninggalkan suaminya dan keluar dari istana.
Ada kalanya, watak wanita yang menjadi tunjang dalam Hikayat Perempuan ini boleh diperdebatkan menurut kaca mata agama (Islam).
R angkuman yang berpusat daripada watak wanita, sekiranya dihubung kait dengan fahaman atau aliran feminisme tidak seluruhnya dapat diterima. Walaupun pada masa kini, banyak perjuangan yang mahu mengembalikan hak wanita dalam pemerintahan, kepimpinan dan keadilan sosial agar setanding dengan peranan lelaki, namun hal ini perlu diperhalusi dengan lebih mendalam. Karya sastera sememangnya bertujuan untuk menyampaikan nilai murni dan pengajaran kepada masyarakat, tetapi bukan bererti keseluruhan karya sastera itu dapat menyatakan nilai didaktik yang sarat dengan moraliti. Ada kalanya, watak wanita yang menjadi tunjang dalam Hikayat Perempuan ini boleh diperdebatkan menurut kaca mata agama (Islam). Misalnya, dalam kepimpinan tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara, selayaknya ialah lelaki. Jurnal Pengajian Melayu (2020) menyatakan bahawa tidak harus bagi wanita untuk menjawat jawatan kepimpinan tertinggi dan lelaki disyaratkan sebagai asas utama perlantikan ini. Ulama fikah ada menggariskan dua bentuk pemerintahan, iaitu wilayah ammah yang merupakan jawatan nombor satu dalam sesebuah negara (keutamaan kepada lelaki), dan wilayah khas bagi tampuk pemerintahan yang berskala kecil yang membenarkan kaum wanita menjawat jawatan tersebut.
Seterusnya, punca daripada kezaliman dan pengabaian tanggungjawab seorang suami bukanlah ‘tiket’ yang membolehkan isteri itu berlaku curang, apatah lagi dalam perkara kemaksiatan dilihat seolah-olah diberikan suatu konatasi yang diterima (dimaafkan); ataupun membenarkan tindakan isteri meninggalkan suami (keluar) dari kediaman/rumah tanpa mendapat izin suami dengan alasan kecewa terhadap suami yang telah berpoligami. Sedangkan dalam syariat Islam, poligami itu dibenarkan dengan beberapa syarat tertentu.
Artikel Berkaitan |
Beli Hikayat Perempuan.
_________________________
Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.