5 Ogos 2021, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarjana dan pengkritik sastera Norhayati Ab. Rahman menemui kesegaran transformasi dan modifikasi dalam novel baharu Amelia Hashim.

Watak perempuan pada masa silam dihadirkan dengan peranan tertentu, termasuk mendedahkan perasaannya, mempunyai suara, kemahuan, wawasan, cinta dan kebijaksanaannya.

Novel atau kumpulan cerita Hikayat Perempuan ialah terbitan terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 2021) yang terdiri daripada 15 bab dengan ketebalan 183 halaman. Novel ini memaparkan citra perempuan dalam hikayat-hikayat Melayu, seperti yang dicerminkan melalui judulnya. Novel ini dijana daripada gambaran watak perempuan-perempuan silam yang diperihalkan dalam cerita-cerita hikayat, seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Sulalatus Salatin, Hikayat Patani, Babad Tanah Jawi, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Banjar, dan Hikayat Hang Tuah.

Secara umumnya, novel ini memaparkan kisah suka duka kehidupan perempuan pada zaman silam yang dipaparkan menerusi cerita-cerita hikayat. Penampilan watak perempuan dalam cerita-cerita hikayat lazimnya tidak disorot pada reaksi, emosi atau tindak balasnya sebagai manusia, kerana mereka ditampilkan hanya sebagai pelengkap pada cerita-cerita lelaki. Namun melalui novel Hikayat Perempuan, pengarang Amelia Hashim membuat transformasi dan modifikasi ke atas watak-watak perempuan dengan penampilan baharu dalam teks baharu. Watak perempuan dihadirkan dengan peranan tertentu, termasuk mendedahkan perasaannya, mempunyai suara, kemahuan, wawasan, cinta dan kebijaksanaannya. Pendek kata, perempuan digambarkan sebagai manusia biasa yang mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.

Novel ini menyampaikan serangkaian mesej yang boleh dijadikan pengajaran kepada khalayak masyarakat dalam menjalani kehidupan pada hari ini. Melalui cerita pertama, Tun Takiah Dara misalnya, memberikan pengajaran tentang keinginan dan kesungguhan perempuan mempertahankan maruah diri daripada dijarah oleh bapanya sendiri. Tun Takiah Dara sanggup meredah bahaya melarikan diri dari istana untuk meminta bantuan abangnya, iaitu Tun Beraim Bapa. Kisah Tun Takiah Dara juga menampilkan ketegasan perempuan yang sanggup memilih kematian daripada menyerahkan diri untuk kepuasan nafsu lelaki, iaitu ayahnya sendiri. Melalui cerita Cik Ratnamala pula, menekankan aspek kesetiaan, dedikasi dan empati seorang isteri terhadap seorang suami, di samping menekankan aspek keberanian perempuan, Tunku Sofia, untuk menentukan pilihan jodohnya sendiri. Bab cerita “Raden Galuh Gemerencang” juga adalah antara contoh perempuan silam yang berusaha mempertahankan hak untuk memilih jodohnya sendiri dan menolak semua lamaran yang diterima oleh ayahanda bondanya.

Melalui cerita “Tun Manda” pula, pengarang memberikan peringatan tentang kesan atau implikasi buruk daripada gurauan yang dianggap sebagai suatu “janji”. Gara-gara gurauan ayahnya semasa beliau masih anak kecil, Tun Manda terpaksa berkahwin dengan lelaki tua yang tidak disukainya. Cerita “Raja Ijau” pula memperlihatkan kegigihan dan ketabahan puteri dari Pattani yang dilantik sebagai Raja Perempuan Negeri Pattani. Naratif ini memaparkan kebijaksanaan raja perempuan dalam melaksanakan tugas sebagai pemerintah, sekali gus tentang kecekapannya mengatur kehidupan keluarganya. Cerita ini membuktikan bahawa perempuan juga boleh menjadi seorang pemerintah yang baik, iaitu dengan memanfaatkan kecekapan dan kebijaksanaannya untuk mendepani pelbagai masalah dalaman negeri dan masalah keluarga. Melalui cerita “Bok Martayuda”, memperlihatkan kesan buruk kerana mengikut nafsu, boleh merosakkan diri sendiri, sementelah apabila dilakukan oleh seorang perempuan. Sepatutnya pihak lelaki yang melakukan kesalahan sama (turut dikatakan sebagai bersalah) tidak wajar terlepas begitu saja. Hal ini bermaksud, apabila melakukan kesalahan dalam hubungan antara perempuan dengan lelaki, yang harus dipersalahkan ialah kedua-duanya, bukan perempuan sahaja.

Naratif “Tun Kudu” pula memperlihatkan kelakuan buruk seorang sultan yang sanggup menggunakan isterinya untuk mencapai tujuan politiknya. Tindakan sultan menawarkan permaisuri baginda, Tun Kudu kepada Seri Nara Diraja adalah tidak wajar dan bersifat dayus. Akibatnya, Tun Kudu dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja dan akhirnya meninggal dunia dalam penderitaan jiwa dan raga kerana nasib dan kehidupannya telah dicatur sedemikian rupa oleh penguasa politik istana. Terdapat satu pelajaran penting di sini. Perempuan atau isteri ialah amanah kepada lelaki atau suami, bukan “barang” pertukaran untuk tujuan kepentingan politik kaum lelaki.

Melalui cerita “Raja Fatimah” pula, sekali lagi pengarang memperlihatkan peranan perempuan dalam usaha menentukan corak politik di istana. Dalam konteks ini, Raja Fatimah diperlihatkan mempunyai suara dan berperanan untuk menentukan pelantikan sultan pada ketika itu. Melalui cerita “Tengku Kamariah”, menunjukkan peranan perempuan dalam jatuh bangun politik istana. Tengku Kamariah, anak Sultan Abdul Jalil Riayat Shah pemerintah Johor yang dikahwini Raja Kecik Siak, bangkit melawan kekejaman suaminya yang dikahwininya secara paksa. Kemarahan kepada suami yang telah membunuh ayahanda kesayangannya menyebabkan beliau berkomplot dengan adiknya, Raja Sulaiman, meminta bantuan Daeng Parani bersaudara untuk menyerang dan menewaskan Raja Kecik Siak. Dalam konteks cerita ini, perempuan yang selalu menjadi “mangsa” ada ketikanya akan bangkit menjadi “penguasa” untuk menjatuhkan “musuh”nya.

Cerita “Kuning” juga membuktikan kebolehan, ketabahan dan kebijaksanaan pemerintah perempuan Raja Kuning, puteri tunggal Raja Ungu. Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar istana, Raja Kuning tetap kekal memerintah Pattani dengan aman damai. Cerita ini membuktikan, perempuan juga boleh menjadi seorang pemerintah yang baik dan bijaksana, serta mampu mewujudkan keamanan dan kemakmuran pada negerinya. Begitu juga dengan cerita “Tun Fatimah” yang memberikan peringatan betapa dendam seorang perempuan boleh melumpuhkan perasaan dan kebijaksanaan lelaki. Tun Fatimah yang dikahwini Sultan Melaka selepas keluarganya dibunuh, berdendam dengan suaminya sendiri, malah enggan melahirkan zuriat suaminya yang kejam. Namun, masa sahaja yang mampu merawat luka dan mengubah manusia. Tun Fatimah terpaksa menjalani kehidupan dengan suami yang dibenci, tetapi kemudian dendam bertukar menjadi kasihan, dan akhirnya bertukar sayang. Daripada benih cinta yang baharu tumbuh itu, lahirlah anak lelaki, iaitu Raja Ali atau Raja Kecil Besar, yang kemudian ditabal sebagai raja dengan gelaran Sultan Alaudin Riayat Shah. Melalui kisah “Cik Safura Negara”, puteri Sultan Kedah ke-15, memberikan teladan bahawa sesuatu tindakan tidak bijak akan menimbulkan penyesalan pada penghujungnya. Tunku Safura yang mahukan anaknya sendiri menaiki takhta dan menolak adik tirinya, sehingga sanggup meminta bantuan daripada pihak luar, akhirnya berasa menyesal dan sedih kerana kehilangan satu-satunya puteranya.

Novel ini memberikan perhatian khusus dengan merangka suatu naratif yang tersendiri bagi memperkenalkan setiap perempuan ternama yang pernah wujud dalam teks sastera klasik.

Meskipun kisah yang dipaparkan berkait dengan kehidupan pada zaman silam, namun nilai moral atau pengajaran yang dapat ditelusuri daripada kisah-kisah suka duka perempuan pada zaman tersebut tetap sesuai dan relevan sepanjang zaman. Pembacaan dan penghayatan terhadap kisah-kisah ini boleh dijadikan sebagai sempadan dan tauladan berguna ketika menjalani kehidupan masa kini.

Hampir semua cerita dalam kumpulan ini dibina secara berstruktur, iaitu terdiri daripada bahagian permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Hal ini menjadikan persembahannya banyak berlangsung secara kronologi. Hal ini tidak menghairankan memandangkan semua cerita dalam karya ini bersumberkan teks sastera tradisional atau hikayat yang diolah semula dalam bentuk cerita pendek atau cerpen. Peristiwa-peristiwa yang disusun dalam setiap bahagian kebanyakannya bergerak secara berurutan waktu. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa selitan teknik monolog, misalnya ketika memaparkan pergolakan fikiran Ratnamala tentang suaminya yang keletihan sewaktu memerintah negeri Kedah.

Selain pemaparan secara kronologi, terdapat juga penggunaan teknik imbas kembali (flashback), terutama ketika pengarang memaparkan peristiwa masa lalu, misalnya ketika Cik Ratnamala diingatkan oleh suaminya tentang penjajahan Portugis di negeri Melaka. Unsur konflik ditampilkan pada setiap cerita yang membawa kepada peleraian. Dalam cerita Cik Ratnamala misalnya, konflik bermula apabila Tunku Sofia menolak lamaran daripada Raja Aceh, yang membawa kepada peperangan dan berakhir dengan kekalahan Kedah.

Keistimewaan atau kekuatan novel ini terletak pada subjek penceritaannya, iaitu para perempuan dalam hikayat yang direkonstruksi dan dikumpulkan dalam satu buku. Sebelum ini, tidak banyak bahan bacaan yang menampilkan watak-watak perempuan secara aktif dalam karya teks klasik, dan jika ada pun, mereka hanya disentuh secara sepintas lalu sahaja. Sebaliknya, novel ini memberikan perhatian khusus dengan merangka suatu naratif yang tersendiri bagi memperkenalkan setiap perempuan ternama yang pernah wujud dalam teks sastera klasik.

Gaya bahasa yang digunakan sebagai medium dalam penulisan naratif ini bersifat komunikatif. Penggunaan bahasa pertuturan sehari-hari mengambil tempat utama dalam usaha menggambarkan monolog dalaman watak-wataknya. Meskipun ceritanya berkisar pada cerita pada zaman silam, namun bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa semasa yang bersifat sederhana. Penceritaannya tetap berlangsung dengan lancar dan mudah difahami oleh pembaca.

Beli novel ini di sini.

_________________________

Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman ialah pensyarah kanan Jabatan Kesusasteraan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 bagi buku kajiannya, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM, 2012). Norhayati juga terpilih sebagai pembimbing kuliah utama Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) XXIII 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.