Oleh Redza M. Arham
25 Mac 2022, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teks klasik Melayu bukan sekadar susunan kata indah yang disulam dengan pantun, syair, atau kias ibarat semata-mata. Terdapat gelora lain yang tidak kalah hebat dengan hal-hal tersebut. Mohamad Rudy Redza Arham melihat kepentingan seni fizikal melibatkan tarian dan aksi yang menjelma dalam teks klasik Melayu.

Unsur seni dan budaya seperti seni tari, seni gerak dan aksi yang bertujuan menghibur sama ada untuk keperluan sendiri atau masyarakat serta keperluan istana mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Jalinan pengaruh yang meresap telah diubahsuai menjadi versi atau corak tempatan yang jelas kelihatan ciri-ciri kemelayuannya. Hasil daripada gabungan pengaruh luar dan ciri tempatan, maka wujud keindahan dan nilai yang wajar dikatakan “molek dipandang, bangga disandang.

Pengetahuan dan kemahiran menggunakan aksara serta kecerdikan para penyalin (penulis) merakamkan segala yang dibaca, dilihat, dan diteliti membolehkan lahirnya karya kesusasteraan tradisional. Penyebaran agama Islam ke Tanah Melayu telah membawa suatu ilmu baharu kepada pemerintah dan masyarakatnya, iaitu pengenalan huruf dan tulisan Jawi. Menurut Aripin Said (2015), ilmu tersebut bukan sahaja untuk tujuan pengajaran agama Islam tetapi turut digunakan dengan meluas dalam menghasilkan karya sastera tradisional.

Karya sastera tradisional yang merupakan milik alam Melayu mencerminkan peradaban dan martabat bangsa yang cemerlang. Pusaka bangsa yang dihasilkan amat bernilai tinggi buat generasi masa hadapan. Sastera menjadi medium utama masyarakat Melayu pada zaman dahulu sebagai kaedah untuk mentafsirkan budaya dan cara hidup. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan sejumlah 10,000 naskhah yang bertulisan tangan dalam aksara Jawi (A. Aziz Deraman, 2005). Antara judul yang dihasilkan oleh golongan celik aksara sama ada secara ciptaan dengan cara menyalin atau saduran ialah Sejarah Melayu, Hukum Kanun Pahang, Hikayat Seribu Satu Malam, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Marakarma, Hikayat Malim Deman dan Hikayat Terung Pipit.

Istana dan pemerintah merupakan institusi yang berperanan menaungi dan menggalakkan kegiatan penghasilan karya kesusasteraan, kesenian dan keagamaan di zaman awal.

Para pembesar seperti bendahara, temenggung dan laksamana digambarkan mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera dan ikut membantu tugas-tugas pujangga istana. Tugas pujangga istana selain mengarang surat yang akan diutuskan kepada raja-raja untuk meminang, menjalinkan persahabatan, meminta bantuan dan sebagainya, juga mengarang syair, pantun dan seloka serta menyalin hikayat kesukaan tuannya.

(Siti Hawa, 2002)

Unsur seni dan budaya seperti seni tari, seni gerak dan aksi yang bertujuan menghibur sama ada untuk keperluan sendiri atau masyarakat serta keperluan istana mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Jalinan pengaruh yang meresap telah diubahsuai menjadi versi atau corak tempatan yang jelas kelihatan ciri-ciri kemelayuannya. Hasil daripada gabungan pengaruh luar dan ciri tempatan, maka wujud keindahan dan nilai yang wajar dikatakan “molek dipandang, bangga disandang”. Menurut Muhammad Haji Salleh (2008), “the universe of this forest (Malay world) is indeed vast, enveloped in mystery, and to understand it presupposes also that we understand the Malays, the creators of this literature and their other arts, and we must further attempt to enter into their mind, to flow with their thoughts and feel their special perspectives on artistic beauty, the function of literature in society and its status and contribution.”

Segala aspek yang melibatkan pergerakan anggota tubuh badan secara terkawal oleh minda serta gabungan pemikiran yang kreatif boleh dianggap sebagai tari. Penggunaan muzik atau bunyi-bunyian yang melatari perbuatan menari pula adalah sebagai unsur tambahan, penyeri dan pelengkap sesuatu ciptaan gerak tari. Tanpa bunyi dan muzik iringan, tarian juga mampu berdiri dengan sendirinya kerana perlakuan atau perbuatan yang diertikan tari hanya memerlukan gaya, aksi dan gerak untuk menjadi sebuah tarian.

Clippinger (2016) pula menyebut bahawa tarian secara fizikalnya menuntut dan melibatkan banyak gaya dan ragam pergerakan. Seni tari memerlukan kelenturan dan kekuatan tubuh badan, kawalan pergerakan, keseimbangan, koordinasi neuromuskular dan kesedaran aspek kinestetik (seni gerak) yang luar biasa.

Silat yang sering dikenali sebagai seni mempertahankan diri sebenarnya turut berada dalam genre tari kerana setiap pergerakan yang dilakukan bermula dengan langkah tertentu dan mencipta gaya tersendiri melibatkan seni gerak dan aksi. Abdul Rahman Ismail (2008) berpendapat bahawa kemungkinan besar seni silat berkembang secara evolusi. Sesuai dengan dapatan Karmayuda (1995) menyatakan seni silat tercipta secara evolusi sesuai dengan pengalaman manusia yang sering berkomunikasi dengan persekitaran dan keadaan yang sentiasa didatangi musuh atau lawan yang hendak menyerang. Kedua-dua dapatan tersebut bertentangan pula dengan dapatan Mubin Sheppard (1972) yang menyatakan bahawa silat berasal dari Sumatera dan dikembangkan di Semenanjung Tanah Melayu selama lebih kurang 400 tahun. Pergerakan lembut dan teratur serta terkawal yang terdapat dalam gerak-geri asas seni silat ataupun pencak merupakan unsur seni tari yang jelas.

 

 

 

 

Inti Sari Teks Melayu Klasik

Petikan daripada Hikayat Malim Dewa berikut menggambarkan kemeriahan acara tari menari di balai penghadapan istana.

Maka seketika lagi hari pun malamlah. Maka di dalam istana bermain pula dayang-dayang, biti perwara bermain lagu pendikir, menari, masing-masing dengan lakon tarinya serta pula bersambutan dengan anak raja-raja dan anak orang besar-besar yang muda-muda bangkit menari beranggap di balai penghadapan itu. Maka terlalulah azmat bunyinya, siang dan malam tiada sunyi di balai penghadapan dan di dalam istana itu, langsung pula ke bangsal permainan. Maka adalah Tuanku Gombang Malim Dewa lepas melihat permainan itu lalu berangkat keluar diiringkan oleh Bujang Selamat serta budak-budak kundang berangkat ke balai penghadapan lalu bersemayam di atas kerusi pancalogam melihat permainan itu, terlalu indah-indah lagu dan tarinya. Maka seketika semayam di situ ia pun berangkat ke bangsal permainan makyung, menora, joget dan tandak; diiringkan oleh raja-raja dan orang besar-besar serta Bujang Selamat dan kundang; lalu semayam di atas kerusi di luar bangsal itu. Maka sekalian permainan itu pun terlalu azmat bunyi-bunyian yang dipalu oleh mereka itu.

                                                                              (Hikayat Malim Dewa, 1986)

 

Hikayat Terung Pipit yang popular di utara Semenanjung iaitu di Kedah, Perlis dan Pulau Langkawi pula mempunyai pengaruh Jawa dan unsur tari. Unsur tari yang terdapat dalam hikayat ini tidak terlalu ditekankan bentuk atau jenis tarinya seperti hikayat lain. Pengarang hikayat hanya menyatakan perbuatan menari dilakukan untuk tujuan menghibur dan mendapatkan sesuatu secara sukarela.

Setelah Terung Pipit dan Gelam pun masing-masing pun berserunai dan bergendanglah lagu Jawa, maka Jerun pun terbit di sama tengah jalan pekan pesara itu lalu menari seimbas-imbas mandora, dengan lemah lembut kelakuan dan lagunya itu fesyen Bahasa Jawa. Penuh sesaklah sekalian bangsa Siam, Melayu, Keling, Cina ada belaka di lorong pekan pesara, masing-masing dengan sukanya gelak ilai mari lihat Jerun duduk menari itu. Ada yang setengah tolong tepuk tangan tolong bagi (beri) kenakan sajaknya, riuh-rendah gegak gempita di pekan pesara itu. Kepada tatkala itu, anak dara ketiga yang duduk jual cucur Jawa pun didengarnya riuh di pekan pesara, maka anak dara ketiga pun pergilah lihat di lorong Jawa, digagah selit sepit masuk lihat Jerun duduk menari itu.

                                                                                                 (Hikayat Terung Pipit, 1985)

 

P ersembahan kesenian, tari dan pencak silat turut menyerikan majlis pertabalan diraja antara Tuanku Malim Deman dengan isterinya Tuan Puteri Terus Mata dalam Hikayat Malim Deman:

Tiga bulan lamanya bekerja itu, terlalu azmat bunyinya sekalian permainan daripada makyung, menorah, joget, tandak: masing-masing dengan bangsalnya bangkit menari semuanya, terlalu besar pekerjaan baginda, beribu-ribu bangsalnya yang disediakan oleh orang besar-besar…

Maka berbunyilah nobat nafiri, bersambutan pula dengan bunyi-bunyian sekalian:

Bedil kecil merendang garam,

Bedil besar sederam-sederam,

Sebelah kanan orang berdikir,

Sebelah kiri orang menyanyi,

Sebelah kanan orang memencak,

Sebelah kiri orang bersilat.

Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad pula menggambarkan aksi gerak silat semasa peristiwa Raja Melaka berangkat ke Majapahit. Hang Tuah dikatakan telah membuat pergerakan atau tari yang berunsurkan tarian hulubalang atau lebih mudah diterangkan sebagai tarian yang berasaskan gerak-gerak silat.

…maka titah Seri Betara pada Raja Melaka, “Adakah anakku membawa biduan yang baik suaranya, kerana ayahanda terlalu ingin hendak melihat biduan Melayu menyanyi dan menari?” Maka sembah Raja Melaka, “Ada tuanku, patik bawa empat orang biduan Melayu tahu menari dan bernyanyi. Maka raja pun bertitah kepada Hang Kamar dan Hang Syamsu, “Pergi memanggil Dang Condong dan Dang Anum dan Dang Ratna dan Dang Ratna Cendera Mendani.

“Maka Patih Gajah Mada pun menyembah pada Seri Betara lalu bangun menari. Maka dianggapkannya pada Tun Tuah. Maka kata Tun Tuah, “Kula tiada tahu menari. Jikalau sambil bermain pedang dan perisai atau main keris panjang tahulah kula.” Maka titah Seri Betara, “Menari apalah kiai Tuah. Inginlah kita hendak melihatmu menari.” Maka sembah Tun Tuah, “Daulat tuanku andika, ini menari cara hulubalanglah.” Maka Tun Tuah pun menyembah Seri Betara dan raja Melaka lalu bangun menari, serta disingsingnya tangan bajunya lalu dipegang hulu keris panjangnya.

(Hikayat Hang Tuah, 1991)

Seterusnya, kemeriahan upacara pertunangan dan bertindik diraja iaitu anak kepada Sultan Mudzafar Shah turut diserikan dengan berbagai persembahan kesenian dan tarian seperti yang diungkapkan dalam teks Misa Melayu berikut:

Maka segala biduanda pun memukul rebana serta menyanyi berbagailah kelakuannya. Maka segala orang pun bermain masing-masing pada kepandaiannya; ada yang bermain lembing, ada yang bermain menari terlalu ramai siang dan malam gegak gempita riuh rendah sorak tempik tepuk dan tari.

(Misa Melayu, 1968)

Pemerian acara kesenian tari seterusnya dapat dilihat dalam sebuah lagi karya sastera tradisional iaitu Tuhfat al-Nafis.

Maka naiklah Raja Haji itu ke istana itu serta membawa anak gundiknya serta dengan joget tandaknya. Maka berkasih-kasihanlah Pangeran Syarif Abdul Rahman dengan Raja Haji itu seperti orang bersaudara betul, serta tiadalah khalinya Pangeran Syarif Abdul Rahman itu pergi berangkat ke istana Raja Haji laki isteri bermain-main joget Jambi. Maka sangatlah sukanya Utin Candera Midi itu akan permainan paduka adinda baginda itu kerana tiada ada di dalam Mempawah dan Pontianak joget yang demikian itu, hanyalah joget Jawa sahaja yang ada.

(Tuhfat al-Nafis, 1991)

 

Selain itu, tarian Ceracap Inai dan pencak silat disebut dengan jelas dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda sewaktu istiadat berkhatan dan Awang Sulung Merah Muda diraikan bagai raja sehari dengan persembahan tarian.

Maka Awang Sulung Merah Muda bangkit daripada peterana keemasan lalu membuka sekalian pakaian. Maka seketika lagi, hari pun malamlah.

Ahli leka berdikir,

Khalifah leka berdabus,

Pendekar leka memencak,

sehingga sampai tengah malam, mudin pun mengenakan balik pakai-pakaian Awang Sulung Merah Muda. Maka pendekar pun menghampiri.

Dari jauh menjunjung duli,

Sudah dekat langsung menyembah,

Terangkat kadam jari sepuluh,

Kuncup seperti sulur bakung,

Jari seperti susun sirih,

lalu menarikan inai, serta memukul rebana lagu ceracap inai.

                                                                                           (Awang Sulung Merah Muda, 1996)

Hikayat Patani turut menceritakan tentang seni persembahan istana yang gemilang dan meriah sewaktu dinaungi oleh Paduka Syah Alam Raja Ungu (1624 – 1635) iaitu anak kepada Sultan Manzur Syah. Karya sastera historiografi ini memerikan tentang kumpulan tarian Asyik dan barisan penyanyi atau biduanda seni yang terlatih dalam bidang masing-masing.

Adapun masa Marhum Pahang kerajaan itu  ada menaruh asyik ikat-ikatan empat orang, seorang bernama Tun Emas dan seorang bernama Tun Perak dan seorang bernama Tun Mas Dini dan seorang bernama Tun Madu Sari; dan biduannya Dang Saja seorang dan seorang bernama Dang Mariam, seorang bernama Dang Bedah, seorang bernama Dang Merta, seorang bernama Dang Puspasari, seorang bernama Dang Alit, seorang bernama Dang Cendera, seorang bernama Dang Anum seorang bernama Dang Sadah, seorang bernama Dang Suri, seorang bernama Dang Semara, seorang bernama Dang Alas. Maka biduan dua belas orang itulah yang terlalu banyak ragamnya dan nyanyiannya berbagai-bagai dan nama ikatan itu Seri Rama menambak tasik hendak pergi ke Langkapuri dan ada yang ikat-ikatan     ‘Datuk Bendahara Paduka Raja Melaka sedang hendak menyerang Jambi. ‘Lain daripada itu banyaklah masing-masing dengan pengetahuannya biduanda itu dan suaranya pun baik-baik belaka.

                                                                                                                   (Hikayat Patani, 1992)

 Tarian Zapin yang berasal dari tanah Arab pula diperikan dengan jelas dalam Tjatatan Ringkas Sedjarah Keradjaan Pelalawan. Selain berfungsi sebagai hiburan, tarian menjadi salah satu media dakwah untuk menyebarluaskan nilai keislaman dan tunjuk ajar Melayu:

Maka apabila ada hari besar Islam atau apabila ada djamoean helat nikah kawin atau apabila ada niat baginda oentoek bersoeka hati, atau apabila ada oepatjara adat menoeroet adatnja, maka orangpoen berhimpoen pepak dan Zapin itoe poen ditarikan oleh orang2 jang terpilih. Maka rioeh rendahlah boenji gamboes dan marwas beserta njanji jang memoeji2 Allah Soebhanahoewataala. Maka orang ramai poen doedoeklah dengan hidmatnja serta dengan tawadoeknja serta dengan takzimnja serta dengan tekoennja. Maka njanji itoepoen meresaplah ke dalam lubuk kalboe mereka sehingga ada jang menitikkan air matanja dan setengahnja ada jang terpana sahadja dan setengahnja lagi seakan maboek kepajang menengok dan mendengar semoeanja itoe. Maka mendjadilah Zapin tempat orang merenoeng dirinja, serta mengenang dan mengingat Allah dalam kegembiraan serta mensjoekoeri rahmat Nja. Maka apabila malam soedah laroet dan baginda Radja hendak masoek beradoe maka taripoen berhenti atau boleh djoega berlandjoet atas perkenan baginda adanya…

                                                                                                                    (Tenas Effendy, 2000)

Hikayat Pahang merupakan hikayat yang paling banyak memerikan hal seni tari berbanding dengan hikayat yang lain. Penceritaan yang disulam dengan perincian menarik disajikan dalam hikayat ini, terutamanya berkenaan Joget Pahang atau lebih dikenali sebagai Joget Gamelan Melayu (Terengganu & Pahang). Keratan teks berikut merupakan sebahagian daripada beberapa cerita berkenaan kemeriahan dan kegemilangan kesenian tari di bawah naungan Sultan Ahmad Pahang semasa upacara bertindik diraja yang diadakan selama 11 bulan untuk Tun (Tengku) Long iaitu putera Sultan Pahang.

Syahadan di belakang tiga hari, dikeluarkan (lah joget) bermain-main di peseban dan balairung seri, berturut-turut tiga malam dan dibebaskan sekalian mereka boleh datang melihat laki-laki (dan) perempuan. Maka malam yang keempat, baharulah sekalian anak raja-raja, orang baik-baik dan datuk-datuk naik mengebeng joget Yang Mulia Encik Puan Bongsu di atas peseban yang agung. Pada malam itu pakaian joget terlalu cantik dan lebih kepada lain-lain malam. Sekalian jenis pakaian dikurniakan bintang bertatah intan berlian, pending permata, intan Mutiara, zamrud yang besar-besar. Apatah lagi kain bajunya, hairanlah sekalian khalayak memandangnya dan tari itu pun terlebih cantik pada lain-lain malam. Maka berpatutanlah dengan rupa joget yang cantik itu; lalailah sekalian orang memandangnya, tiada sedarkan diri.

(Hikayat Pahang, 1986)

Demikianlah beberapa pemerian yang terdapat dalam teks klasik berkenaan dengan seni tari dan seni gerak. Kekayaan dan kepelbagaian ragam kesenian di alam Melayu diterjemahkan melalui penceritaan lisan dan rakaman sastera bertulis oleh pujangga bestari menambahkan lagi rencam budaya buat bangsa Melayu.

Kredit Gambar: Vicky Varotariya/Shutterstock

_________________________

Mohamad Rudy Redza Arham ialah seorang pengkaji busana, seni persembahan istana, seni hias, sastera hikayat, manuskrip dan warisan budaya Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.