21 Februari 2022, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Kesan yang paling menyedihkan akibat Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 adalah apabila negeri-negeri yang dahulunya dikuasai oleh Tanah Melayu telah diserahkan kepada Siam. Akibatnya, penduduk Melayu di sini tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu, tulisan kita hilang dan perlahan-lahan budaya Melayu hilang di sini. Sejarah ini perlu disingkap semula, terutamanya kepada generasi muda. Kerajaan di selatan Thai ialah kerajaan Tanah Melayu yang sah pada satu masa dahulu.”

Begitulah harapan pengarang terkenal tanah air, Abu Hassan Morad ketika mengupas karya terbaharu beliau Travelog Cinta Singgora, sebuah novel remaja fiksyen sejarah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah pun berada di pasaran pada awal tahun 2022.

Abu Hassan Morad merupakan pembicara jemputan dalam Bicara Karyawan yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 17 Februari 2022 (Khamis), pukul 12.00 tengah hari.

Menurut Abu Hassan Morad, buku ini merupakan novelnya yang ke-38 dan novel Travelog Cinta Singgora ialah novel beliau yang ke-18 diterbitkan oleh DBP. Pengarang yang dilahirkan dan dibesarkan di Felda Guar Napai, Jitra, Kedah, pada tahun 1957 ini telah berkecimpung dalam bidang penulisan selama empat dekad. Hasil karyanya diiktiraf dan memenangi pelbagai anugerah sastera berprestij. Novel kanak-kanak Kota Seribu Klong yang berlatarkan negara Thai yang diterbitkan oleh DBP adalah antara karyanya yang sangat dekat di hati beliau.

Tambah Abu Hassan Morad, “Cetusan novel Travelog Cinta Singgora adalah berdasarkan hasrat peribadi saya untuk menjejaki susur galur keturunan keluarga.” Perjalanan dan pengamatan beliau ke negara-negara asing sewaktu berkhidmat di syarikat penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. turut membantunya untuk mengumpul bahan, mengkaji dan meneliti kesan-kesan sejarah di Singgora.

“Walaupun novel ini tidak tebal, hanya sekitar 150 halaman, namun proses kajian dan mencari bahan memakan masa selama enam hingga tujuh tahun,” ujarnya.

Novel Travelog Cinta Singgora berpaksikan fakta sejarah dan fiksyen. Di samping watak sebenar yang tercatat dalam sejarah, seperti watak Syeikh Samad al-Palembangi, Syeikh Daud al-Fatani dan Sharif Aznan al-Fauzan, watak-watak rekaan yang menjadi watak utama dalam novel ini, seperti Tengku Had, Ku Saadiah, Sharif Musa, dan Siti Saadiah ditampilkan untuk menggerakkan cerita.

Selain itu, novel ini memanfaatkan tiga latar zaman yang berbeza. Atas dasar itu, novel ini dibahagikan kepada tiga bab. Bab pertama mengisahkan penghijrahan Tengku Had dan anak-anaknya dari Singgora ke Siputeh. Bab kedua mengangkat watak Sharif Musa sebagai pahlawan perang dan juga ulama yang menyebarkan agama Islam. Bab terakhir membawa kita ke zaman kini, iaitu Siti Saadiah yang mempunyai leluhur Tengku Had, mengembara dan mengunjungi Singgora, nama lama bagi Songkhla, bersama-sama rakannya. Justeru, novel ini sangat unik kerana terdapat unsur sejarah dan travelog yang disulam dengan penceritaan yang baik.

Abu Hassan Morad juga berharap agar novel ini dapat membuka mata generasi muda yang semakin buta sejarah dan belajar menghargai kesan sejarah yang ditinggalkan oleh Singgora. Generasi muda juga digesa untuk tidak berasa terlalu selesa dengan keamanan dan kestabilan yang dikecapi oleh Malaysia. Menurut beliau, setiap detik dan waktu, musuh akan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kita menggunakan kaedah yang halus untuk mengubah cara pemikiran dan cara kehidupan. Oleh hal yang demikian, generasi muda harus mempunyai semangat cintakan agama dan negara yang tinggi dan mengakar agar dapat mendepani cabaran masa kini.

Pada akhir bicara, Abu Hassan Morad memberikan nasihat dan dorongan kepada penulis baharu untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan. Beliau menyarankan agar penulis muda memanfaatkan latar di luar Malaysia, tidak hanya tertumpu dengan latar tempatan untuk memperkaya dan mempelbagaikan penghasilan karya kreatif.

Novel Travelog Cinta Singgora boleh didapati di semua Kedai Buku DBP. Anda juga boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi DBP Niaga.

Tonton siaran Bicara Karyawan di sini.

Berita Berkaitan |

Menuntun Sejarah Singgora melalui Novel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.