19 Februari 2022, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abu Hassan Morad menyifatkan novel boleh menjadi sebuah platform untuk mendidik dan merapatkan khalayak pada sejarah. Dengan novel, naratif sejarah boleh diceritakan semula dan diberi nafas baharu. Hal pentingnya, kunci peristiwanya hendaklah diceritakan dengan baik dan berhati-hati. Melalui novel juga, beliau boleh menceritakan sejarah dengan suara baharu, seperti daripada suara negatif kepada suara positif. Beliau menghasilkan novel baharunya untuk menceritakan sisi sejarah Melayu di Singgora melalui cara itu.

Beliau dijemput dalam Bicara Karyawan Travelog Cinta Singgora baru-baru ini untuk mempromosikan dan berkongsi pemikiran sebalik pembikinan buku terbaharu beliau, Travelog Cinta Singgora. Novel tersebut baru sahaja diterbitkan pada 21 Disember 2021 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Novel Travelog Cinta Singgora dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama mengisahkan usaha penghijrahan sebuah keluarga yang terpaksa berhijrah ke Kedah kerana tragedi peperangan. Dengan nuansa melarikan diri daripada pihak pemerintah serta menghadapi rintangan pelbagai pihak, khalayak dapat melihat pergerakan sejarah melalui mata watak ciptaan Abu Hassan Morad.

Kedua, novel ini juga tertumpu pada garapan konflik peperangan antara Kerajaan Kedah dengan Kerajaan Aceh dan Kerajaan Pattani; yang memaparkan kelemahan caturan politik, kehebatan kapal-kapal kerajaan bersejarah, penglibatan tamaun gergasi dari luar Nusantara, dan akhirnya, campur tangan pelbagai pihak yang bertanggungjawab menumpaskan Singgora.

Bahagian ketiga pula menyisipkan kisah travelog cinta pada zaman moden yang melibatkan sekumpulan watak dalam nuansa kembara jalan raya (road trip), melawat dan mendalami sejarah Singgora.

Melalui Travelog Cinta Singgora, Abu Hassan Morad menulis sebuah novel sejarah dengan kajian yang mendalam bagi memastikan latar serta rinci novelnya dapat menjadi rujukan ilmiah oleh khalayak pembaca, khususnya para remaja. Katanya, beliau menghabiskan masa enam hingga tujuh tahun untuk mengumpul bahan serta maklumat berkenaan sejarah Singgora, termasuk pengalaman beliau merapatkan diri dengan tempat bersejarah itu sendiri. Singgora atau (Songkhla) ialah sebuah bandar kecil di Thailand, yang terkandung khazanah sejarah yang kaya berkaitan tamadun Melayu.

Abu Hassan Morad juga berpesan, sebagai penduduk negara yang telah aman daripada penjajahan dan peperangan, kita harus belajar daripada sejarah. Melalui pembikinan novel ini, beliau memberi ruang dan platform kepada khalayak untuk merapatkan diri dengan sejarah dengan lebih dekat lagi.

“Ini novel sejarah. Walaupun nipis, (novel ini) terkandung sisi-sisi sejarah yang dimiliki oleh bangsa Melayu yang sepatutnya didalami masyarakat generasi kini.” Selain menceritakan sejarah, beliau mengukuhkan cerita dengan watak-watak fiksyen sebagai unsur dramatik, di samping mengetengah kisah cinta di Singgora yang berkait dengan senario moden hari ini.

Dapatkan novel Travelog Cinta Singgora di sini.

Tonton bicara penuh di sini.

Berita Berkaitan |

Abu Hassan Morad: Travelog Cinta Singgora Cetus Usaha Jejak Susur Galur Keturunan Keluarga

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!