11 Februari 2022, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berbanding beberapa buah negeri lain, Perak dianggap tidak berminat mengadakan hadiah atau anugerah untuk sasterawannya. Benarkah begitu? Jika benar, mengapakah boleh terjadi sedemikian? Raja Yusoff Ariffin yang juga berasal dari Perak, cuba melihat isu ini sambil mengimbau serba sedikit sejarah anugerah berkenaan, dan meninjau pendapat beberapa orang penulis kelahiran Perak.

Beberapa orang penulis menganggap bahawa kelesuan sastera Perak dan ketiadaan HSP berlaku selepas pemergian Allahyarham Malim Ghozali Pk, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Malim.

Sastera Perak dikatakan ketinggalan dan perkembangannya seolah-olah terhenti. Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Dr. Zabidin Ismail pernah berkata, ramai penulis berbakat besar berada di luar Perak, terutamanya di Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, mereka tidak dipinggirkan oleh persatuan penulis negeri, sebaliknya turut dijemput menghadiri aktiviti sastera di Perak, sama ada dalam bentuk festival, kursus, bengkel, atau pertemuan penulis.

Justeru, Dr. Zabidin mencadangkan agar penulis Perak yang berada di perantauan mengisi borang keahlian mana-mana persatuan penulis di negeri itu agar mudah dihubungi, kerana tenaga mereka diperlukan untuk menjayakan program sastera dan penulisan.

Selain Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak, Karyawan Pk adalah antara persatuan penulis di negeri Perak yang giat menganjurkan acara sastera sepanjang tahun.

Bagi saya, sama ada terhenti, ketinggalan, lesu, atau sebaliknya, pelaksanaannya wajar dilihat dari aspek membangkitkan semangat komited untuk berkarya (dalam kalangan sasterawan Perak), pelestarian aktiviti sastera serta menambah program mencungkil dan membangunkan bakat-bakat baharu.

Benarkah kelesuan berlaku akibat kelemahan persatuan penulis, kewujudan penulis muda yang tidak disedari (oleh pihak penganjur), aktiviti sastera yang lebih bersifat “bersuka ria”, ketiadaan dana kerajaan negeri, dan kebanyakan sasterawan menetap di luar Perak?

Dalam hal ini, saya fikir jika pelaksanaannya terhenti kerana ketinggalan atau lesu, hal ini bermakna aktiviti ini sebenarnya masih hidup dan bernafas kerana masih dibincangkan. Perkara sebenar yang perlu dilakukan adalah untuk menggerakkan semula dan mencergaskannya kembali. Hal ini sudah tentu berbeza daripada terus mati atau hilang lenyap begitu sahaja kerana pastinya, hal itu lebih sukar.

Bagi saya, sama ada penulis mapan atau muda dan menetap di mana, yang penting ialah terus berkarya. Tidak kiralah berapa jumlah persatuan penulis yang mampu melaksanakannya, yang penting setiap persatuan penulis negeri perlu sentiasa aktif mengadakan pelbagai aktiviti. Malah, persatuan penulis mana yang lebih aktif juga janganlah dipertikai.

Dalam hal ini, kita bolehlah kembali menyingkap sedikit sejarah anugerah sastera di negeri Perak. Pada 6 Mac 2010, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang ketika itu Menteri Besar Perak mengumumkan bahawa Hadiah Sastera Perak akan diwujudkan semula oleh Kerajaan Negeri Perak. Beliau yang mengetuai Kerajaan Negeri telah meluluskan empat perkara yang dimohon oleh Karyawan Pk sewaktu berucap merasmikan penutupan Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Hj. Muhammad dan Malim Ghozali Pk, serta membuka gelanggang Malam Gema Puisi UPSI di Dewan Seri Tanjong, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, Zainol Fadzi Pakaruddin.

Empat perkara itu adalah untuk mengadakan semula Hadiah Sastera Perak (HSP) setiap dua tahun sekali anjuran Kerajaan Negeri dan dikelolakan oleh Karyawan Pk; menubuhkan Kursi Tengku Menteri di UPSI, dengan dana asas disediakan oleh Kerajaan Negeri; membentuk Institut Penyelidikan Budaya Perak (Perakologi) di UPSI, dengan Kerajaan Negeri bersedia memberikan dana asas; dan membeli buku-buku karya ahli Karyawan Pk sebanyak 10 judul seribu naskhah setiap satu judul.

Ekoran itu, Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) ke-5 pada 11 hingga 14 Disember 2014, menampilkan kelainan dengan menyelitkan pelbagai aspek, khususnya mewujudkan kembali HSP.

Beberapa orang penulis menganggap bahawa kelesuan sastera Perak dan ketiadaan HSP berlaku selepas pemergian Allahyarham Malim Ghozali Pk, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Malim. Walaupun HSP dikendalikan oleh Karyawan Pk, tetapi peranan Allahyarham yang juga rapat dengan Dato’ Seri Dr. Zambry banyak membantu menjadikannya satu kenyataan.

Selepas pemergian Pak Malim, kata Al Hisyam dari Kuala Kangsar, dunia sastera di Perak kelihatan suram dan keadaan itu diburukkan lagi oleh wabak pandemik COVID-19.

“Kematian Pak Malim mungkin salah satu faktor hadiah sastera di Perak tidak dapat dilaksanakan,” kata Hisyam yang turut memberitahu, ada beberapa pihak yang telah mengemukakan kertas cadangan agar HSP kembali diadakan semula.

Mamu MK Hasny (Sitiawan) pula mengatakan, hal ini barangkali kerana tiada persatuan penulis seperti Karyawan Pk atau LEPAS atau lain-lain yang mampu menyiapkan kertas cadangan sebagaimana yang Pak Malim lakukan untuk dikemukakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Shahrun MN yang lahir di Behrang pula berpendapat, antara sebab isu ini timbul ialah ketiadaan pihak penaja. Selain itu, tambahnya, soal menentukan calon mana yang layak atau tidak juga satu masalah kerana ada yang bergiat di Perak, dan di luar negeri berkenaan.

Bagi Ratna Laila Shahidin, penganjuran hadiah sastera sesebuah negeri bergantung juga pada pemimpin negeri dan kestabilan politik negeri tersebut. Begitu pun, katanya, beliau ada mendengar perkhabaran anugerah berkenaan mungkin akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan.

“Tidak menjadi masalah besar jika Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berminat, dan menggalakkan penganjuran anugerah tersebut, sebagaimana Dato’ Seri Dr. Zambry sebelum ini,” katanya yang berasal dari Lenggong.

Sementara itu, penyair veteran Pena Mutiara berharap agar Kerajaan Negeri Perak akan prihatin dengan isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Menurut beliau yang lahir di Batu Kurau, Karyawan Pk ada memberitahu bahawa kemungkinan anugerah sastera di Perak akan diadakan semula pada tahun ini.

Pak Malim yang meninggal dunia pada 18 Jun 2020 akibat kanser ketika berusia 71 tahun, berasal dari Malim Nawar. Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamed Ghazali Abdul Rashid telah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak ketiga pada 13 Disember 2014.

Semasa hayatnya, Pak Malim banyak mengarang novel dan cerpen, serta sesekali sajak. Allahyarham turut menerima pelbagai anugerah lain, termasuk SEA Write Award (Malaysia) 2013.

Lulusan Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya pada tahun 1973 ini turut mengikuti program Biasiswa Penulisan Kreatif di Pusat Seni Kreatif Virginia, Amerika Syarikat.

Nama Pak Malim semakin menanjak apabila beliau bekerjasama erat dengan Dr. Zambry menganjurkan PULARA mulai tahun 2010. Bersempena dengan PULARA yang mendapat sambutan hangat dari tahun ke tahun itu, dan sebagaimana yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Perak, HSP dianjurkan semula pada tahun 2014, dengan majlis penyampaiannya semasa PULARA ke-5.

Anugerah itu kemudian diteruskan atas nama Hadiah Karya Darul Ridzuan V semasa PULARA 7 (8–11 Disember 2016) sebelum bertukar menjadi Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) ketika PULARA 9 (28 November–2 Disember 2018).

Tiada siapa menduga, PULARA 9 yang buat pertama kalinya diadakan di Ipoh itu merupakan acara anugerah yang terakhir (walaupun ada perkhabaran yang programnya akan dianjurkan semula pada Jun tahun ini). Ketiadaan PULARA juga menamatkan HSDR.

Apakah kemunculan semula PULARA (PULARA 10) bererti kewujudan semula HSDR? Kita tunggu dan lihat sama ada Karyawan Pk atau LEPAS, ataupun kedua-duanya akan bergabung untuk menghidupkan HSDR. Kita tunggu dan lihat.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!