Oleh Karmila Azmi
24 Januari 2022, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Pengarang kelahiran Malaysia, Karina Robles Bahrin memenangi The Epigram Books Fiction Prize menerusi karyanya, The Accidental Malay.

Kemenangan ini merupakan kemenangan kali kedua untuk pengarang Malaysia. Sebelum ini, hadiah yang sama pernah dimenangi oleh Joshua Kam pada tahun 2020 menerusi karyanya, How The Man in Green Saved Pahang, and Possibly the World.

Karina menerima RM78 ribu dalam siri ketujuh pertandingan itu yang terbuka kepada naskhah berbahasa Inggeris yang belum pernah diterbitkan.

The Epigram Books Fiction Prize yang dimulakan pada tahun 2015 awalnya untuk mempromosikan penulisan kreatif pengarang kontemporari Singapura. Walau bagaimanapun, sayembara ini dibuka kepada pengarang dari Asia Tenggara bermula tahun 2020.

Kemenangan Karina diumumkan secara dalam talian menerusi Facebook dan YouTube.

The Accidental Malay dimulakan pada bulan Mac 2020 ketika Malaysia dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan. Naskhah itu mengisahkan Jasmine Leong yang bercita-cita menjadi eksekutif chef di sebuah syarikat yang dimiliki oleh keluarga Leong. Namun begitu, Jasmine mula resah selepas mendapati beliau berketurunan Melayu daripada sebelah ibunya. Hal ini menyebabkan dia bimbang cita-citanya tidak kesampaian.

Naskhah ini berlatarbelakangkan Malaysia dengan membawa isu mengenai polisi negara yang penuh perkauman tetapi wataknya tidak mahu menyerah diri kepada sejarah identiti yang membentuk dirinya.

Pertandingan itu menampilkan Profesor Shirlet Chew dari Universiti Teknologi Nanyang sebagai panel selain pengarang dan pemilik Buku Fixi, Amir Muhammad; Pengarah juga Pengasas Institut Teater Singapura, T Sasitharan; Presiden Association of Women for Action and Research Margaret Thomas; dan penerbit dari Epigram Books, Edmund Wee.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.