10 Januari 2022, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi “Tidak perlu dijumudkan dikotomi antara bidang sastera dengan sains. Kerana bagi saya, dalam objektif kesusasteraan, hanya ada dua sahaja penilaian umumnya, iaitu apakah takah kualiti dan kesedapan sesebuah karya sastera itu,” tegas Khairil Idham Ismail dalam Bicara Kluster Warisan Melayu: Doktor yang Menulis Cerpen anjuran Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 Januari 2022 (Rabu).

Menurut beliau juga yang merupakan seorang cerpenis dan doktor perubatan, walaupun ada garisan peranan bagi penulis kreatif yang mempunyai bidang kepakaran tersendiri, tidaklah perlu untuk menampilkan titik dikotomi sehingga menyekat keluasan perbincangan.

Pemikiran sastera sememangnya berada dalam jalur bidang ilmu yang pebagai, malah jalur kehidupan yang tidak terbatas perjalanannya. Dalam ekonomi ada sastera, dalam geografi ada sastera, malah dalam bidang kedoktoran juga ada sastera yang mempunyai gagasan bidangnya yang tersendiri.

Menggambarkan diri beliau sebagai seorang awanama (anonymous), beliau merendah diri dan menganggap dirinya hanya sebagai seorang pelajar. Beliau secara hakikinya kini memang sedang menuntut pengajian Doktor Falsafah.

Perjalanan pendidikan beliau bermula rancak sejak pada peringkat awal. Khairil Idham sempat berkongsi pengalaman beliau sebagai pelajar rintis yang dihantar oleh kerajaan Malaysia ke Rusia untuk mengaji bidang kedoktoran.

Di sana juga, beliau mula menemui bibit minat dan masa depan kerjaya sebagai penulis karya kreatif. Di luar negara juga berlakunya pergaulan intelek yang melibatkan penggiat penulis secara antarabangsa. Terdapat pertemuan dan perbincangan mesra antara siswa dan mahasiswa dari Ireland, Perancis dan beberapa negara asing yang memekarkan lagi semangat beliau untuk menulis.

Cerpenis itu juga sempat berkongsi saranan dan kata-kata dorongan buat mereka yang ingin berkarya. Dalam karya kreatif, cerpen khususnya, Khairil Idham menggariskan beberapa panduan dan idea.

“Idea yang tercetus diperoleh daripada pelbagai kaedah. Pertamanya, daripada pembacaan, sama ada pembacaan akademik, bahan bacaan media, bacaan santai, malah pembacaan yang tidak berilmiah juga boleh mencetuskan idea,” ujar Khairil.

Tambahnya, begitu juga pentingnya pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain menjadi sumber idea. Kedua-dua elemen ini dapat diintegrasikan melalui satu kaedah penting untuk mencipta gagasan dan idea karya, iaitu pemerhatian.

Rumus beliau, pemerhatian yang telus dan mendalam melalui kata-kata orang, rungutan, kelakuan, dan pergerakan sekeliling jika digabungkan dengan pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain, lalu diintegrasikan dengan kegiatan pembacaan yang meluas, akan membantu untuk mencetuskan satu idea bagi penulisan yang kuat.

“Dengan menulis secara kreatif, membantu saya untuk menjadi seorang yang lebih ekspresif dan bebas untuk menjawab persoalan-persoalan yang perlu ditangani dalam kehidupan seharian.”

Khairil Idham mengharapkan penulisannya mampu memberikan impak dan mengesankan pembaca. “Paling tidak, membijakkan pembaca. Selepas mereka membaca karya tulisan saya, diharapkan agar mereka dapat sesuatu yang baharu atau mengesankan,” tambahnya lagi.

Sempat berkongsi lima tahap garapan penulisannya, doktor perubatan itu berkongsi proses pemikiran dan penggarapan idea apabila menulis naratif cerpen. Konstruk unik yang digarapkan oleh beliau dalam bicara ini adalah bagaimana untuk membangunkan sebuah cerpen dengan bermain masa dan jalur ruang.

Memanipulasikan ruang dan masa dalam sebuah cerpen yang masih berpijak pada dunia nyata juga berisiko kerana had fizikal cerpen yang terbatas. Jika tidak digarapkan dengan kukuh dan kuat, akan terpapar gaya yang terlalu mencuba-cuba, meletihkan dan memberikan gambaran buruk buat pembaca.

“Ceritanya akan jadi kucar-kacir dan tidak sedap untuk dibaca,” jelas beliau, ringkas.

Doktor Khairil Idham Ismail menyimpulkan, untuk menjadi penulis, seseorang itu perlu untuk mula dengan apa-apa yang ada dalam diri dan membuat pemerhatian akan siapakah dirinya sendiri, bagaimanakah gerak hatinya, apakah buah fikirannya, gejolak jiwanya, dan perasaannya.

Melalui pemerhatian terhadap pengalaman, pembacaan dan pembelajaran, sebuah idea dan gagasan juga akan dapat dicetuskan. Tambahnya lagi, “Mula dengan matlamat kecil berbanding dengan matlamat besar.”

Jika ditanya bilakah waktu yang sesuai untuk bermula, beliau menjawab, “Semalam, jika bukan sekarang.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!