Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLondon – Pengarang kelahiran Kuala Lumpur, Shih-Li Kow antara enam penulis dari Asia yang berada dalam senarai akhir Hadiah Cerpen Komanwel 2023.
Bekas jurutera itu tampil menerusi cerpen “Relative Distance”, bersaing dengan lima lagi penulis, iaitu Arman Chowdhurry (Bangladesh), Vidhan Verma (India), Usama Lali (Pakistan), Agnes Chew (Singapura), dan Rukshani Weerasooriya Wijemanne (Sri Lanka).
Yayasan Komanwel dalam kenyataan medianya berkata, mereka menerima sebanyak 6642 buah cerpen bagi penilaian tahun ini. Penyertaan kali ini membabitkan pengarang dari 56 buah negara Komanwel, termasuk anggota terbaharu, Togo dan Gabon. Daripada jumlah itu, 28 pengarang dari 19 negara berada dalam senarai pendek.
“Selain enam dari Asia, 22 penulis lain turut berada dalam senarai itu dengan masing-masing mewakili Afrika, Kanada dan Eropah, Caribbean dan Pasifik,” katanya.
Ketua juri, Bilal Tanweer berkata, beliau sangat teruja dengan senarai pendek kali ini.
“Ia adalah gambaran suara seluruh Komanwel yang kaya dengan tradisi penulisan, sejarah dan perspektifnya. Kisah-kisah ini penuh dengan tenaga dan kesegeraan masa kini—bacalah untuk mengalami degupan dan nadi penceritaan kontemporari,” katanya.
Hadiah Cerpen Komanwel merupakan penganugerahan tahunan yang diberikan kepada karya cerpen tulisan pengarang dari 56 negara anggota Komanwel. Pemenang serantau akan diumumkan pada hari Rabu, 17 Mei, dengan penyiaran karyanya yang akan diterbitkan dalam majalah sastera, Granta.
Pemenang keseluruhan pula akan diumumkan pada 27 Jun 2023.
Kredit Foto: Yayasan Komanwel