Oleh Ilham Budiman
31 Disember 2021, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang juga Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM) merupakan salah seorang antara Pembentang Ucap Utama Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, berlangsung pada 3–4 Disember, baru-baru ini.

“Kami dari Persatuan Sastera Lisan Malaysia sudah lama mendengar dengung dan makna serta nasihat leluhur kita yang diturunkan dalam ribuan peribahasa atau puisi serta cerita-ceritanya. Di luar pagi kota konkrit hari ini, ada sastera lisan dan folklor sebagai sebuah laut khazanah yang terbentang luas,” ujarnya.

“Bersamanya terhidang ceritera dan makna kehidupan yang dilakonkan – di sungai, paya, tasik, dan laut yang luas. Semuanya mengalir dalam ayat-ayat lisannya, kerana inilah suara leluhur kita,” Sasterawan Negara ini mengungkapkan dengan indah, menjelaskan hakikat saki-baki warisan folklor masih lagi wujud, meski zaman sudah merentas moden.

Penerangan beliau itu membawa kepada maksud bahawa folklor daripada leluhur kita tetap bermanfaat dalam makna kehidupan sepanjang zaman.

Beliau secara berkias, menjelaskan, “Karya-karya masyarakat kita, daripada semua suku, adalah seperti helaian daun daripada pohon purba di belantara, bukit, kuala, paya, dan desa. Pohon-pohon ini akan nanti menumbuhkan ranting dan bunga serta buah baharu, untuk menyambung hayatnya.

“Kita semua membina pondok di bawah pohon-pohon ini, namun sering tidak menyedari kehadirannya kerana pohonnya terlalu tinggi di atas, dan oleh itu makna dan keindahannya juga sering dilupakan. Inilah belantara warisan, dan kita sudah pun lama menikmati buahnya, dan kadang-kadang juga pucuk dan akarnya. Benihnya pula kita kutip dan semai di padang dan laman yang lain.”

Berdasarkan folkor dalam peradaban Melayu, beliau mengemukakan contoh daripada masyarakat Iban, Melanau dan Kadazandusun tentang cara leluhur dahulu mewarisi mitos asal usul manusia, yakni asal usul mereka.

Meski sebagai folklor, namun hal ini membuktikan leluhur cuba memahami permulaan alam, menghargai kebaikan nilai-nilai kehidupan dan menyayangi sepenuhnya alam ini. Termasuklah, menghargai padi sebagai tanaman yang menjadi sumber penting bagi kehidupan, sebagaimana dapat direnung daripada folklor Kadazandusun.

“Leluhur kita adalah perenung alam – melalui generasi, zaman, kurun, dan milenia,” tegasnya.

Menerangkan lanjut, Prof. Muhammad menjelaskan, ada beberapa pemerhatian dan kesimpulan mereka yang diwarisi sebagai bentuk peribahasa. Misalnya, daripada peribahasa Riau, “Kalau nak tau tentang manusia masuklah ke dalam belantara.” Sementara itu, orang Minang pula menyimpulkannya dengan sangat baik: “Alam terkembang menjadi guru.”

Peribahasa tersebut sangat berfalsafah, namun praktikal kerana kita diajak melihat dan merenung alam sekali gus mengutip makna daripadanya. Setelah memahaminya, kita akan memahami rentak, jiwa dan kehidupan itu sendiri, ujar beliau.

Leluhur kita sangat mengenali setiap sudut alam sekitarnya. Setiap manusia atau kelompoknya akrab dengan sudut alam yang khusus. Oleh hal yang demikian, nelayan Malaysia tradisional mengenali ombak dan gelombang, ikan besar dan kecil, karang dan pantai dengan lebih dekat.

Sementara itu saudaranya, yang bersawah, mengenali tanah dan lumpur, musim yang bersilih ganti, haiwan dan unggas yang menyerang padinya. Ke arah hutan sedikit ialah pekebun buah-buahan. Dia juga harus dapat membaca awan, angin dan suhu, dan rentangan sungai, bukit dan paya, dan baruhnya, jelasnya lagi.

Sasterawan Negara ini mengajak merenung, “Kita perlu merasakan perasaan pohon-pohon di hutan bersama makhluk yang lainnya. Maka, kita disarankan untuk mengambil hanya yang diperlukan, sekiranya tidak, kita akan menanggung akibatnya.

“Cerita-cerita Aslian turut sama menyimpulkan makna dan sumbangan alam kepada manusia. Setelah ratusan, malah ribuan tahun memerhati alam, maka pemerhati tidak dapat mengelak daripada melihatnya sebagai bandingan atau metafora untuk manusia sendiri. Alam sebagai bandingan kepada manusia – metafora, wakil dan imejan, kepada cara manusia dalam kehidupannya,” jelasnya lagi.

Menurut beliau lagi, inilah sebabnya mengapa bentuk-bentuk yang ribuan tahun usianya ini boleh terus hidup dan malah disukai. Ada seni padanya, seni tinggi yang sejalan dengan cara kita bercakap, berperasaan dan menyampaikan pendapat. Peribahasa, pantun dan isun-isun, lekat dalam peribadi dan watak kita kerana baris-barisnya mengalir dalam arus sejarah dan kesedaran kita.

Berkenaan pantun, beliau menjelaskan, pantun juga wujud dalam bahasa Semai, Jahut, Bajau, Kadazandusun, dan Iban, selain bentuk-bentuk salinannya, kentrung, pantong, londe, dan puluhan yang lain di seluruh Kepulauan Melayu-Nusantara.

Dalam nilai kehidupan sebagai inti sastera lisan, beliau memberitahu, sangat banyak bukti yang boleh dikutip bahawa budaya-budaya tradisional kita mengajar kita menjadi teman kepada tanah, sungai, laut, dan tumbuh-tumbuhan, kerana di belakangnya, ada beberapa sebab, termasuk hakikat bahawa kita diberikan segala-galanya oleh alam.

Muhammad Haji Salleh turut memberikan fakta menarik berkenaan keakraban bangsa Melayu dengan alam yang menurut beliau, diperkuatkan dan diperhaluskan oleh ilmu tentang alam. Oleh sebab itu, ketika 100 tahun yang lalu orang Melayu terkenal dalam kalangan penjajah Inggeris sebagai natures gentlemen.

Namun begitu, beliau kembali menyoal, “Sekarang dengan rosaknya alam ini dalam berbagai-bagai cara, apakah kita lebih sesuai dikenali sebagai natures barbarians?”

Dalam pada itu, Muhammad turut menerangkan, dalam konsep banyak suku kaum, ubat untuk semua jenis penyakit boleh didapatkan dalam alam sekeliling kampung manusia – di sungai, paya, hutan, dan laut. Kenyataan ini dibuktikan oleh amalan zaman pra-farmasi moden kita. Dan sebenarnya, sebahagian daripada perubatan moden pun terbukti mengambil daripada pengalaman perubatan tradisional.

Beliau turut memberitahu, terdapat beberapa buah buku perubataan tradisional bangsa Melayu yang telah ditranskripsi dan dianalisis. Antaranya termasuk MSS.2999 Kitab Tib: A Modern Medical Insight into and Interpretation of a Malay Medical Manuscript oleh Abdul Ghani Hussain, Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu oleh Harun Mat Piah, serta makalah “Perubatan Alternatif dalam Kalangan Komuniti Bajau Laut Semporna, Sabah” oleh Nur Faidah Aldam dan Vivien W.C. Yew.

“Bangsa-bangsa Malaysia sudah ribuan tahun berhadapan dengan alam, setiap hari, mengalami peristiwa dan merenung watak, peribadi dan maknanya. Mereka mendiami dan dikelilingi oleh suatu persekitaran yang khusus, dan dihadiahkan pengalaman-pengalaman yang istimewa – yang akhirnya memberikan mereka seberkas pengetahuan yang unik – yang tidak terdapat di Rusia, Perancis, China, Maghribi ataupun Sepanyol. Semua ini dihablurkan dalam peribahasa, teromba, syair, hikayat, cerita, dan wayang,” tegas Muhammad.

Ujar beliau lagi, “Proses pembinaan khazanah kebijaksanaan dan ilmu ini mengambil waktu yang sangat panjang, yang perlu melalui proses pemerhatian, pengujian waktu, peristiwa dan amalan, dan berbagai-bagai individu serta generasi.”

Oleh yang demikian, setiap bidang kehidupan cuba mengutip ilmu daripada pengalamannya supaya masalah yang dihadapi dapat ditangani, dan setelah itu, membina struktur yang sesuai atau mencari cara baharu. Hasil semua ini terus ditafsir dan digunakan dalam beberapa zaman.

“Untuk cuba memasuki persoalan di hadapan kita,” kata Sasterawan Negara ini sebagai memberikan cadangan, beliau menyarankan kita:

  1. Kembali melihat bagaimana leluhur kita mengenali alam dengan akrab, dan melihat tempat manusia di dalamnya,
  2. Mengesan dan mengiktiraf hak alam dalam kehidupan kita – kerana kita harus sedar akan pemberian alam kepada kita: udara/oksigen, makanan, minuman, kenyamanan, serta keindahan,
  3. Membina sikap menghormati alam yang bukan milik kita, tetapi milik Tuhan, dan harus dijaga untuk generasi akan datang, dan
  4. Membina sikap baharu berserta pelan tindakan secukupnya untuk sebuah dunia yang baharu, yakni memulihara alam semula jadi, alam sekitar, sebagaimana cermatnya leluhur menyayangi, menghargai dan memelihara alam ini.

Justeru, tanpa air, api, angin, bijirin, dan buah-buahan, ubat serta penawar (dan yang tidak nyata – oksigen – udara kehidupan) kita akan menjadi miskin, parah ataupun tinggal sebagai mayat, beliau sempat bersinis.

“Oleh itu, kita sangat memerlukan ilmu tempatan yang tiada ternilai untuk merawat diri dan dunia kita,” tegas beliau.

Ribuan tahun sewaktu seloka, puisi dan peribahasa kita dicipta, alam masih utuh dan memperbaharu serta merawat dirinya dengan cara yang naluriah. Kerosakan yang berlaku tidak berskala serius. Seperti kerosakan di benua Australia, California, Brazil dan di hulu-hulu sungai di Malaysia yang dicuri pohon-pohonnya, ujarnya lagi.

Beliau mengakhiri pembentangan dengan membacakan petikan puisi ciptaannya, “Pesan dari Hutan” untuk direnungi dan dihayati:

Janganlah menebang dengan kerlipan untung
janganlah mengeruhkan sungai dan laut
itulah alur kampung kami.
Ambillah seperlu hidupmu,
patahkan ranting
supaya pucuk dapat bertunas kembali.

Berita Berkaitan |

Alam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.