Oleh Ilham Budiman
26 Disember 2021, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Prof. Dr. Jan van der Putten yang ikut membentangkan kertas kerjanya pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia baru-baru ini telah mengemukakan suatu pendedahan menarik sebagai suatu interpretasi baharu yang masih belum begitu disedari umum dan meluas mengenai kisah “Singapura Dilanggar Todak”.

Jan van der Putten sejak dahulu memang merupakan salah satu sosok nama besar daripada kalangan sarjana Barat yang meneliti kebudayaan, folklor dan sastera Nusantara. Beliau berkesempatan untuk bersama menyertai barisan 30 orang pembentang pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, yang berlangsung pada 3–4 Disember, baru-baru ini.

Sarjana dari Belanda ini yang kini mengajar di Universiti Hamburg, Jerman, ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Kisah Hamis dari Laut Melayu” memberitahu khalayak peserta, “Jika membahas sumber-sumber maritim bagi cerita folkor Melayu, perkara pertama yang muncul dalam benak saya bukan lain daripada pelanggaran ikan todak yang dilakukan terhadap beberapa negeri dalam khazanah naratif Melayu.

“Dalam hal ini, yang paling terkenal adalah yang diarahkan oleh ikan todak ke Singapura. Namun, ada beberapa negeri lain yang kononnya pernah menghadapi serangan ikan juga,” ujar beliau.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu menjelaskan, dalam kisah sejarah kerajaan Melayu, pelanggaran ikan todak ke Singapura terjadi setelah Tun Jana Khatib, seorang alim dari Pasai yang telah “memahirkan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas alam” (Sulalatus Salatin, ed. A. Samad Ahmad:67), dituduh oleh Raja Singapura sebagai terlalu menunjukkan kebolehan saktinya di depan permaisuri yang sedang berada di dalam taman, sewaktu sebatang pokok pinang dibelah oleh Tun Jana itu.

Alim Pasai itu dengan serta-merta dan tanpa diperiksa lebih lanjut telah dihukum bunuh, dan setelah itu, ribuan ikan todak yang dikerah dengan daya supernatural meluluh lantakkan negeri itu untuk membalas dendam terhadap raja dengan rakyatnya.

Jelas beliau lagi, peristiwa atau kisah ini sangat dikenali di Alam Melayu, khususnya di Semenanjung dan Singapura, dan di mana-mana diulang kembali dan diceritakan betapa rajanya menyuruh rakyat membuat kubu di pantai untuk melawan serangan ikan itu. Rupa-rupanya, kubu yang dibuat itu tidak berkuasa untuk melawan serangan ikan todak, kerana tidak ada yang boleh menanggulangi bala seperi itu.

“Kurang lebih macam inilah biasanya kisah diceritakan kembali yang menekankan kezaliman raja Singapura dalam dua hal: baginda menitah membunuh Tun Jana Khatib dan mengorbankan rakyatnya untuk menjadi perisai manusia sebagai sasaran empuk bagi jongor ikan todak itu,” beliau memberitahu khalayak.

Namun begitu, van der Putten menyuarakan rasa hairan beliau kerana penjelasan bahawa rakyat dikorbankan demi keselamatan kerajaan tidak berubah. Hal ini demikian kerana sejak kira-kira 14 tahun lalu lagi, sebenarnya, sudah pun terdapat interpretasi baharu berkaitan peristiwa “Singapura Dilanggar Todak” ini.

Menurut beliau, pada tahun 2007, seorang ahli sastera Melayu dan Bugis dari Belanda, iaitu Dr. Roger Tol telah menerbitkan sebuah artikel yang membantah interpretasi bahawa raja Singapura dengan sangat zalimnya telah menyuruh rakyat untuk membuat benteng dengan menggunakan tubuh badan sendiri, seperti dalam teks yang dinyatakan: berkubukan atau berkotakan betis.

Putten menegaskan, menurut Tol bukannya “betis” anggota badan yang dimaksudkan di sini, tetapi betis atau bitis yang merujuk sejenis pokok keras yang tumbuh dekat laut. Maka, dalam kisah batang bitis itu diganti dengan batang pisang agar jongor ikan todak itu akan tercacak di dalamnya.

Ujar beliau lagi, cara ini sesuai dengan nasihat yang diberi oleh budak Melayu kepada rajanya, maka orang Melayu boleh membunuh ikan todak itu dengan mudah: maka dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat” (Sulalatus Salatin, ed. A. Samad Ahmad:68).

“Apakah memang menghairankan bahawasanya pelurusan naratif yang dilakukan oleh Roger Tol itu tidak didengar dan diikuti oleh orang Melayu di Alam Melayu yang tetap sahaja mengirakan kezaliman raja itu yang menjadi pesan dalam cerita ini?” Putten menyoal khalayak.

Namun demikian, beliau tetap menyuarakan rasa tidak hairannya, jika hujah, fakta, dan interpertasi tersebut masih belum diketahui atau tersebar meluas di rantau ini.

Tegasnya, “Hal ini kerana jangkauan sebuah artikel dalam jurnal ilmiah tidak jauh (penulis: tersebar luas) dan siapakah di Alam Melayu membaca Jurnal Indonesia and the Malay World?

“Lagi pula masalahnya, naratif macam ini yang lazimnya digolongkan sebagai legenda atau mitos, telah berurat berakar dalam khazanah naratif Melayu dan hanya akan diubah dengan sangat lambat serta susah.

“Selain itu, ada kemungkinan bahawa pergantian makna daripada ‘pokok dekat pantai’ menjadi ‘bagian bawah kaki’ yang disejajarkan untuk melawan serangan ikan todak, boleh jadi pun sudah cukup lama dilakukan. Ini hal menarik untuk diteliti dalam naskhah-naskhah Salalatu ‘l-Salatin mana yang telah menunjukkan makna baharu,” jelas beliau.

Beliau menambah, “Sementara ini, saya hanya sempat melacaknya ke dalam Hikayat Hang Tuah yang juga mengandungi episod pelanggaran ikan buas ini, namun dihadapi oleh kerajaan Indrapura yang setelahnya takluk pada Kerajaan Melaka. Dalam awal ceritanya: Setelah Baginda mendengar sembah Bendahara yang demikian itu, maka titah Baginda, ‘Jikalau demikian, baiklah kita berpagarkan betis, supaya masyhur nama kita, lagi pun kita Raja besar, banyak rakyat,’.”

Beliau menerang lanjut, jika dalam Sulalatu ‘l-Salatin masih cukup boleh diragukan, apakah maknanya sudah dialihkan daripada pokok dekat pantai kepada bahagian kaki. Namun sebaliknya, dalam Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan oleh Badan Bahasa di Indonesia pada tahun 2010 sudah jelas dan sangat terang interpretasinya sebagai contoh betapa zalimnya sang raja yang memerintah rakyatnya melawan serangan ikan bersenjatakan jongor dengan tubuh badan rakyatnya sendiri.

Bila dan disebabkan apa peralihan interpretasi tersebut masuk ke Alam Melayu dan makna “pokok bitis” menjadi kabur dalam konteks ini belum jelas, ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menghuraikan beberapa kisah folkor menarik lain lagi yang berkaitan dengan ikan yang terdapat di beberapa tempat di Alam Melayu.

“Namun yang tak perlu diragukan ialah laut sebagai tempat dan kediaman makhluk yang dapat membahayakan kehidupan manusia di darat. Dan ini suatu sifat yang dikaitkan dengan laut yang rasanya universal, iaitu laut mengandung bahaya bagi manusia yang berani mengharunginya untuk mencari makanan dalam bentuk ikan dan binatang laut lainnya yang sangat amat didambakan, atau menjelajahi lautan dalam dan pencarian tanah baharu dengan segala macam pengetahuan dan pengalaman baharu,” tegas beliau.

Mengingati bahawa bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada rumpun bahasa Austronesia yang anggotanya terdiri daripada ribuan kelompok dengan setiapnya berbudaya dan berbahasa sendiri, sehingga daerah penyebarannya melangkaui dari pulau Rapa Nui di timur dan Madagaskar di barat, serta Taiwan di sebelah utara dan Selandia Baru di selatan, maka boleh dikatakan ekologi seperti itu amat mempengaruhi kebudayaan yang dikembangkan oleh semua kelompok, ujar beliau.

“Juga jika kita ketahui bahawa pada awal zaman para nenek moyang daripada yang setelah berabad-abad disebut Melayu pernah keluar dan melalui lautan menyebar ke semua arah angin, maka pengembaraan laut serta laut sebagai tempat penting dalam kebudayaan muncul di mana-mana,” terang Jan der van Putten, menyatakan rasa kagum beliau pada kaitan dunia kelautan dalam folklor bangsa Melayu.

Webinar yang berlangsung selama dua hari ini diikuti seramai 4790 peserta pada hari perasmiannya dan menarik minat kira-kira 7000 orang peserta bagi keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja. Webinar disiarkan secara langsung melalui pelantar sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan aplikasi Zoom. Webinar ini dianjurkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM) dengan kerjasama DBP, manakala Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai penaung.

Berita Berkaitan |

Alam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!