21 Disember 2021, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pada tahun 2022, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis Kedah yang banyak menyumbang idea dan menghasilkan karya sastera. Hal ini diucapkan oleh Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad pada Dialog Puncak Karyawan ASASI 2021 yang diadakan di Hotel Zaque’s pada 17 dan 18 Disember 2021.

Menurut Abu Hassan Morad, inilah masanya para karyawan Kedah, aktivis dan pengurus sastera perlu bergabung secara bersama dalam usaha menilai semula agar kewujudan ASDA mampu direalisasikan ke arah usaha memartabatkan dunia kesusasteraan Melayu di Kedah.

Hadiah sastera negeri merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan penulis negeri, khususnya dalam penghasilan karya yang bermutu serta terbaik untuk bacaan masyarakat dan peminat sastera.

Kebanyakan hadiah sastera negeri dilaksanakan dengan kerjasama DBP pada peringkat cawangan ataupun wilayah, tetapi terdapat juga beberapa negeri yang tidak membabitkan DBP, seperti negeri Pahang dan Selangor. Sehingga kini, tiada pengiktirafan diwujudkan dalam usaha memberi sumbangan kepada penulis-penulis negeri Kedah.

Sepanjang dua hari program Dialog Puncak ke-31 berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan, iaitu bengkel cerpen yang disampaikan oleh Wildan Haya dan Putraery Ussin, manakala bengkel puisi disampaikan oleh Ibnu Din Assingkiri. Bagi bengkel skrip drama pula, ia disampaikan oleh Pensyarah Bahasa dari Universiti Putra Malaysia, iaitu Dr. Ummu Hani Abu Hassan.

Ceramah mengenai aspek bahasa dan penyuntingan dalam karya sastera, iaitu cara menghasilkan manuskrip dan menghantar manuskrip kepada DBP disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, iaitu Puan Nurul Julia Henry. Sementara itu, Editor Bahagian Buku Sastera DBP Puan Zaharahanum Kamarudin pula menyampaikan ceramah mengenai cara-cara menghantar karya untuk majalah-majalah terbitan DBP.

Majlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi oleh Chef Faizal Mehat serta pelancaran buku karya ahli ASASI yang disempurnakan oleh Bendahari GAPENA, iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani.

Majlis juga turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada peserta-peserta bengkel yang berjaya menghasilkan puisi dan cerpen terbaik bersempena dengan Dialog Puncak kali ini. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Bendahari GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani.

Berita Berkaitan |

Dialog Puncak ke-31 Himpun Penulis Kedah

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.