21 Disember 2021, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Selain tanah Kedah yang subur sehingga dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia, negeri ini juga diiktiraf sebagai “ladang penulis” oleh para pengkaji sastera tanah air. Antara penulis yang berasal dari Kedah termasuklah Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, SN Abdullah Hussain, Kassim Ahmad, SN Zurinah Hassan, Azizi Haji Abdullah, Puzi Hadi, Osman Ayob, Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, Awang Had Salleh, Abdul Halim ‘R’, Hasan Baseri Budiman, Wan Nor Azriq, dan ramai lagi. Dalam erti kata lain, Kedah merupakan sebuah negeri yang paling ramai penulis berbakat besar. Sehingga kini, senarai penulis Kedah yang prolifik, berketerampilan dan berwawasan tidak pernah putus.

Dialog Puncak Karyawan ASASI adalah antara kegiatan Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah yang diadakan setiap tahun, bertujuan untuk memberikan peluang kepada penulis pemula mendapatkan bimbingan penulisan daripada penulis mapan. Tahun ini merupakan penganjuran Dialog Puncak yang ke-31, diadakan pada 17–18 Disember 2021 di Hotel Zaque’s, Sungai Petani. Pengisian Dialog Puncak ini dipenuhi dengan bengkel bimbingan penulisan, bedah karya, bicara karya, dan Majlis Pelancaran buku karyawan ASASI yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menerusi ucapan perasmian penutupan yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Hamzah Hamdani, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), beliau memaklumkan bahawa satu projek kolaboratif antara DBP dengan GAPENA akan diadakan pada tahun hadapan, iaitu penulisan sejarah persatuan-persatuan penulis di Malaysia. Menurut beliau, sejarah persatuan penulis perlu dirakam dalam bentuk penulisan supaya dapat diambil iktibar oleh generasi muda.

Sebelum itu, diadakan bicara karya bagi novel Kempeitai tulisan Putraery Ussin, dibicarakan oleh Haji Zulkefli Dollah. Seterusnya, kumpulan puisi remaja Jalan Dugaan  karya Wadiassofi Jaafar dibicarakan oleh Mohamad Azmi Ab Rahman. Kedua-dua karya yang dibicarakan diterbitkan oleh DBP dan sesi bicara karya disiarkan menerusi Facebook Langsung DBP.

Dialog Puncak ini diakhiri dengan acara Majlis Pelancaran buku Karyawan ASASI yang disempurnakan oleh Haji Hamzah Hamdani. Antara buku yang dilancarkan termasuklah antologi puisi Naskhah Hayat, Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah, buku kajian Tradisi Penulisan Puisi: Pengarang Wanita Abad ke-20, novel Hikayat Perempuan, kumpulan puisi Dongengan Anjing-anjing, antologi cerpen Kemuncak Pauh Janggi, Travelog Cinta Singgora, Jalan Dugaan, Bebaling, dan Putih Si Gajah Kerdil.

Tonton acara bicara karya penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.