Oleh Khoo Phau Liang
16 Disember 2021, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Khoo Phau Liang menceritakan pengalamannya membaca Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah, hikayat terjemahan yang merupakan antara empat hikayat terpenting dalam kesusasteraan China klasik.

Hikayat ini tidak membunuh mana-mana watak dengan penceritaan ala kadar, sebaliknya setiap watak berjaya disatukan seperti benang-benang yang disulam menjadi baju.

Empat bulan lepas saya ke kedai buku untuk mencuci mata. Di sana ketika itu cuma tinggal dua tiga orang pekerja yang sedang melamun. Tiada pelanggan lagi melainkan saya. Dengan senang hatinya saya berlegar-legar di dalam kedai lebih satu jam, membelek buku-buku yang dijual satu demi satu. Dompet saya ada sekeping RM100. Saya merancang melamar pulang beberapa buah buku sebagai teman sepanjang “cuti” yang tidak berpenghujung ini. Akhirnya, di atas sebuah rak besar di hujung kedai, saya menemukan buku berwarna ungu yang tebal, Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (HMRAM) Jilid III. Saya menyelak halaman buku ini dengan teruja, kemudian langsung menuju ke kaunter pembayaran. Begitulah kisah perpisahan antara dompet saya dengan wang not RM100 yang telah berkorban demi buku yang menambat hati saya.

Sejurus pulang, saya segera mengejutkan Shopee bagi membantu saya mengesan adik-beradik jilid HMRAM tadi. Saya menemukan Jilid I, Jilid II dan Jilid IV lalu terus menempahnya. Seminggu kemudian, keempat-empat jilid HMRAM telah bersatu semula di pangkuan saya. Sayalah yang paling gembira. Hikayat ini bukan calang-calang buku. Saya mendengar tentangnya sejak di bangku sekolah lagi. Inilah satu daripada empat hikayat agung yang lahir daripada tamadun China!

HMRAM dikarang oleh Cao Xue Qin pada era Dinasti Qing, kira-kira 200 tahun yang lalu. Hikayat ini turut dikenali dengan nama Hikayat Batu, Catatan Seorang Pendeta yang Penuh Hawa Nafsu, Cermin Percintaan yang Berharga, dan Dua Belas Perempuan Jelita dari Jinling. Namun secara umumnya, judul utama yang digunakan ialah Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Hong Lou Meng). Judul ini diambil sempena lagu ke-12 dalam bab kelima Jilid I, yang merujuk mimpi Jia Baoyu di Alam Khayalan Tanpa Makna.

HMRAM menceritakan kehidupan mewah keluarga Jia, percintaan tuan-tuan muda dan gadis jelita, pergolakan dalam keluarga, perangai orang suruhan, dan akhirnya kejatuhan keluarga bangsawan ini akibat penyelewengan yang dilakukan oleh ahli keluarga yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Disebabkan HMRAM yang asal ditulis menggunakan bahasa Cina klasik, amat sukar untuk saya memahami isi ceritanya sebelum ini. Oleh itu, saya sangat terharu apabila menemukan terjemahan hikayat ini dalam bahasa Melayu. Tahniah dan terima kasih atas usaha kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia.

Lima orang penterjemah HMRAM ialah Loh Wah Ching, Chew Fong Peng, Lai Choy, Chan Foo Heng, dan Woo Tack Lok, manakala editornya ialah Goh Hin San. Harus diketahui bahawa proses penterjemahan hikayat ini amatlah sukar sekali. Cabaran pertama, iaitu bahasa asalnya ialah bahasa Cina klasik yang bukan seperti bahasa Cina moden. Makna setiap ungkapannya lebih padat dan perlu diterokai dengan mendalam. Keduanya, hikayat ini mempunyai jalan cerita yang berbelit-belit dan sangat panjang sehingga mencecah 120 episod. Ketiga, muncul 975 orang watak dalam hikayat ini dengan nama Cina yang hampir serupa, seperti Jia Zheng, Jia Zhen, Jia Lian, Jia Lan, dan banyak lagi yang pastinya boleh mendatangkan kekeliruan kepada pembaca. Keempat, hikayat ini turut menyelitkan 400 buah puisi yang merupakan sebahagian daripada cerita dan tidak boleh diabaikan dalam proses penterjemahan. Kelima, pelbagai adat tradisi keluarga, nama-nama pokok dan bunga, ubat-ubatan tradisional, dan pelbagai lagi kebudayaan Cina yang tersemat dalam hikayat ini juga tentulah memerlukan kegigihan pakar penterjemah untuk mencari istilah yang paling tepat bagi membawa gambaran sebenar kepada pembaca yang berbeza budayanya.

Saya sangat menyukai ketelitian yang ditunjukkan oleh penterjemah HMRAM. Dalam keempat-empat jilid HMRAM, setiap episod mempunyai ayat tajuk yang memberikan gambaran tentang keseluruhan episod tersebut. Hal ini sangat penting kerana HMRAM ialah hikayat yang panjang dan melibatkan hampir seribu watak. Ayat tajuk setiap episod memudahkan pembaca membelek semula bahagian cerita yang kabur dalam ingatannya sepanjang pembacaan. Saya sendiri telah mengambil masa sebulan untuk menghabiskan setiap jilid, maka ada ketikanya saya akan membelek isi kandungan untuk mencari episod-episod yang telah dibaca sebelum ini. Malah, penterjemah juga cukup baik hati untuk melampirkan rajah pokok watak-watak penting dalam HMRAM.

Disebabkan keluarga Jia dalam HMRAM begitu besar dan melibatkan anggota keluarga dan sanak saudara yang ramai, begitu banyak watak dengan nama yang hampir sama muncul dalam episod demi episod. Siapakah yang mampu mengingat bahawa Jia Lian ialah anak kepada Jia She, Jia She abang kepada Jia Zheng, Jia Huan anak kepada Jia Zheng, Jia Zhen anak kepada Jia Jing, atau Jia Rong anak kepada Jia Zhen? Rajah pokok tersebut dengan jelas memaparkan hubungan antara watak bagi merungkaikan kekeliruan apabila terbaca nama yang hampir serupa. Dan anda tidak perlu risau, meskipun dengan sebegitu banyak watak, hikayat ini tidak membunuh mana-mana watak dengan penceritaan ala kadar, sebaliknya setiap watak berjaya disatukan seperti benang-benang yang disulam menjadi baju.

Hikayat ini tidak akan puas dibaca sekali sahaja, kerana setiap kali bacaan akan menyerlahkan sisi-sisi kehidupan yang berbeza.

Bukan itu sahaja, penterjemah turut memuatkan nota kaki bagi menjelaskan nama-nama tokoh yang disebut dalam HMRAM, seperti penyair Qin Guan, Ouyang Xiu, Fan Zhengda, dan lain-lain. Ada juga nama wanita yang terkenal, seperti Wu Zetian dan Yang Guifei. Selain penyair dan wanita terkenal, ada banyak lagi nama pelukis, pemain opera, maharaja, panglima perang, sami, dan sebagainya, yang turut dijelaskan dengan ringkas dalam nota kaki. Secara tidak langsung, HMRAM menjadi ensiklopedia kepada pembaca untuk menambah pengetahuan tentang sejarah dan legenda China yang luas. Turut dimuatkan nota kaki tumbuhan herba dan barangan tertentu yang sering digunakan oleh masyarakat di China. Bahkan, nama watak yang homofon dengan maksud tertentu dalam bahasa Cina turut dicatatkan dengan jelas dalam nota kaki, misalnya nama Zhen Shiyin yang sebunyi dengan maksud “fakta benar yang disembunyikan atau dikiaskan”, dan Jia Yucun pula sebunyi dengan maksud “karya-karya cereka yang menggunakan bahasa pasar atau kampungan”.

Pengenalan karangan tokoh Prof. Dr. Wong Yoon Wah, Bai Xianyong, Wen Renping, dan Zhu Wenbin yang dimuatkan dalam HMRAM juga banyak mendedahkan asal usul hikayat, tema dan persoalan serta keistimewaan HMRAM untuk diterokai oleh pembaca. Ulasan tokoh-tokoh ini telah membuka mata saya terhadap setiap sedutan HMRAM yang meskipun kecil tetapi boleh membawa makna yang lebih besar terhadap keseluruhan cerita. Bahagian pengenalan yang termuat dalam HMRAM ini samalah seperti perumpamaan Cina yang berbunyi, “menitikkan mata pada lukisan naga yang buta”, yang bermaksud menyempurnakan lagi sesuatu yang sudah sangat baik.

Bagi isi kandungan HMRAM pula, terlalu banyak aspek yang boleh diperkatakan. Jika diperhatikan dari sudut percintaan dan perkahwinan, HMRAM cenderung untuk menceritakan realiti hubungan cinta yang tidak berkekalan. Misalnya, kita boleh melihat perasaan cinta watak utama Baoyu kepada Daiyu yang sangat kuat, malah semua orang suruhan dan Puan Besar di kediaman Jia turut mengetahuinya. Namun akhirnya, Baoyu dikahwinkan dengan Baochai, sepupunya yang satu lagi. Daiyu pula mati kekecewaan. Walaupun masih terkenang akan Daiyu, tetapi adakalanya perasaan cinta Baoyu beralih kepada Baochai. Selain Baoyu dan Daiyu, percintaan sulit Jia Lian dan Cik You Kedua juga tidak berakhir dengan kegembiraan. Meskipun sempat disatukan, tetapi perkahwinan rahsia mereka mendatangkan kemarahan kepada Xifeng, isteri Jia Lian. Xifeng kemudiannya berterusan membuat helah untuk menganiaya Cik You Kedua, yang akhirnya bunuh diri dengan menelan ketulan emas. Demikian juga dengan kesudahan perkahwinan watak-watak lain yang membawa sengsara, sehingga Baoyu beberapa kali mempersoalkan mengapa gadis-gadis perlu menginjak ke alam perkahwinan yang menyebabkan perpisahan antara keluarga dan mengundang derita si gadis sepanjang hayat.

Dari sudut kehidupan keluarga bangsawan pula, HMRAM menonjolkan bagaimana keluarga bangsawan mengadakan sambutan besar-besaran untuk menikmati kegembiraan dan mengeratkan hubungan. Meskipun menghadapi masalah kewangan yang meruncing, Keluarga Jia sanggup berhutang dan menggadaikan harta benda untuk menyempurnakan majlis perayaan, perkahwinan dan hari jadi. Antara aktiviti yang dilakukan bagi mengisi keraian ialah permainan minum arak, mengira titik dadu, menyambung puisi, teka-teki, dan cerita lucu. Ada juga tuan muda yang mengambil kesempatan untuk berkelakuan tidak senonoh dengan berjudi dan berfoya-foya. Orang-orang suruhan juga mempunyai kerenah masing-masing seperti tuan mereka. Ada yang ikhlas bekerja, ada yang hanya boleh digerakkan dengan beberapa ketul wang perak, dan ada juga yang tidak menghormati tuannya yang lebih lembut hati. Dalam kemuncak HMRAM, kita dapat menyaksikan bagaimana Xifeng dipulaukan oleh orang-orang suruhannya, lalu terpaksa bertungkus-lumus mengendalikan majlis pengebumian Nenek Jia. Akhirnya, Xifeng dipersalahkan sehingga penyakitnya melarat dan mati.

HMRAM turut mempersoalkan realiti yang dihadapi oleh sarjana dan pegawai kerajaan. Baoyu sering mempersoalkan karangan-karangan sarjana yang ditulis dengan tidak jujur dan sekadar mempergunakan ayat-ayat indah orang terdahulu untuk mendapatkan markah yang cemerlang dalam peperiksaan. Apabila membacanya, saya tertanya-tanya juga, adakah hari ini situasi kita pada peringkat sarjana masih sebegitu? Beralih pula kepada Jia Zheng, bapa Baoyu yang jujur dan amanah. Pada awalnya, Jia Zheng disukai oleh maharaja dan dinaikkan pangkat untuk menyelia hasil kutipan bekalan bijirin di gudang wilayah. Namun begitu, ketegasan dan sikap jujurnya akhirnya memakan diri sendiri kerana orang bawahannya tidak akur malah berkomplot untuk memakan rasuah. Jia Zheng akhirnya dijatuhkan pangkat dan kembali memegang jawatan lama. Hukuman itu sebaliknya melegakan Jia Zheng kerana dia tidak lagi perlu bergaul dengan pegawai-pegawai yang pecah amanah. Berbeza pula dengan Jia Yucun yang memanjat pangkat dengan memakan rasuah dan bergaul dengan pegawai yang tidak amanah, akhirnya dia juga dihukum kembali menjadi rakyat biasa. Di sini, kita dapat melihat bagaimana takdir mempermainkan nasib pegawai, sama ada dia amanah mahupun tidak.

Memetik ungkapan terkenal masyarakat Cina, “Orang muda tak akan faham cerita HMRAM, yang faham cerita HMRAM pula tentu sudah tidak muda”, saya masih menerokai rahsia HMRAM. Pastinya, masih banyak aspek dalam hikayat ini yang belum dibincangkan dengan teliti, seperti puisi-puisi karangan Baoyu dan sepupunya, penyakit dan ubat-ubatan herba, kepercayaan terhadap dunia ghaib, seni bina rumah agam dan istana, serta banyak lagi. Pentafsiran terhadap HMRAM juga bergantung pada bidang yang diminati oleh pembaca itu sendiri, sama ada percintaan, perancangan jahat dan tipu muslihat, atau politik negara. Ada juga yang mengatakan bahawa “sewaktu muda jangan baca HMRAM, kelak tua tak dapat membaca Hikayat Tiga Negara.” Hal ini kerana dikhuatiri HMRAM membuatkan pembaca terjerumus terlalu dalam ke dalam cerita sehingga membinasakan hidup sendiri. Demikian hebatnya karya agung HMRAM ini!

Goh Hin San dalam bahagian prakata HMRAM menyatakan bahawa tidak banyak penterjemahan yang dilakukan terhadap HMRAM setakat ini, kebanyakannya daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris. Dengan itu, saya semestinya sangat berbangga kerana HMRAM telah berjaya diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Disebabkan kegigihan penterjemah, saya dan pembaca-pembaca lain mampu menatap dan menghayati HMRAM pada hari ini. Hikayat ini tidak akan puas dibaca sekali sahaja, kerana setiap kali bacaan akan menyerlahkan sisi-sisi kehidupan yang berbeza.

Bagi yang berminat dengan hikayat ini, keempat-empat jilid HMRAM kini dapat dimiliki dengan harga RM250 daripada laman web HAN Online Shop yang dikendalikan oleh Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia. Semoga lebih banyak karya terjemahan dari China yang lahir pada masa akan datang.

Beli Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah Jilid I, Jilid II, Jilid III dan Jilid IV. Bagi versi kulit keras, sila layari katalog buku kami.

Berita Berkaitan |

Karya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara

_________________________

Khoo Phau Liang merupakan seorang guru yang kini menetap di Tanah Merah, Kelantan. Karyanya diterbitkan dalam antologi puisi bersama Terima Kasih Tuhan Memerdekakan Negaraku (2019), Antologi Puisi Guru Malaysia (2020), Dandani Luka-luka Tanah Air (2020), dan Rawa Pertiwi (2021). Beberapa cerpennya turut tersiar dalam majalah Tunas Cipta.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!