17 Ogos 2021, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pernah disuarakan bahawa penterjemahan karya sastera menjadi lesu dan kurang diberikan perhatian oleh para penterjemah kerana kerjanya yang dianggap begitu sukar dan rumit.

Namun begitu, penterjemahan karya sastera daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu ternyata berlangsung dengan giatnya, terutama melalui kerjasama yang termeterai antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN).

Sejak menandatangani memorandum perjanjian kerjasama, DBP dan HAN telah berjaya menerbitkan beberapa judul buku terjemahan seperti Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Jilid I hingga Jilid IV), Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera dan Antologi Cerpen Mahua (Siri I hingga Siri IV).

Sebagai usaha mempromosikan kandungan karya dan menyemarakkan pembacaan karya sastera terjemahan, empat siri bicara karya sastera terjemahan bakal berlangsung setiap bulan, bermula pada Ogos dan berakhir pada November 2021.

Bicara karya terjemahan akan dimulakan dengan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Ogos), Di Mana Ranting Dipatah (September), Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Oktober), dan Purnama Batu Jed (November).

Buku terjemahan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dan Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera diterbitkan oleh DBP, manakala Di Mana Ranting Dipatah dan Purnama Batu Jed ialah karya terbitan Pusat Kebudayaan Han Sdn. Bhd.

Menurut Presiden HAN, Dato’ Goh Hin San, “Persatuan Penulis China melalui Kelab Pembaca Sastera China Malaysia (KPSCM) akan turut terlibat dalam menjayakan siri bicara sastera terjemahan, yang juga diadakan bersempena ulang tahun DBP ke-65.”

Dato’ Goh turut memaklumkan, program siri bicara sastera terjemahan ini akan dimasukkan dalam senarai kegiatan yang mengisi Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).

Bicara karya sastera terjemahan yang julung kali diadakan secara bersiri setiap bulan ini juga bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membaca buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Selain menjadi ruang untuk menghayati karya sastera terjemahan, program tersebut juga menjadikan sastera sebagai jambatan yang menjalinkan hubungan dalam kalangan pembaca sastera di Malaysia, khususnya dalam menghayati karya klasik mahupun kontemporari dari China yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Secara tidak langsung, kandungan karya yang menjadi mauduk bicara akan menjadi obor yang menyerlahkan budaya dan identiti dua negara, Malaysia dan China, yang telah menerbitkan karya terjemahan tersebut.

Acara sulung akan berlangsung pada Selasa, 17 Ogos 2021 pukul 8.00 malam. Sebelum tirai wacana bicara buku dibuka, akan diadakan majlis pelancaran program Siri Bicara Buku Sastera Terjemahan yang akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Yang akan turut serta bersama-sama Ketua Pengarah DBP ialah Presiden HAN, Dato’ Goh Hin San, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pengerusi Persatuan Penulis China, Tie Ning serta beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Penulis China.

Majlis yang diadakan secara dalam talian itu akan disiarkan ke seluruh dunia melalui pelantar digital DBP seperti jendeladbp.my, TV DBP dan Radio DBP, termasuk media sosial DBP seperti Instagram, Twitter, Facebook, Telegram, YouTube dan Tiktok.

Program majlis pelancaran juga boleh ditonton melalui laman Facebook Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan Yayasan Karyawan Malaysia.

Program bicara buku yang bertajuk “Titian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan China” yang digerakkan oleh Kelab Pembaca Sastera Malaysia-China dengan kerjasama DBP, HAN dan Yayasan karyawan Malaysia akan dimulakan dengan perkongsian tentang karya Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah.

Projek penerbitan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah versi bahasa Melayu yang terbit dalam empat jilid, telah bermula pada tahun 2018. Proses penterjemahan buku ini memakan masa selama beberapa tahun sebelum berjaya dihasilkan oleh beberapa ahli Persatuan Penterjemahan Malaysia dan Penulisan Kreatif Malaysia.

Slot pertama siri bicara buku sastera terjemahan bertemakan “Mimpi Rumah Agam Merah dari Perspektif Pertukaran Masyarakat, Keluarga, Cinta dan Budaya Malaysia”. Sesi pembukaan ini akan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia (USM) selaku moderator.

Bersama-sama beliau ditampilkan tiga ahli panel, iaitu editor bebas, Zaleha Ahmat, pengasas Pusaka, Eddin Khoo dan pensyarah dari Beijing Foreign Studies University, Dr. Han Xiao.

Bagi menarik minat khalayak, pihak penganjur turut mengadakan Pertandingan Resensi Buku Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dengan menawarkan hadiah pertama bernilai RM1000, hadiah kedua RM700, hadiah ketiga RM500 dan tiga hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi