28 November 2021, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Bicara tentang Hang Tuah menjadi salah satu topik yang dibincangkan dalam George Town Literary Festival pada 27 November, Sabtu jam 2.00 hingga 3.00 petang. Antara tetamu undangannya ialah YB Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang menulis buku Hang Tuah Adiwira Bangsa (SIRD, 2021), sebuah buku esei kajian  dan perbincangan tentang watak besar sastera ini sebanyak 139 halaman. Di samping itu, turut diundang Sasterawan Negara ke-6 Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Program tersebut dikendalikan oleh Raihani Mohd. Saaid.

“Hang Tuah berasal dari Riau dan keturunan Orang Laut. Kita patut berbangga dengan Hikayat Hang Tuah kerana sastera bahasa Melayu adalah antara sastera terbesar di dunia. Tiada karya yang membawa watak dari satu negeri ke satu negeri melainkan kisah Hang Tuah. Bererti, Hang Tuah mengembara dengan mengembangkan namanya,” ujar Muhammad Haji Salleh ketika ditanya siapa Hang Tuah.

Kata beliau lagi, “Hang Tuah menguasai pelbagai jenis bahasa dan pengetahuannya berlapis-lapis. Tiada di dunia ini karya sehebat kisah Hang Tuah.”

Steven pula menjelaskan idea awal keinginan menulis buku tentang Hang Tuah telah timbul sejak lama dahulu melalui pembacaannya dalam naskhah besar Hikayat Hang Tuah. “Saya melihat Hang Tuah sebagai ikon perdamaian sosial. Gambaran yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah dengan dunia realiti tidak sama. Hang Tuah bukanlah seorang yang meletakkan kesetiaan membuta tuli kepada rajanya,” ujar beliau.

Hikayat Hang Tuah ialah karya historiografi Melayu. Ia tentang kisah orang biasa. Bukan kisah orang yang dilahirkan terus menjadi hebat tetapi Hang Tuah membesar dengan pengalamannya, menjadi orang yang hebat. Hang Tuah juga rakyat biasa yang bangkit daripada kesusahan, menyayangi rakyat dan juga bangsanya. Hikayat Hang Tuah ialah satu pesanan buat kita. Ia bukanlah sebuah biografi suci. Ada kritikan terhadap penguasa yang sesuai dijadikan pengajaran. Mana-mana rakyat atau bangsa yang sanggup bangkit harus kita contohi,” jelas beliau.

Menurut Steven juga, ramai bangsa yang menuntut Hang Tuah. Hatta orang Cina juga menuntut Hang Tuah dan pernah menyatakan bahawa Hang Tuah itu asal namanya ialah ‘Hang Tu-A’. Namun demikian, inilah gambaran betapa Hang Tuah diterima dan disukai oleh semua bangsa dan kaum. Hal ini adalah kerana, Hang Tuah bukanlah hidup dalam korpus Melayu semata-mata. Sebaliknya, Hang Tuah tidak taasub pada ketulenan bangsa. Bahkan sanggup mendakapi budaya lain dan tidak bersikap menghakimi.

“Hang Tuah tidak hilang Melayunya dalam mempelajari budaya asing,” tegas beliau mengakhiri bicara.

Manakala Muhammad Haji Salleh berpendapat ketika ditanya mengapa Sultan Melaka menitahkan Hang Tuah dihukum bunuh tanpa usul periksa, “Sultan tidak terbuka dan tidak dapat menangkap budi pekerti Hang Tuah hingga akhirnya menitahkan beliau dihukum bunuh. Demikian menunjukkan kuasa teratas tidak juga betul dan tidak semestinya adil. Tambahan pula, dalam ruang lingkup masyarakat kita suka mengada-adakan cerita dan yang tiada dibuat-buat pula. Apabila menghayati Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat hukuman terhadap Hang Tuah itu adalah satu kesalahan yang besar telah berlaku kepada orang yang baik.”

Bual bicara ini boleh ditonton di laman rasmi Facebook George Town Literary Festival.

Tonton bual bicara penuh di sini.

Beli buku Hang Tuah Adiwira Bangsa dan Hikayat Hang Tuah.

Artikel Berkaitan |

GTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!