Oleh Izzuddin Ramli
7 November 2021, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ikuti catatan pengalaman Izzuddin Ramli menangani urusan festival susastera tahunan terbesar di Malaysia yang penuh mencabar, namun sempat melahirkan hikmah perkongsian seni dan suara yang kosmopolitan.

Sejak berabad lama, di pulau kecil itu, orang dari serata dunia datang membina hidup. Mereka membawa bersama kebudayaan masing-masing untuk ditawarkan di tempat baharu.

Pertama kali saya menyertai George Town Literary Festival (GTLF) adalah pada tahun 2015, sebagai seorang sukarelawan. Seperti para sukarelawan lain, tugas saya hanya tertumpu pada hal-hal teknikal; saya perlu memastikan pentas-pentas siap sebelum setiap acara bermula; menuntun para peserta yang datang dari pelbagai negara ke lokasi-lokasi acara; dan sering ke hulu ke hilir untuk dilihat sibuk. Enak menjadi sukarelawan. Kerjanya tidak terlalu berat, tetapi saya tetap mampu bertegur sapa dengan para penulis yang saya kenal dan tidak kenali. Sebahagiannya sudah saya baca karya-karya mereka. Namun, sialnya menjadi sukarelawan, saya tidak langsung berkesempatan mengikuti perbualan-perbualan pilihan saya.

Maka, di sela waktu, saya akan pulang ke Bangunan UAB, pentas utama festival, dan beristirehat di lobinya. Di situlah tempat para penulis berkumpul sambil menunggu acara mereka, kedai-kedai buku membentangkan judul-judul terbaharu, dan warung-warung menjual makanan yang kebanyakannya khas Pulau Pinang. Saya sering melabuh punggung di meja kopi di situ—mencari peluang untuk meminta penulis mencoretkan tandatangan pada buku-buku mereka yang saya beli. Di situlah juga tempatnya saya membelek-belek buku panduan festival. Kerana tidak berkesempatan mengikuti acara sebenar, saya menjelajah ke setiap acara melalui buku tersebut.

Tahun berikutnya saya ikut serta lagi. Tetapi kali ini sebagai salah seorang pemudah cara untuk dua buah sesi perbualan dalam bahasa Melayu. Salah satunya ialah perbualan bersama Sasterawan Negara A. Samad Said dan Muhammad Haji Salleh, serta Eddin Khoo, dan Amir Muhammad. Kami berbual tentang Hang Tuah dan hal-hal seputar dunia penterjemahan. Yang menariknya, itulah kali pertama GTLF menampilkan sesi perbualan dalam bahasa selain bahasa Inggeris. Ada rasa canggung juga mengendalikan acara berbahasa Melayu di tengah-tengah festival yang umumnya berbahasa Inggeris. Apalagi kalau itu satu-satunya.

Saya fikir GTLF hanya meraikan Pulau Pinang sebagai sebuah wilayah yang sifatnya rancak dan kosmopolitan. Sejak berabad lama, di pulau kecil itu, orang dari serata dunia datang membina hidup. Mereka membawa bersama kebudayaan masing-masing untuk ditawarkan di tempat baharu. Apa yang kita lihat di Pulau Pinang pada hari ini ialah sebuah kelahiran baharu hasil daripada nikah campur. Hal ini terpapar pada seni bina bangunan-bangunannya, makanannya, dan tidak terkecuali bahasanya—baik bahasa Melayu, Cina, Tamil, sekalipun Inggeris. Dalam keserabutan itu, bahasa Inggeris secara tidak langsung menjadi bahasa perantara.

GTLF perlu menjadi antarabangsa dan dalam masa yang sama tetap Malaysia baunya.

Pada hujung tahun 2019, saya menerima panggilan daripada Pauline Fan. Penulis dan penterjemah Malaysia itu baru sahaja sempat menarik nafas panjang setelah selesai menguruskan GTLF 2019. Beliau mengundang saya untuk membantu beliau merencana GTLF bagi tahun-tahun hadapan. Kali ini sebagai kurator. Saya kurang pasti apa alasannya Pauline memperkira saya. Namun saya kemudian tahu bahawa Pauline, yang baru sahaja menjadi pengarah GTLF, sedang menanggung kegusaran. Bagi beliau, festival sastera terbesar di Malaysia ini terlalu Inggeris sifatnya, baik dari aspek bahasa mahupun isi-isi perbualannya. Beliau sendiri tidak mahu kalau GTLF kemudian hari dianggap hanya meminjam tempat, tetapi berpaling daripada melihat pergolakan di sekeliling—atau lebih jauh di rantau ini.

Pauline Fan, Pengarah Bersama GTLF.

Jalannya adalah melalui bahasa. Namun, beliau tidak mahu bahasa Melayu hanya menjadi sekadar token, diberikan satu sudut kecil untuk bermain di festival. GTLF perlu menjadi antarabangsa dan dalam masa yang sama tetap Malaysia baunya. Saya rasa tidak pelik kalau beliau menanggung keresahan tersebut. Sebagai orang yang fasih berbahasa Inggeris, Melayu, malah Jerman, dan sudah sekian lama menterjemahkan karya-karya sastera daripada ketiga-tiga bahasa ini, serta kerja hariannya juga adalah bersama para penggiat seni tradisional di kampung-kampung, Pauline faham benar dengan politik bahasa yang berlegar.

Bagi Pauline, “Bahasa bukan sahaja wahana sastera dan pemikiran. Ia mengungkapkan semangat, naluri dan kata hati seseorang dan masyarakat. Setiap bahasa mempunyai nuansa tersendiri yang dibentuk oleh pengalaman dan pandangan dunia, yang tidak selalunya dapat ditangkap dalam bahasa perantaraan antarabangsa.” Tambahnya lagi, “Tanah air kita begitu subur dengan kepelbagaian bahasa — oleh itu, saya ingin menjadikan GTLF sebuah landasan yang mendukung kesemua aliran sastera di Malaysia, baik yang wujud dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil, mahupun bahasa-bahasa orang asli di Semenanjung dan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak.”

Kehadiran saya sebagai kurator bukan semata-mata untuk membangunkan dan menguruskan acara-acara berbahasa Melayu. Pauline sangat licik. Dengan saya, beliau berbahas, menawar-nawar, merenung, mempersoal, terus-menerus berbalah, dan menghempaskan kekecewaan terhadap pelbagai tajuk seputar sastera, bahasa dan dunia penulisan secara umum. Dari situ, kami perlahan-lahan membangunkan GTLF secara keseluruhan. Asasnya adalah untuk menghubungkan yang antarabangsa dengan yang tempatan; meraikan yang baharu dan yang lama; dan menggali-gali sastera daripada puluhan bahasa peribumi—khususnya bahasa-bahasa yang ada di kepulauan Borneo—untuk dibawa ke GTLF, dan kalau beruntung, dapat diterjemahkan kemudian.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana GTLF atau ‘festival’ secara umum dapat diadakan lagi …

Namun, baru ingin saya mengelamun—membayangkan diri saya tercegat di hadapan gedung festival sambil merokok tanda puas dengan segala yang telah saya bantu aturkan—kami menerima berita buruk: Malaysia baru mencatatkan kes COVID-19 pertamanya. Tidak berapa lama kemudian, seluruh negara diarahkan untuk berkurung di rumah. Celakanya, rencana kami untuk menganjurkan festival sastera itu secara fizikal menjadi kabur. Malah, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana GTLF atau “festival” secara umum dapat diadakan lagi. Bagaimana mungkin pesta yang sifatnya diraikan bersama dapat dilakukan ketika orang mula menjauhi satu sama lain.

Akhirnya, untuk tetap memahami dunia yang sedang mengenal-ngenal pelbagai kosa kata baharu atau yang jarang digunakan seperti “kuncitara”,  “penjarakan sosial”, dan “kuarantin”, maka kami memutuskan untuk berpindah ke dalam talian. Kami menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling. Pada waktu itu, banyak kegiatan beralih ke dalam talian dengan pelbagai platform sudah tersedia. Hampir setiap hari ada acara dalam talian. Kumpulan-kumpulan penyair, khususnya yang muda-muda mengajurkan maraton bacaan puisi. Mereka menganjurkan forum-forum membahas hal-hal seputar sastera Malaysia, serantau dan antarabangsa.

Yang jelas, orang cuba memberi makna; merawat rasa terkejut apabila pertama kali dipaksa berkurung untuk suatu tempoh yang tidak jelas hujungnya.

Walau bagaimanapun, GTLF tidak ingin menambah kepada “kepenatan digital”, kebisingan, kelemasan, dan rasa “janggal” yang sudah mula dirasai sejak beberapa bulan selepas wabak. Apakan tidak, sebelum ini, jika ingin ke pertemuan-pertemuan sastera, orang perlu bersiap-siap setidak-tidaknya satu jam lebih awal; mandi dan makan, kemudian menaiki teksi atau LRT untuk ke tempat acara sastera. Selepas acara, kita boleh berbual-bual santai sambil mengopi sebelum berangkat pulang.

Di layar komputer atau telefon, kita hanya tinggal menekan butang sign out. Habis.

Maka, kami memilih jalan yang lebih perlahan, namun tetap cuba untuk menyuntik semangat “festival” kepada khalayak. Dengan kerjasama Nusantara Audiobooks yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kami menghasilkan audio siar (podcast). Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada para pengikut setia GTLF bersenang-senang dengan festival ini. Saya kira, audio siar pada awal tahun 2020 masih belum popular di Malaysia. Tidak banyak channel audio siar kendalian orang Malaysia yang boleh ditemui di Spotify atau Apple Podcast.

Ketika dunia sedang diselubungi wabak, kita pula melalui waktu merawat. Kita merintih dengan apa-apa yang telah hilang atau yang kita abaikan selama ini. Salah satunya ialah bagaimana kita merindui pertemuan fizikal, dan bagaimana media sosial merampas kemampuan kita untuk mendengar dengan lebih tekun dan “hadir”. Oleh itu, GTLF dengan tema “Through the Looking Glass” pada tahun itu memberi tumpuan kepada meningkatkan kepuasan mendengar dengan menyediakan kualiti audio yang terbaik. Jadi, orang boleh menentukan masa sendiri untuk “berfestival”. Kebetulan, saya juga lebih awal sedang mengendalikan audi siar sendiri.

Hasilnya, dalam segala kesempitan, GTLF 2020 berhasil menghadirkan seramai 82 orang penulis dan penyair secara maya, serta menerbitkan lebih kurang 28 episod audio siar, 11 daripadanya berbahasa Melayu, yang boleh terus didengari sehingga hari ini.

Bagi masa hadapan, GTLF perlu merombak cara pandang alam dan terbuka kepada pelbagai khayalan tentang dunia yang baharu …

Tahun 2020 menjadi tahun gelap, sepi dan hampir hilang. Ia adalah tahun di mana kita hanya mampu menghadap cermin tilik—baik secara harfiah mahupun kiasan. Termangu, kita menilai kembali hubungan kita dengan masyarakat dan alam. Kita meratapi bagaimana penutupan sempadan dan pergerakan yang terbatas telah memberikan kesan besar kepada landskap budaya. Tidak hanya GTLF, festival-festival sastera lain di seluruh dunia, baik besar atau kecil, menanggung nasib yang sama. Lebih daripada setahun, sastera—baik menulis atau membaca—menjadi sebuah pengalaman yang amat sunyi dan bersendiri.

Oleh itu, ketika Pauline mengundang saya untuk sekali lagi mengaturkan festival sastera ini buat tahun 2021, saya sedikit ragu-ragu. Apa sahaja festival, tidak mungkin seperti dahulu lagi. Namun, setelah bermain tarik tali buat kesekian kalinya, kami bersetuju untuk duduk merancang kalau GTLF tidak sekadar meratapi atau mengenang sengsara wabak. Bagi masa hadapan, GTLF perlu merombak cara pandang alam dan terbuka kepada pelbagai khayalan tentang dunia yang baharu. Biarpun hidup dalam keterkurungan, pandangan tetap harus ditala ke luar jendela.

Maka, dari kejauhan (tidak sempat sekalipun para panitia festival bertemu secara bersemuka), kami memutuskan untuk bergerak dengan tema Mikro-cosmos—untuk meneroka semangat kosmopolitanisme dan kesalinghubungan yang terjalin melalui sastera, bahasa dan pemikiran. Kami percaya bahawa, sekalipun kepayahan yang kita hadapi hari ini telah mengaburi keberadaan kita dan memperdalam lagi perpecahan masyarakat, kata-kata tetap setia dengan tugasnya. Ia membawa kita menjelajah bagi melihat pelbagai kemungkinan hubungan yang nikmatnya melampaui pahit manis hidup dalam pengasingan.

Melihat dari kaca mata Mikro-cosmos menjauhkan kita daripada rasa terperuk, sekali gus mengangkat setiap daripada kita menjadi warga dunia—warga kosmopolitan. Kepulauan Nusantara setidak-tidaknya sudah lama merangkul semangat sedemikian. Kepulauan yang terbuka dan buas ini senantiasa menyeru kepada angin pertemuan, keraian, pertentangan, mahupun percanggahan. Untuk memahami sifatnya yang tidak terjinakkan ini, kita mendampingi kesusasteraan, baik yang di rantau ini atau rantau lainnya.

Sudah tentu kita juga menoleh ke Pulau Pinang, melihat tanah tempat lahir GTLF ini sebagai sebuah mikrokosma kosmopolitan yang rancak di Nusantara. Ia menjadi sebuah wilayah tempat berakarnya ingatan, mekarnya khayalan dan bernafasnya cerita.

Pada kesempatan ini, saya menjadi lebih rapat dengan para penyair dari pulau Borneo seperti Thira Mohamad, Kulleh Grasi, Clariessa Kesulai, dan Nelson Dino yang akrab dengan ensera kaum Iban dan kissa kaum Suluk. Mereka sudah lama menjalinkan bebenang lisan dengan yang tersurat. Di kesempatan yang sama juga saya dibawa “merantau” oleh Faisal Tehrani dan penulis Singapura, Azhar Ibrahim yang membedah konsep kembara, kelana, petualang, dan pelimbang dalam kesusasteraan Nusantara.

Menyusun-atur GTLF pada tahun ini seperti berumah di tepi pantai. Kita merasai percikan air masinnya, tertiup oleh bayunya, apatah lagi ketika mendengar Wan Hanafi Su membacakan petikan daripada Angin Timur Laut karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Malah, perbualan Pauline Fan bersama penulis Jepun, Minae Mizumura dalam “The Shifting Shores of Language” tentang pengaruh pantai kebudayaan dan bahasa Jepun dan Amerika terhadap karya Minae turut membawa semangat yang sama.

Optimis dengan pengantarabangsaan tidak bermakna kita tidak langsung bersikap kritikal terhadapnya. Kita juga mengintai sisi-sisi gelap pengantarabangsaan serta kuasa seperti penjajahan, penjarahan dan kapitalisme global. Melalui perbualan Adriana Nordin Manan bersama Mukoma Wa Ngugi, Juvita Tatan Wan dan Nazry Bahrawi, kita meneroka bagaimana sastera melakukan penyah-jajahan di rantau Asia dan Afrika.

Senarainya memang panjang dan tidak dapat dibicarakan dalam catatan pendek ini.

Namun, ketika sibuk mengatur festival GTLF pada tahun lalu, saya sempat mengeluh kepada Pauline bahawa, menghadirkan sebuah festival sastera secara maya ialah suatu kerja yang lebih memenatkan. Malah, bagi saya, ruang maya tetap tidak mampu memberikan sensasi festival fizikal. Ruang maya sememangnya membantu, tetapi ia tidak harus menggantikan yang fizikal.

Saya memikirkan, perlunya kita perlahan-lahan kembali ke azali, menghadirkan sesuatu yang boleh disentuh dan dihidu. Dengan kerjasama jurnal Svara, maka lahirlah sebuah jurnal sastera bercetak yang diberi nama Muara: Confluence|Pertemuan—sekali lagi namanya berbau pasir pantai atau lebih tepatnya mencerminkan kecairan dan keterhubungan.

Alasan untuk menerbitkan Muara juga sebahagiannya adalah untuk meraikan ulang tahun kesepuluh GTLF. Di lembar Muara, kami cuba untuk mempertemukan diri dalam ingatan dan kedalaman yang tidak berdasar. Melalui esei, cereka, sajak, ulasan buku, dan terjemahan, seramai 36 orang penulis, penyair dan penterjemah bermain dengan pelbagai bentuk idea dan khayalan, lalu mentafsirkan kenyataan-kenyataan kita yang tidak menentu.

Tahun ini ialah tahun penganjuran GTLF yang kesebelas. Seperti biasa, GTLF sentiasa cuba untuk menghadirkan segala (khususnya angin dan semangat) yang baharu pada setiap tahun. Malah, jumlah penulis dan penyair yang siap untuk menyertai—biarpun secara maya—adalah lebih ramai berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Di meja tulis, saya duduk merenung bagaimana saya mula terlibat dalam penganjuran festival sastera terbesar di Malaysia ini. Saya hadir ketika GTLF sudah berumur remaja. Jalan yang saya ambil ialah jalan yang sudah dirintis cantik oleh para pendahulu saya. Kini, tugas berat yang perlu dipikul oleh Pauline dan saya sendiri adalah untuk memastikan hal itu: menjadikan GTLF sentiasa Malaysia dan bergetah remaja.

Acara rasmi George Town Literary Festival (GTLF) akan berlangsung pada 25–28 November 2021. Ikuti makluman acara festival ini sepanjang tarikh itu di laman rasmi GTLF dan halaman Facebook rasmi GTLF.

_________________________

Izzuddin Ramli ialah penulis, penterjemah dan kurator George Town Literary Festival.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi