Oleh S.M. Zakir
9 Oktober 2021, 07:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

S.M. Zakir melihat semula makna sebenar kesejagatan dan kepentingannya dalam pengkaryaan sastera yang baik.

Kekeliruan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera telah mencapai tahap yang parah apabila tidak dapat lagi membezakan antara perkara yang inti dengan perkara yang kosmetik. Lebih parah lagi, kekeliruan ini menjadi pegangan ahl-ahli sastera sehingga penilaian karya sastera tidak dapat lagi menemukan perkara utama dan teras dalam membangunkan pemikiran.

Kita sering terkeliru tentang nilai kesejagatan dalam sastera. Tanggapan mudah selalu melihat apa yang bercerita atau mengambil subjek tentang dunia antarabangsa atau luar negara ialah nilai sejagat. Contohnya dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia, pernah ada laporan tentang karya yang dipilih sebagai pemenang dikatakan mempunyai nilai sejagat kerana mengambil latar luar negara sebagai latar karya. Penilaian ini naif dan daif sekali. Inilah satu contoh kekeliruan nilai sejagat dalam karya sastera. Latar, watak atau peristiwa luar negara yang dimasukkan ke dalam karya bukanlah inti pati pada nilai kesejagatan yang sebenar, sebaliknya ia hanya kosmetik atau unsur plastik tentang nilai sejagat dalam karya.

Kesejagatan atau universaliti dihuraikan maknanya oleh Harun Mat Piah, memetik Ensiklopedia Malaysiana, jilid 13, halaman 279: Istilah kritikan sastera yang dipakai untuk menunjukkan kewujudan dalam karya sastera suatu tarikan yang diterima oleh pembaca untuk semua zaman. Apabila sesebuah karya dapat mendedahkan emosi utama yang ada kepada semua manusia, bagi semua peradaban, seperti cemburu, cinta, bangga, azam, dan sebagainya, iaitu melalui watak dan aksi yang dapat kekal diterima untuk semua zaman, maka karya sastera itu dikatakan mempunyai “universaliti”.

Harun Mat Piah melihat nilai kesejagatan atau universaliti ini dalam sastera tradisional Melayu, seperti pantun, gurindam dan syair. Malah, jika dilanjutkan lagi, ia turut dapat diteliti dalam karya prosa tradisional, seperti hikayat dan roman sejarah. Hal yang jelas, nilai kesejagatan ini, mempunyai nilai yang berinti dan tulen (essence, pure). Ia bukan bersifat kosmetik dan plastik. Nilai kesejagatan terkait dengan kehadiran emosi utama yang ada pada semua manusia dalam olah penceritaan; sehingga mewujudkan suatu bentuk rasa yang seni pada setiap manusia yang membacanya, di seluruh alam maya.

Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, Angin Timur Laut merupakan sebahagian karya besar yang dapat dirujuk tentang nilai kesejagatan dalam sastera. Kehadiran emosi utama yang mencetuskan “katarsis” hebat kepada pembaca menyucuk nyeri perasaan segala manusia inilah yang disebut nilai kesejagatan atau universaliti. Hal yang sama dibawa oleh Nikolai Gogol dalam Taras Bulba, Leo Tostoy dalam War and Peace, Hemingway dalam The Old Man and the Sea, dan Yukio Mishima dalam The Sound of Waves. Malah, nilai kesejagatan ini juga boleh muncul dalam karya yang melanggar aturan realisme, seperti Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan, The Metamorphosis oleh Franz Kafka, dan The Outsider oleh Albert Camus. Malah, yang terbaharu ialah novel autobiografi oleh Karl Ove Knausgard, yang mengambil masuk emosi dan realiti tanpa segan silu ke dalam sasteranya.

Kekeliruan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera telah mencapai tahap yang parah apabila tidak dapat lagi membezakan antara perkara yang inti dengan perkara yang kosmetik. Lebih parah lagi, kekeliruan ini menjadi pegangan ahl-ahli sastera sehingga penilaian karya sastera tidak dapat lagi menemukan perkara utama dan teras dalam membangunkan pemikiran. Mutakhir ini, apa yang berlaku ialah apa-apa yang kosmetik dilihat sebagai pemikiran dalam karya, dan apa-apa yang teras tidak dilihat sebagai pemikiran. Apabila emosi yang menyangkuti gerak rasa yang seni tidak dinilai dan dinikmati dengan wajar, maka bentuk yang bercelaru dalam memenuhi eksperimen individualistik dianggap sebagai kejutan dan pemikiran yang besar dalam sastera. Sekali lagi, kita keliru antara isi dengan bentuk.

Alam sejagat, alam semesta atau universe dirujuk sebagai suatu bentuk sistem astronomikal dan kosmologikal. Dalam Alam Melayu menurut Harun Mat Piah, manusia mengaitkan dirinya sebagai penghuni alam dalam konteks kesatuannya dengan kejadian serta hukum alam. Dalam hal ini, mereka menganggap alam dan segala kejadian alam mempunyai tenaga atau kuasanya yang tersendiri. Kuasa dan tenaga ini menjadi faktor kepada pelbagai gejala alam yang mempengaruhi kehidupan manusia. Matahari, bulan dan bintang misalnya, mempengaruhi pergerakan laut, menyebabkan pasang surut serta mendatangkan bencana, seperti banjir di darat dan ribut di laut. Hal ini digambarkan dengan dramatik dan tragis dalam novel Angin Timur Laut oleh S. Othman Kelantan.

Selain tenaga alam, makhluk yang melata dan melayang di alam ini seperti manusia dan haiwan juga mempunyai tenaga yang tersendiri. Tenaga ini boleh membawa kebaikan, malah boleh membawa bencana. Haiwan yang mencari makanan tetapi boleh merosakkan tanaman, seperti ulat, tikus, burung, babi, dan sebagainya boleh menyebabkan kegagalan usaha pertanian. Dalam pada itu, ekosistem yang wujud secara alamiah ini tidak dapat diubah dengan mudah, melainkan diatasi dengan tenaga yang bertentangan dengannya ,seperti tenaga dan daya manusia untuk melawannya dengan pelbagai kaedah. Hal ini juga dapat ditemui dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, yang mengolahnya dengan dramatik dan tragis juga.

Usaha mengangkat karya-karya klasik mungkin dilihat klise dalam memberikan misalan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera. Namun, nilai sejagat tidak pernah klise selagi manusia dihuni oleh segala perasaan cinta, kasih, marah, benci, cemburu, ria, dan sebagainya. Apa yang menjadikan sesebuah karya itu kukuh dan berbeza dalam membawa nilai kesejagatan ialah kejujuran penulis yang menuliskan emosi dan fikiran dalam konteks pengalaman mereka yang tulen. Pengalaman ialah deduktif yang paling perkasa dalam menjelaskan serta mempertalikan emosi dengan realiti. Novel kosmopolitan awal seperti Perangkap Hitam oleh Ahmad Rashid Talu juga boleh dilihat antara karya sastera yang membawa nilai kesejagatan yang tekal.

Meletakkan nilai kesejagatan dalam karya sastera berteraskan emosi utama yang dapat menjadi konduktor atau pengalir kepada kebersamaan rasa segala manusia bukan bererti menolak bentuk-bentuk baharu karya sastera, yang bereksperimen dengan bentuk mahupun ideologi. Akan tetapi, sejauh mana pun bentuk dilarikan melangkau segala sempadan yang ada, ia tetap memerlukan pernyataan yang jelas tentang kehidupan manusia di dunia nyata. Bentuk bukan tiket kepada nilai kesejagatan dalam karya, sebaliknya rasa fikiran yang jelas merupakan kunci kepada nilai kesejagatan.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.