26 September 2021, 21:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polemik gender dalam sastera yang tercetus dalam beberapa wacana mutakhir ini tular di dada garis masa media sosial, menghangatkan ruang udara perbincangan. Sementelah cetusan polemik forum anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), iaitu Wacana PENA yang mengemudi sebuah bual bicara bertajuk “Wanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?”, mendapat reaksi lanjutan oleh Nur Adilla dan Hazman Baharom dalam satu naskhah kritikan yang disiarkan dalam e-Dewan Sastera.

Sambutan khalayak dalam hal ini lantang, lebih-lebih lagi setelah PENA yang berkedudukan terbuka menganjurkan sebuah bicara lanjutan perihal feminisme, susulan kenyataan bicarawan S.M. Zakir berbunyi, “Wacana feminisme dalam sastera sudah lapuk” sewaktu bicara yang pertama itu.

Wacana lanjutan tersebut, “Feminisme dalam Sastera: Isu Lapuk?”, diadakan pada 24 September 2021 (Jumaat), 9.00 malam. Minggu ini, ahli panelnya terdiri daripada Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Puan Ruhaini Matdarin, juruaudit serta penulis prolifik Sabah, bersama-sama panel tetap Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Saleeh Rahamad menerusi wacana ini menyatakan pendapat beliau perihal bagaimana budaya pengarang yang mengangkat isu feminisme di ranah tempatan dengan benua lain adalah berbeza, “Berbanding pengarang-pengarang dari Barat, perjuangan yang dibawa dari sana adalah berbeza daripada budaya ketimuran di Malaysia. Penulis-penulis Melayu tanah air kebanyakannya berkarya dengan budaya Islam, dan dalam Islam, tidak ada dikotomi perspektif darjat antara lelaki dengan wanita.”

Menurut Saleeh Rahamad lagi, dalam ranah tempatan, penulis wanita mahupun lelaki masing-masing bermain peranan dalam berkarya mengangkat perjuangan serta status wanita.

Rona idea perjuangan itu juga wujud dalam kalangan penulis, kesan pendedahan kesusasteraan Barat. Bagi beliau juga, isu ini tidak pernah lapuk kerana melibatkan kemanusiaan dan perlu untuk mendidik masyarakat sepanjang zaman.

Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan pula berkongsi kenyataan melalui cerpen “Menanti Suria Pagi”. Mesej cerpen yang ingin diangkat melibatkan isu keciciran pendidikan dan masa depan pembangunan sahsiah anak bangsa.

“Apa yang difokuskan dalam cerpen ini lebih menekankan hakikat beban pelajar perempuan yang lebih berat kerana stigma jantina mereka,“ jelas penyair itu.

Sejak era penulisan Zurinah lagi, beliau akui sangat sukar bagi wanita untuk menekuni pelajaran, maka cerpen yang dinukilnya ini merupakan sebuah mesej juang agar anak perempuan ketika itu juga mendapat peluang pendidikan, di samping memberi kesedaran akan kewujudan kekangan masa dan kesempitan ruang serta peluang untuk mereka.

Menurut beliau lagi, penulis-penulis yang tera dan berbakat sezamannya, seperti Maznah Ali juga dilihat perlahan-lahan menyusutkan diri daripada kegiatan penulisan ekoran tidak mampu menahan tekanan sosial dan ekonomi. “Tentulah perlu untuk memperjuangkan hak wanita ini, dan perjuangan ini tidak pernah mudah kerana kesukaran yang dihadapi adalah berbeza-beza,” tegas Zurinah.

Perihal soalan lapukkah isu feminisme ini, Zurinah sendiri sebagai pemerhati masyarakat dapat membuktikan, isu hati, perasaan dan tanggungjawab wanita dalam kehidupan bermasyarakat tidak pernah menemui penghujungnya. “Dari dahulu, mereka yang perempuan terpaksa berkorban untuk keluarga, mereka yang perempuan juga tertekan dengan tanggapan keluarga perihal domestik, dan hal ini tidak pernah selesai lagi sehingga hari ini, bagaimana kita boleh lapukkan isu ini?”

Beliau menegaskan juga, betapa beratnya peranan seorang penulis untuk kekal menulis dan berjuang kerana isu kemanusiaan ini tidak akan pernah habis. Zurinah Hassan memang masyhur dengan karyanya yang membawa naratif perjuangan wanita, seperti sajak “Pesanan Puteri Gunung Ledang”, “Surat Teja kepada Tuah” dan “Kuali Hitam”.

Ruhaini Matdarin pula menekankan persoalan ke arah manakah hala tuju polemik feminisme ini, mengharapkan wacana dan diskusi tentangnya mempunyai hala tuju yang jitu. Dalam kesuasteraan pun, cabang tanggungjawab, isu dan polemik adalah pelbagai dan perlu dikhususkan.

Ruhaini membuka perbincangan dengan skop yang lebih luas, iaitu perlunya untuk melihat cabaran tekanan psikologi masyarakat wanita. Ruhaini menyatakan kepentingan reaksi ini kerana isu yang dihadapi hari ini ialah isu yang real dan membejatkan perkembangan wanita. Menurut Ruhaini lagi, alasan ini sedia kukuh demi menentukan kepentingan menyuntik elemen feminisme dalam karya sastera.

“Dalam menggaul elemen feminisme ke dalam karya sastera, pengarang yang menulis tidak boleh menetapkan karyanya itu sebagai sebuah karya yang ‘feminisme’, namun melalui kepekaan dan keprihatinan penulis pada isu sekeliling, jiwa itu akan timbul.

“Sebagaimana karya itu tidak akan dinilai melalui label naskhah domestik atau naskhah publik, hujung pangkalnya, pembaca akan menilai karya itu melalui kesan dan rasa mereka,” ujar Ruhaini.

Walaupun dua panel jemputan ini, Zurinah dan Ruhaini masing-masing berbeza latar zaman kehidupan mereka, namun Ruhaini melihat isu yang diangkat oleh Zurinah, masih sama dan masih wujud. “Situasi dan zaman yang berbeza, namun isu masih sama, seperti isu melabel yang mengekang kemajuan. Namun, reaksi penerimaannya hari ini telah berubah,” jelas Ruhaini.

Ruhaini Matdarin menyimpulkan, walaupun kita berada dalam satu kepercayaan berkenaan feminisme, polemik ini akan sentiasa berubah-ubah. Diskriminasi tentang hak mungkin akan terus berlaku, dan yang utamanya, perkara ini sentiasa boleh dibincangkan. Katanya, isu ini (feminisme dalam sastera) tidak lapuk, kerana ancamannya nyata dan masih berleluasa.

Tonton wacana ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.