Oleh Orked Una
29 Ogos 2021, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perbahasan mengenai gender bukanlah sesuatu yang baharu. Stigma tentang wanita penuh beremosi, garapan gaya feminin dan pemikiran mereka dalam pengkaryaan memberikan persepsi bahawa karya mereka lemah. Dalam dunia penulisan, penulis wanita disarankan menggunakan nama pena lelaki ataupun nama yang tidak feminin serta menulis dengan gaya maskulin supaya karya mereka diterima dengan lebih baik dan meluas tanpa prejudis. Kononnya, hal yang dialami oleh penulis wanita tidak berlaku pada penulis lelaki dan mereka lebih bebas dalam pengkaryaan mereka.

Siri Wacana PENA ke -7 dengan tajuk “Wanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?” membawakan perkongsian menarik menerusi panel tetap Dr. Saleeh Rahamad, panel undangan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman serta S.M. Zakir, dan moderator tetap Mohd Khair Ngadiron.

Dr. Saleeh menyatakan isu ini wajar dibincangkan kerana walaupun isunya suatu persepsi umum tetapi terdapat bukti, hanya terdapat dua wanita daripada 14 Sasterawan Negara. Wacana ini dilakukan untuk menimbulkan suatu bentuk ransangan kepada penulis wanita supaya menghasilkan karya yang lebih universal dan tidak lagi terkepung dalam dunia emosi dan kekal dengan stigma penulis domestik.

Namun begitu, S.M. Zakir menyangkal bahawa pada masa sekarang, tiada lagi isu gender, malah isu feminisme sudah lapuk. Baginya, perbezaan penulis wanita dan lelaki adalah lebih kepada sudut pandang daripada persekitaran dan ekosistem yang membentuk mereka. Kini, ruang gender sudah beralih, dipecahkan dan tiada sempadan.

S.M. Zakir menerangkan perbandingan antara idealisme domestik dengan publik menerusi perlambangan rumah. Domestik seperti sudut pandang dapur yang menguruskan logistik, makanan dan pendidikan. Publik pula menggunakan sudut pandang ruang tamu, tempat bertemu tetamu, pertembungan dengan orang luar, berfikir dan mengawal isu-isu besar dan universal daripada hal-hal domestik.

Sudut pandang domestik sesuai dengan pengarang wanita dari segi emosi dan keperluan hal perkembangan, antaranya seperti pembinaan masyarakat dan pendidikan. Mereka akan melihat dahulu hal-hal kekeluargaan, rumah tangga dan masyarakat sebelum hal-hal yang lebih besar.

Sifat lelaki pula tidak akan terfokus pada hal rumah tangga semata-mata, tetapi lebih berfokus kepada konflik dan pertembungan di luar. Maka menurut Zakir, domestik dan publik ialah perbezaan cara fikir dan sudut pandang semata-mata. Sebenarnya, sudah ada penulis wanita yang tidak lagi melihat kepada perjuangan wanita dan menggunakan sudut pandang ruang tamu. Antaranya termasuklah Azmah Nordin, Hafizah Iszahanid, Ruhaini Matdarin, Rohani Deraman, Sri Rahayu Mohd Yusop, dan Fazleena Hishamuddin. Ada pengarang wanita yang karyanya sukar ditebak gender pengarangnya, menulis persis pengarang lelaki, seperti Harper Lee di luar negara, Mahizan Husain dan Raiha Bahaudin di Malaysia. Menurut beliau, hal ini menunjukkan, tidak semua pengarang wanita terperangkap dalam gaya penulisan feminin dan mampu menulis dalam gaya maskulin. Hal ini bukan lagi tentang perihal gender tetapi bagaimana penulis membawa pemikiran dan keberanian melawan tabu.

Dr. Hayati pula menyambung dengan menyatakan, perbincangan ini sangat baik untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pengarang wanita supaya mereka lebih ke hadapan dan keluar daripada ruang domestik dan berwacana sebagaimana pengarang lelaki yang lebih terbuka sifatnya di ruang awam.

Menurut kajian Hayati, beliau meletakkan penulis wanita dalam tiga jalur. Jalur pertama ialah penulis yang cenderung menulis hal domestik dan berusaha membebaskan diri daripada kongkongan adat dan patriarki, serta keluar daripada kepompong domestik. Jalur kedua ialah penulis yang telah keluar daripada kepompong domestik, memperkasakan wanita menerusi perjuangan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Jalur ketiga ialah ruang yang lebih besar dan luas untuk diterokai, dan tiada hubungan mengenai wanita dan kewanitaan sama sekali. Ketiga-tiga jalur ini bergantung pada kecenderungan pengarang wanita apabila menulis tentang subjek mereka.

Bagi beliau, pengarang wanita perlu keluar daripada kepompong domestik, berwacana dengan isu dan ideologi yang lebih besar, menghasilkan karya yang berkualiti dan bermerit tinggi supaya karya mereka mendapat pengiktirafan negeri, negara dan antarabangsa.

Dalam memerihalkan penulisan isu domestik dalam sastera tinggi pula, Saleeh menyatakan karya melankolik sukar untuk diangkat sebagai karya bernilai sastera tinggi kerana penulisannya taasub dengan emosi dan memikirkan hal yang enteng dan remeh-temeh. Dari satu segi, wanita terkongkong dengan masa, keberanian dan pendedahan daripada lelaki. Isu domestik yang berulang akan meremehkan merit, tidak kira gender. Para penulis perlu mencari aspek kebaharuan sebagai tanda kreatif.

Dalam hal ini, S.M. Zakir menekankan kepentingan novel kerana genre penulisan inilah yang menjadi penanda aras untuk dibawa ke luar negara, mewakili sastera Malaysia. Baginya, kini semakin ramai penulis wanita menjadi novelis prolifik, manakala penulis lelaki semakin menjadi minoriti yang akhirnya dihimpit dan diasak, lalu membawa diri menjadi penyair. Jika dulu, ruang dapur untuk wanita, sekarang mereka sudah boleh merentas ruang dan kini ada pula lelaki yang berada di ruang dapur. Menurut Zakir, kedua-dua gender kini boleh membawa kedua-dua ruang, baik dapur mahupun ruang tamu.

Siri wacana ini telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 29 Ogos 2021 pada jam 9.00 malam dan boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.