19 September 2021, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nur Adilla dan Hazman Baharom memberikan kritikan terhadap Wacana PENA yang ke udara baru-baru ini tentang penggolongan penulis mengikut latar gender. Reaksi ini merupakan bahagian yang pertama.

Permasalahan pokoknya bukanlah terhadap apakah isu yang diangkat, tetapi bagaimana kita menanggapi isu yang diangkat tersebut.

Kami mendengar dengan teliti forum Wacana PENA yang telah dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bertajuk “Wanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?” pada 27 Ogos 2021, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook perkongsian seorang kawan.

Terima kasih kami ucapkan kepada para panelis forum tersebut, iaitu S.M. Zakir, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dan moderatornya, saudara Mohd Khair Ngadiron. Wacana tentang sastera memang perlu diperbanyak dan disemarakkan. Forum ini juga penting kerana ia telah memaparkan pemikiran dan kefahaman isu sosial dan sastera yang dipegang oleh kalangan peran utama dunia sastera dan perbukuan yang berada dalam institusi Kerajaan Malaysia:

  • Saudara Mohd Khair Ngadiron: Pengarah Majlis Buku Kebangsaan di Kementerian Pendidikan Malaysia dan Mantan Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia;
  • Dr. Mohamad Saleeh Rahamad: Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang kerap menjadi hakim dalam sayembara sastera Malaysia;
  • Saudara S.M. Zakir: Mantan Setiausaha Agung PENA, penulis yang kerap menjadi hakim dalam sayembara sastera Malaysia; dan
  • Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman: Pensyarah di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan pengkaji bidang feminisme dan ginokritik sastera Malaysia.

Pun begitu, pada hemat kami, para panelis dalam forum tersebut kelihatannya melakukan banyak sekali kesalahan fatal dalam berfikir, menanggapi situasi wacana sastera kontemporari, dan memahami jalur-jalur pemikiran sosial. Dalam makalah ini, kami bermatlamat untuk menggariskan beberapa kritikan terhadap noktah-noktah yang telah disebutkan dalam forum tersebut. Kami merasakan bahawa kritikan sebegini adalah penting kerana forum tersebut telah disiarkan secara umum, lagi-lagi di platform PENA, maka kritikan juga perlu diterbitkan di ruang umum.

Forum tersebut bertitik tolak daripada persoalan tentang penulis lelaki, wanita, pencapaian masing-masing, idea pemerkasaan wanita dan isu gender, serta bagaimana representasi kedua-dua kelompok dalam penerbitan dan pengiktirafan sastera. Banyak noktah dan juga contoh yang telah dihuraikan oleh para panelis, dan makalah ini akan cuba meringkaskannya kepada beberapa isi penting sahaja.

Sepanjang forum tersebut, semua panelis telah membina kategori masing-masing dalam huraian idea mereka. Kategori yang kami maksudkan ini ialah pembahagian antara (i) gaya penulisan yang mengandungi “kelelakian” dan “kewanitaan” dengan bahasa yang “maskulin” atau “feminin”, (ii) singgungan isu-isu yang berfokus pada ruang “domestik” dan “tidak domestik”, dan (iii) kerancuan sikap dalam mendepani wacana dan isu sosial. Kami akan huraikan kritikan terhadap kategori-kategori ini satu per satu.

Kedangkalan Mengkotakkan Gaya Penulisan

Pembinaan kategori sedemikian rupa untuk menghuraikan karya-karya sastera kontemporari adalah sangat bermasalah. Hal ini kerana, dalam proses pembahagian mereka tersebut, tiada langsung definisi jelas yang ditawarkan kepada para pendengar tentang apakah esensi dan batas kepada setiap kategori yang dibina itu. Justeru, apabila kategori-kategori ini diletakkan sebelah-menyebelah dengan isu gender, analisis yang dilakukan akan menjadi tidak jelas. Tambahan pula, pembahagian kategori sebegitu juga tidak mampu menjadi mampan (sustainable), memandangkan realiti kesusasteraan yang sentiasa bersifat bendalir, poros dan sering tidak boleh dibungkus dalam kotak yang kemas.

Dalam pembahagian kategori (i), terdapat panelis seperti Dr. Saleeh dan S.M. Zakir yang bersikeras dengan mahu menunjukkan perbezaan antara “gaya menulis lelaki” dengan “gaya menulis perempuan.” Bahkan, isu “gaya menulis” ini begitu ditekankan sehinggakan disebut oleh S.M. Zakir bahawa “saya tidak sangka Harper Lee itu perempuan” (minit 37:30). Sikap ini amat menggamamkan, kerana bagaimana seorang yang selalu dilabel pemikir atau sarjana bidang sastera mahu membeza-bezakan pula cara menulis antara gender? Secara tersirat, andaian yang tersisip dalam cara berfikir begini ialah, perlunya ada beza antara cara menulis “lelaki” dengan “perempuan,” dan cara berfikir sebegini berpunca daripada diskriminasi gender secara bawah sedar. Sedangkan beliau sendiri beberapa kali menyebut bahawa pengalaman sekeliling yang akan membina kepenulisan penulis itu sendiri (minit 21:00). Hal ini disentuh sendiri apabila diakui bahawa bukan sedikit penulis lelaki yang prolifik menulis “isu domestik” di Malaysia.

Walau bagaimanapun, dalam menanggapi penulis wanita, beliau menyatakan keresahan dengan isu-isu gender yang terdapat dalam karya penulis wanita. Jelas semua bicarawan dalam forum ini, adalah bermasalah apabila wanita kerap menulis isu-isu domestik sahaja kerana “isu domestik” bukanlah penting, malah terpencil pula. Menurut mereka lagi, untuk memastikan karya-karya pengarang wanita ini boleh diiktiraf dan pergi jauh, mereka harus keluar daripada kepompong “isu domestik” yang “berulang-ulang” dan remeh (Dr. Saleeh pada minit 43:10, S.M. Zakir pada jam 1:09:00, dan Dr. Norhayati pada minit 49:00).

Seterusnya, terdapat andaian bahawa pengarang perempuan selalu memetik isu-isu peribadi seperti isu “seksual”, “bermain perasaan”, “isu peribadi emosi yang interpersonal”, dan lain-lain, manakala pengarang lelaki pula diandaikan sering menulis isu-isu “politik”, “kemasyarakatan” dan “isu di luar rumah”. Jadi, pengarang perempuan digalakkan untuk memetik juga isu-isu politik supaya dapat “bersaing” dengan pengarang lelaki. Malah, Dr. Norhayati pergi lebih jauh sehingga menyindir pengarang perempuan supaya “cukup-cukuplah dengan ruang domestik, berwacanalah sebagaimana lelaki berwacana” (minit 59:00). Andaian dan sindiran begini adalah amat tidak bertanggungjawab kerana tampak jelas kegagalan bicarawan memahami pokok pangkal masalah sosial yang diterjemah dalam karya sastera.

Ada masalah dalam andaian ini. Para panelis sedang melakukan penghakiman nilai (value judgment) terhadap gaya menulis wanita yang menulis isu-isu peribadi, dan hal ini dianggap “kurang bernilai” berbanding dengan gaya menulis lelaki yang “politikal” itu. Mengapakah penghakiman ini dilakukan? Mengapakah satu gaya menulis itu dianggap kurang bernilai pula? Adakah penghakiman mereka ini disokong oleh bukti-bukti yang wujud dalam sastera nasional dan antarabangsa? Kami mahu tunjukkan yang para panelis tidak mampu membuktikannya dan seperti kurang mengikuti perkembangan sastera dunia, kerana situasi sastera antarabangsa menunjukkan sebaliknya.

Kita mulakan dengan sastera Malaysia dahulu. Dalam sastera Malaysia sendiri, banyak sekali contoh pengarang lelaki yang menulis isu-isu perasaan, emosi dan sifat insecure terhadap diri sendiri. Satu contoh yang paling jelas ialah Arena Wati dalam novelnya Citra (1991) dan Sudara (1994). Melalui novel Citra, Arena telah membawa watak Sari Bulan yang tidak yakin dengan keadaan tubuh perempuannya yang akan berkahwin dengan Bacok. Sari Bulan yang merupakan seorang janda, lebih tua 13 tahun daripada Bacok itu merasakan dirinya tidak cukup baik untuk dikahwini oleh seorang lelaki muda, sehinggakan dia berkira-kira untuk melakukan pembedahan supaya dapat mengetatkan semula farajnya. Malah, dalam novel Sudara pula, Arena menghuraikan rasa sukar orang perempuan yang memakai caping, iaitu pelekap logam yang direka untuk menutup faraj perempuan ketika suami mereka pergi meninggalkan rumah. Nah, isu-isu ini merupakan isu perasaan dan emosi wanita, dan telah digarap oleh penulis lelaki dalam sastera Malaysia.

Penulis lelaki yang lebih kotemporari seperti Saharil Hasrin Sanin dan Faisal Tehrani turut begitu banyak sekali menulis dengan sudut pandang wanita yang membicarakan “isu domestik” di samping isu-isu besar lain. Sama juga dengan penulis wanita kita seperti Siti Raihani Mohamed Saaid, Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim, Mawar Safei, dan ramai lagi yang menulis isu pengalaman kewanitaan dalam karya mereka. Isu gender ialah isu yang politikal dan wujud bersama masalah-masalah politikal dan sosial lain. Kita tidak boleh memasukkan isu-isu ini dalam kotak-kotak secara simplistik tanpa memahami sebab dan akibat isu-isu ini dalam masyarakat.

Pun, jika kita meneliti deduksi S.M. Zakir dalam forum ini, apabila lelaki menulis “isu domestik”, beliau lebih apologetik kerana lelaki-lelaki ini menggunakan bahasa yang lebih maskulin dan kurang emosional (minit 34:00). Maknanya, beliau merasakan bahawa “isu domestik” ini boleh ditulis oleh lelaki tetapi bermasalah pula jika ditulis oleh wanita. Komentar beliau ini begitu tidak konsisten dan menayangkan sikap tidak adilnya dalam menanggapi soal kepenulisan dan gender.

Jika para bicarawan jujur dan tekun dalam mendalami perkembangan sastera antarabangsa pula, mereka akan dapati “isu domestik” dalam karya sastera begitu meriah dan ditanggapi sesuai dengan kualiti keseluruhan seni karya itu sendiri. Apatah lagi, bukan sekadar perempuan, sungguh ramai penulis lelaki yang menulis dengan gaya yang “bukan kelelakian” menurut kata panelis, dan sebaliknya.

Sebagai contoh, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012, Mo Yan pernah menulis novel Big Breasts and Wide Hips (edisi terjemahan 2004) yang meneliti dengan amat mendalam hal-hal perasaan seorang ibu yang tidak dinamakan dalam novel tersebut, ketika membesarkan sembilan orang anaknya.

Pada masa yang sama, novelis kontemporari yang telah menerima banyak sekali anugerah antarabangsa, seperti PEN American Center Award, O. Henry Prize, dan Commonwealth Writers’ Prize, Chimamanda Ngozi Adichie telah dengan cemerlangnya membedah isu-isu kewanitaan dan “isu domestik” di samping menyinggung politik Amerika, rasisme sistematik, dan implikasi undang-undang serta institusinya melalui novel Americanah (2013), malah politik Nigeria yang melibatkan perang Biafran telah menjadi latar penting dalam novel Half of a Yellow Sun (2006). Isu pertembungan antara mazhab-mazhab agama sehingga mencetuskan persengketaan antara puak telah disentuh dalam novel Purple Hibiscus (2006). Inilah sebuah contoh bagaimana pengkategorian dalam bentuk “gaya kelelakian” atau “gaya keperempuanan” ialah kategori palsu yang tidak mampu dibuktikan sama sekali oleh para panelis. Jika Chimamanda seseorang yang menulis dalam bahasa Melayu, tentu novel-novelnya yang tekal dengan isu “gender yang domestik” akan dikritik sebagai terkebelakang atau lapuk oleh para panelis dan moderator forum PENA tersebut.

Tambahan pula, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pertama dari Jepun, Kawabata Yasunari sebagai seorang lelaki telah banyak menyinggung isu-isu perasaan peribadi watak-wataknya secara feminin, yang perasaan ini lazimnya tidak dirasakan oleh lelaki. Dalam cerpen bertajuk “Sasabune” (“Kapal Daun Buluh”), cerita tentang Akiko yang tempang kakinya akibat polio dibawa ke hadapan, bersama-sama keresahan watak tersebut yang feminin sekali. Ketika ibu bapa tunangnya datang bertemu ibu bapa Akiko selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Akiko berasa resah sama ada pertemuan tersebut adalah disebabkan tunangnya mahu memutuskan ikatan pertunangan kerana kaki Akiko yang tempang itu (keresahan ini dapat dikesan dalam versi asal bahasa Jepun, kerana terjemahan bahasa Inggeris gagal mengungkapkan hal ini [rujuk Kawabata Yasunari Tenpan Zenshuu/Koleksi Cerpen Lengkap Kawabata Yasunari, 1964: 907– 907]). Keresahan ini amat feminin bagi masyarakat Jepun pada zaman Showa, kerana jika lelaki yang berdepan dengan keadaan ini, mereka tidak akan berfikir sebegitu.

Untuk memahami sebahagian isu ini, sekali lagi Sasterawan Negara kita sendiri, iaitu Arena Wati telah lama menulis isu keresahan wanita Jepun melalui watak Nagai Michiko lewat novelnya, Sakura Mengorak Kelopak (1987), khususnya setelah suaminya yang curang itu membunuh diri di laut. Isu-isu gender dan feminisme juga banyak dibangkitkan lewat peran-peran wanita yang majoriti dalam novel Kuntum Tulip Biru (1988).

Dalam arena puisi pula, imam besar anutan utama umat Islam di Malaysia, Imam al-Shafi’i telah lama menulis puisi mengkritik sikap lelaki yang main perempuan hanya untuk berfoya-foya. Perkara ini boleh dikatakan jarang disentuh oleh penulis-penulis lelaki. Dalam puisi beliau bertajuk “Jahd al-Bala’” (“Bencana dan Bala”), beliau bermadah:

Akthar al-nās fī al-nisā’ waqālū; inna ḥubb al-nisā’ jahd al-balā’
Laysa hubb alnisā’ jahdan walākin; qurbu man lā tuḥibb jahd al-balā’

(Dīwān al-Shāfi’ī., 1971:18)

Terjemahan kasar:
Ramai orang pergi kepada perempuan tetapi berkata:
Cinta kepada perempuan itu bencana dan bala.
Bukanlah cinta kepada perempuan itu bencana,
Engkau mendekati yang tidak engkau cintai, itulah bencana dan bala!

Jika menurut jalur fikir para panelis, sungguh “keperempuanan” dan anti-patriarki sekali gaya Imam al-Shafi’i berkarya. Sudah alang-alang, mari kita lihat pula terjemahan puisi pertama yang diketahui di dunia, hasil karya seorang wanita Sumeria, Enheduanna pada kira-kira 2300 SM (terjemahan ke dalam bahasa Inggeris oleh Michael R. Burch):

You hack down everything you see, War God!
Rising on fearsome wings
you rush to destroy our land:
raging like thunderstorms,
howling like hurricanes,
screaming like tempests,
thundering, raging, ranting, drumming,
whiplashing whirlwinds!
Men falter at your approaching footsteps.
Tortured dirges scream on your lyre of despair.
Like a fiery Salamander you poison the land:
growling over the earth like thunder,
vegetation collapsing before you,
blood gushing down mountainsides.
Spirit of hatred, greed and vengeance!
Dominatrix of heaven and earth!
Your ferocious fire consumes our land.

(“The Temple Hymns of Enheduanna” dlm. The HyperTexts)

Kalaulah Enheduanna hidup pada hari ini, nampaknya puisi tentang kesan trauma serta kemusnahan akibat peperangan dan sindiran terhadap Dewa Perang seperti ini akan dianggap sebagai “karya kelelakian” oleh para panelis. Pastinya akan terbit ungkapan seperti, “Oh, saya tidak sangka Enheduanna ini perempuan!” atau “Enheduanna telah berjaya menipu saya dengan melindungkan keperempuannya melalui penulisan ‘bukan isu domestik’” (seperti yang dilakukan oleh S.M. Zakir pada minit 36:28)!

Terdapat pelecehan daripada para panelis terhadap gaya penulisan yang dianggap sebagai “kewanitaan” yang difahami sebagai “lenggok”, “langgam” atau “gaya” bahasa pengkarya. Dr. Saleeh misalnya, telah menyatakan bahawa karya yang beremosi dan melankolik tidak layak diangkat sebagai karya sastera tinggi. Isu-isu emosi, perasaan dan kecurangan yang dianggap sepele itu bahkan dilabelnya sebagai satu “virus dalam penulisan” (minit 43:55).

Persoalannya, benarkah karya sastera tinggi tidak boleh melankolik, tidak bermain dengan emosi yang sepele? Hakikatnya, novel pertama di dunia, Genji Monogatari (Hikayat Genji) karya Murasaki Shikibu, diiktiraf sebagai sastera tinggi di seluruh pelosok dunia, dan karya ini dari awal sampai ke sudah memang berpusat pada emosi, hal-hal domestik, dan kisah kecurangan watak utamanya, iaitu Hikaru Genji. Bahkan, menurut pengkaji kontemporari W.M. Theodore de Bary dalam The Great Civilized Conversation (2013), kisah-kisah sepele ini bahkan membuka dimensi baharu dalam kajian psikoanalisis, lagi-lagi apabila pembaca cuba merasionalkan tindakan Genji yang jatuh cinta dengan ibu tirinya sendiri, iaitu Maharani Fujitsubo. Permasalahan pokoknya bukanlah terhadap apakah isu yang diangkat, tetapi bagaimana kita menanggapi isu yang diangkat tersebut.

Kesemua contoh di atas hanyalah setitis air di lautan sastera dunia yang membawa “isu domestik” dalam karya-karya mereka. Di luar pagar Malaysia, masyarakat dunia menanggapi “isu domestik” wujud serentak dengan “isu besar dan luar rumah”. Isu dalam penulisan ialah hasil fikiran pengkarya dan tidak boleh dipaksa-paksakan hanya untuk memenuhi selera para hakim sayembara yang ketinggalan zaman. Bagi pemikir dan pengkarya tulen pula, tidak kiralah lelaki atau perempuan, pengalaman dan pemerhatian pengkarya dalam memahami pergomolan kompleks masyarakat itu jugalah aset yang dituang ke dalam penulisannya. Oleh sebab itu, tidak mustahil untuk wanita terus menulis tentang pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap kewanitaan atau ruang yang dilaziminya (atau dipaksakan oleh ahli masyarakat, seperti para bicarawan forum ini). Sepertimana bicarawan boleh menghormati para lelaki yang menulis sebebasnya tentang apa-apa sahaja isu tanpa pemaksaan untuk masuk ke dapur atau berhenti melepak dan merokok di ruang tamu atau beranda rumah, pengalaman penulis wanita di “dapur” ini pula atau di mana sahaja, tidak harus diremehkan dengan simplistik oleh sesiapa, apatah lagi oleh para sarjana sastera.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 2)

_________________________

Nur Adilla ialah diplomat di Kementerian Luar Negeri. Sebelum itu, beliau merupakan Pegawai Penyelidik Dasar dan Legislatif di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor, serta penyelidik di Fakulti Sosiologi, Universiti Washington, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam dua bidang, iaitu Sains Politik dan Undang-undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari Universiti Washington. Selain esei, Nur Adilla turut menulis cerpen dan pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ketika di sekolah menengah.

 Hazman Baharom ialah Pegawai Penerbitan Kanan di Parlimen Malaysia. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Juri dan Hadiah Audiens dalam Pertandingan Haiku Antarabangsa 2020 anjuran Maison de la Culture du Japon à Paris, Perancis. Beliau telah menulis dua buah buku, Renungan Kemasyarakatan (2016) dan Perihal Keadilan (2019), selain sudah menterjemahkan empat buah buku daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina, serta menterjemahkan beberapa karya sastera Jepun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.