23 September 2021, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nur Adilla dan Hazman Baharom memberikan kritikan terhadap Wacana PENA yang ke udara baru-baru ini tentang penggolongan penulis mengikut latar gender. Reaksi ini merupakan bahagian yang kedua dan terakhir.

Api di dapur lebih marak daripada api kecil di hujung silinder putung rokok picisan di tangan lelaki …

Isu Domestik lwn. Isu Besar yang Lebih Penting

Seterusnya, dalam pembahagian kategori (ii), para panelis tidak kritis langsung dengan andaian bahawa “isu domestik” dengan “isu tidak domestik” perlu dibezakan, kemudian ditambah lagi dengan andaian bahawa “isu tidak domestik” adalah lebih penting daripada “isu domestik” untuk diketengahkan dalam penulisan seorang pengarang. Hal ini dibuktikan dengan persetujuan semua panelis secara jahar bahawa untuk seorang pengarang perempuan meningkat maju, dia perlu “keluar” daripada kepompong “isu domestik” semata-mata. Ada dua masalah di sini: satu, “isu domestik” hakikatnya adalah sama penting dengan “isu bukan domestik;” dan dua, nasihat untuk keluar daripada kepompong isu domestik itu barangkali merupakan antara nasihat terburuk dalam sejarah kesusasteraan dunia.

Apabila para panelis membahagikan kedua-dua isu antara “domestik” dengan “bukan domestik,” ia menuntut takrif. Malangnya, tiada seorang pun menawarkan pentakrifan yang memuaskan, walaupun sedikit. Jadi, kami mengandaikan para panelis memaksudkan “isu domestik” sebagai “isu-isu dalam rumah tangga, seperti hubungan suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, kerja-kerja rumah, seperti membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, mengemas rumah, dan segala yang terangkum dalam batas empat penjuru dinding rumah itu sahaja.” Kemudian, isu “bukan domestik” pula kami andaikan dimaksudkan sebagai keterbalikan daripada “isu domestik” tadi, yakni segala hal di luar batas dinding rumah.

Pada hakikatnya, dalam semua masyarakat di dunia, isu domestik adalah sama penting dengan isu bukan domestik. Jika dilihat dengan teliti, segala yang berlaku di dalam rumah tangga antara suami dengan isteri, hubungan ibu bapa dengan anak-anak, malah kerja-kerja memasak di dapur sekalipun adalah politikal. Segala yang domestik adalah political, dan hal ini bukannya perkara baharu, lagi-lagi dalam sastera dan kesarjanaan sains sosial seluruh dunia.

Lihat saja pada kesan-kesan berantai kefahaman agama dan budaya yang dominan dalam layanan suami terhadap isteri dan anak-anak di rumah, misalnya. Atau ketetapan undang-undang negara tentang gaji minimum atau waktu bekerja terhadap hubungan kekeluargaan dan tuntutan pekerjaan di luar antara suami isteri. Ataupun, bagaimana kurangnya pimpinan politik negara daripada komuniti marginal, seperti orang kelainan upaya (OKU) merupakan manifestasi corak layanan masyarakat terhadap OKU. Termasuklah juga apabila ada dasar negara yang mengkelasduakan Wanita, dengan menidakkan hak kewarganegaraan anak-anak yang beribukan warga Malaysia tetapi berbapakan warga luar. Isu penderaan wanita yang semakin meningkat kala kuncitara ini juga adalah susulan dasar yang dibuat rentetan pandemik dunia.

Bahkan, dalam konteks peringkat di kementerian, Malaysia pada pertengahan tahun 2020 menjadi terkenal apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan siri iklan yang merendah-rendahkan wanita di media sosial rasmi mereka. Bukan sahaja wanita, bahkan lelaki juga ramai yang menyatakan ketidakpuasan hati tentang cara institusi kerajaan menanggapi wanita sehingga KPWKM menarik balik poster-posternya itu. Sebelumnya lagi, kami yakin rakyat Malaysia masih ingat polemik tentang suri rumah tercetus apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu memulakan skim simpanan untuk suri rumah sepenuh masa dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kerja-kerja domestik seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak-anak, dan lain-lain lagi merupakan kerja yang melelahkan dan menggunakan banyak tenaga, malah tidak kurang lelahnya dengan mereka yang bersengkang mata di hadapan komputer di pejabat atau pekerja angkat barang di gudang-gudang. Tetapi, kita melihat hanya kelompok pekerjaan kedua itu yang layak dianggap sebagai “kerja”, tetapi kerja-kerja suri rumah tetap dianggap “bukan kerja”.

Pendek kata, isu kekeluargaan di rumah atau “isu domestik” ialah isu besar yang kompleks dan sangat politikal.

Melihatkan arakian contoh yang dinyatakan ini, mari kita fikirkan persoalan ini sejenak: siapakah yang menetapkan bahawa satu kelompok pekerjaan itu dianggap sebagai kerja, manakala kelompok lain tidak? Bagaimana penetapan tersebut dilakukan? Apakah kepentingan yang ada untuk pihak-pihak yang mengeluarkan ketetapan ini? Kalau mahu mudah-mudah dan tidak mahu berfikir panjang, kita boleh saja menjawab soalan-soalan ini dengan mengatakan bahawa “masyarakat sudah menganggap sebegitu sejak zaman-berzaman”, tentulah lelaki seperti saudara Khair tidak akan merasa pengalaman melihat S.M. Zakir memasak bubur (jam 1:34:43). Tetapi, anggapan sebegitu pastilah ada asal usulnya daripada budaya, sosialisasi masyarakat, pendidikan, pemahaman agama, dan institusi sosial. Bukankah ini semua politikal sifatnya? Gabungan kesemua faktor ini menunjukkan kita bagaimana ketetapan sesuatu pekerjaan itu dianggap “kerja” atau “bukan kerja”, “isu penting dan besar” atau “isu tidak penting dan mengulang-ulang”, yang sememangnya merupakan ketetapan yang lahir daripada ranah kemasyarakatan dan sentiasa bersifat politikal.

Untuk menghuraikan lebih lanjut, kami akan tunjukkan bagaimana karya-karya bermutu tinggi telah banyak mengangkat “isu domestik” dalam karya mereka. Bahkan, para bicarawan sendiri telah menyebut beberapa karya dan penulis, termasuklah penulis lelaki yang turut menulis isu-isu domestic, seperti Azizi Haji Abdullah lewat karya Sangeetha (2006) dan Shahnon Ahmad dalam Tunggul-tunggul Gerigis (1988). Tetapi, ganjil apabila Dr. Saleeh tetap mahu melihat isu domestik yang diangkat oleh penulis lelaki ini sebagai hanya “perlambangan” (minit 27:00). Mengapa tiba-tiba menjadi ragu apabila isu domestik turut dijuarai oleh penulis lelaki? Selain mereka, penulis seperti Arena Wati, Khadijah Hashim, Fatimah Busu, A. Samad Said, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail ialah penulis prolifik Malaysia yang begitu konsisten menulis seputar “isu domestik”, seperti yang disinggung-singgung oleh para bicarawan. Isu yang dibangkitkan sama penting dengan isu-isu sosial lain, seperti kemiskinan, politik partisan, kesenjangan ekonomi, pendidikan, dan banyak lagi. Jangan kita lupa tentang cerpen pertama Malaysia yang memenangi Hadiah Cerpen Komanwel pada tahun 2019, iaitu “Ibu Saya Pattu” oleh Saras Manickam, sesungguhnya tentang isu wanita dan keluarga, yang amat “domestik” sifatnya.

Dalam sastera di luar Malaysia pula, keadaannya lebih mengujakan. Sudah berapa banyak pemenang anugerah sastera tertinggi pada peringkat antarabangsa yang fokus pada isu domestik dalam karya mereka, seperti Han Kang dengan The Vegetarian yang telah memenangi Man Booker International Prize pada tahun 2016. Yeong-hye, watak utama novel tersebut, telah menghadapi banyak masalah domestik dengan suaminya, bapa mentuanya, kakaknya, dan individu-individu lain dalam keluarga mereka. sehingga dia pernah cuba membunuh diri di meja makan, di hadapan bapa mentuanya sendiri. Nah, jika dibaca babak tersebut dengan teliti, pergelutan Yeong-hye dengan bapa mentuanya itu pun bertitik tolak daripada isu domestik kerja rumah.

Selain itu, Pearl S. Buck, pemenang Hadiah Nobel Sastera 1938 melalui novel beliau, The Good Earth (1931) dengan sangat intim mengangkat hal-hal domestik, rumah tangga suami isteri antara Wang Lung dengan O-Lan, dan pergelutan seorang isteri dalam keluarga marhaen di China untuk membesarkan anak mereka. Hal-hal sepele dalam rumah tangga yang direndah-rendahkan oleh para bicarawan itulah yang ditulis oleh Buck, sehinggalah imaginasi massa tentang isu keadilan sosial dapat dibuka seluas-luasnya. Lebih mutakhir, Lisa Ko melalui novel The Leavers (2017) telah bercerita tentang isu-isu domestik dalam keluarga Deming Guo, seorang anak imigran di Amerika Syarikat dalam jagaan sebuah keluarga kulit putih. Pelbagai keresahan tentang dirinya, identitinya, ibunya, dan perkara-perkara kecil dalam hubungan kekeluargaan diluah dengan grafik sekali oleh Ko. Novel ini telah berjaya memenangi PEN/Bellwether Award 2016.

Oleh sebab itu, panel pemilihan Anugerah Sastera Negara sebenarnya harus dipuji kerana mengangkat Datuk Dr. Zurinah Hassan sebagai Sasterawan Negara Malaysia yang ke-13. Selain isu sejarah, politik dan falsafah, Zurinah ialah pengkarya yang tajam mengangkat persoalan identiti, timbang tara hubungan lelaki-perempuan atau “isu domestik” dalam cerpen dan puisinya. Zurinah merupakan pemikir Malaysia yang terkedepan dan tulen yang telah mengutarakan isu-isu ini, apatah lagi telah tekal menghasilkan karya sastera berseni dan berkualiti tinggi.

“Isu domestik” bukanlah isu lapuk atau membosankan untuk terus diwacanakan. Hanya pemerhati dan pengkritik sastera yang dangkal, lapuk, egoistik, dan ketinggalan zaman sahajalah yang akan menganggap “isu domestik” sebegitu rupa.

Disebabkan isu domestik adalah sama pentingnya dengan isu bukan domestik, maka penulis yang berfokus pada isu domestik tidak perlu dinasihatkan untuk “keluar daripada kepompong” isu domestik supaya boleh meningkatkan mutu penulisan mereka. Mutu penulisan ialah kualiti yang terbit daripada singgungan terhadap isu-isu kemasyarakatan yang terselit lewat peristiwa yang diungkap dalam setiap karya, bukannya wajib melibatkan “isu domestik” atau “isu bukan domestik” semata-mata. Para panelis yang mengaku sebagai “penilai karya sastera” seharusnya lebih faham perkara ini.

Harus diingatkan sekali lagi, “isu domestik” yakni “isu gender”, “isu kekeluargaan” dan “isu dapur” yang ditanggapi para bicarawan forum ini adalah sama pentingnya dengan “isu bukan domestik”. Permasalahan gender atau menurut bicarawan, “isu domestik” ini lazimnya saling bertautan dengan isu-isu lain dan memberi kesan besar pada kehidupan sosial, ekonomi dan politik masyarakat. Mengapa bicarawan forum ini tidak pula mempersoalkan penulis lelaki yang “menulis isu lelaki”? Kerana kita semua tahu, persoalan-persoalan yang lazim dibangkitkan dalam sastera adalah kompleks dan rencam, sehingga mustahil untuk kita memaksakan deduksi “isu lelaki” atau “isu perempuan” sahaja yang wujud dalam sesuatu karya itu sendiri. Hal ini juga disebabkan oleh “kelebihan sosial” atau privileges yang dinikmati oleh majoriti lelaki dalam ketidakseimbangan hubungan lelaki-perempuan dalam masyarakat dunia.

Kerancuan Sikap dalam Mendepani Wacana dan Isu Sosial

Pada hemat kami, para bicarawan khususnya saudara Khair, Dr. Saleeh dan S.M. Zakir telah gagal memahami wacana gender dalam sastera. Terdapat andaian bahawasanya wacana yang melibatkan gender pasti akan dibataskan dengan “isu-isu Wanita”, dan hal ini merupakan salah faham yang fatal sekali. Hal ini kerana, isu gender merupakan isu yang melatari semua hal dalam masyarakat, dan turut melibatkan “hal-hal lelaki” juga. Sebagai contoh, sudah berapa ramai lelaki yang berasa tertekan akibat daripada maskuliniti toksik (toxic masculinity) yang dipaksakan ke atas dirinya. Tiada satu pun bidang ilmu lain yang membedah permasalahan maskuliniti toksik yang membarah ini secara sistematik, ilmiah dan berpandukan disiplin ilmu jika ilmu kajian gender tidak wujud pada zaman ini.

Dalam forum tersebut juga, para panelis telah melawak dengan mengatakan bahawa “lelaki tak akan puji badan lelaki” (minit 36:50), dan tidak lama kemudian, mengungkapkan pula bahawa jika perkara itu berlaku, ia mungkin berlaku dalam kalangan “gay”. Ada dua masalah dalam lawak ini. Satu, pernyataan bahawa “lelaki tidak akan memuji badan lelaki” itu sungguh-sungguh menunjukkan kecetekan pembacaan para bicarawan yang mengaku “penilai sastera”, dan dua, mengapakah sikap seorang “gay” yang sebegitu mahu dijadikan bahan lawak pula?

Tidak berhenti di situ, para bicarawan turut menyorot perkembangan para penulis wanita yang lebih kontemporari, seperti Nisah Haron, Rebecca Ilham, Mahizan Husain, Hafizah Iszahanid, dan Fazleena Hishamuddin yang telah banyak membangkitkan isu-isu domestik dalam karya mereka. S.M. Zakir misalnya, mengaku berasa tergugah membaca tulisan Fazleena yang tegas dan realistik seputar pengalaman kewanitaan yang anti-patriaki, tetapi beberapa saat kemudian beliau dan Khair ketawa menyindir-nyindir mengatakan Fazleena menulis tentang isu wanita dengan berani sebelum ini, tentunya akan berubah setelah beliau menjadi ibu baru-baru ini. Kesemua bicarawan lelaki kemudian terkekeh-kekeh dengan inside joke “roman”, “kaki perempuan” dan “buaya darat”. Setelah itu, Khair dengan nada merendah-rendahkan mengkomentari bahawa setelah menjadi ibu, Fazleena tentu akan menulis isu-isu domestik selepas ini (jam 1:07:00).

Pada hujung forum, dengan tidak semena-mena, Khair ada juga dengan selamba menyatakan bahawa keterhadan wanita adalah sama sahaja seperti seorang lelaki, seperti dirinya yang terkongkong di rumah kerana tidak boleh sebebasnya bercakap tentang perempuan di sana, berbanding jika di luar. “Lawak” seksisnya ini disambut tawa oleh para bicarawan lain (jam 1:35:00).

Pemaparan bagaimana tiga orang bicarawan lelaki ini memberikan komen tentang karya Fazleena dilihat sangat tidak profesional dan tidak beradab jika hendak dibandingkan dengan posisi masing-masing dalam dunia sastera dan perbukuan Malaysia. Sikap seperti inilah yang perlu didepani oleh penulis wanita, tatkala mereka sering diusik dan direndahkan keseriusan karya secara tidak profesional oleh para pentadbir sastera seperti tiga bicarawan ini. Wanita bukan sahaja perlu berbakat dan rajin menulis, tetapi perlu melepasi satu lagi halangan tambahan, iaitu peran institusi sastera dan perbukuan yang tidak menghormati manusia sewajarnya. Kali ini, pemaparan sikap selekeh ini berlaku di ruang formal dan di pentas sebuah pertubuhan penulis nasional secara terbuka pula. Bayangkan, apakah yang diperkatakan lagi di belakang penulis-penulis wanita yang berani, jujur dan membawa isu-isu penting seputar gender dan masalah sosial lain? Pelecehan awam ini dibuat oleh lelaki-lelaki berpendidikan tinggi dan pembaca, bayangkan oleh lelaki yang kurang akses pada wacana pula?

Dan, kita masih mempersoalkan mengapa wanita selalu menulis isu seputar kewanitaannya?

Sebab itulah, untuk memahami sikap para panelis yang melihat perkara ini sebagai “lawak”, isu maskuliniti toksik yang konon “maco” itu perlu diteliti. Maskuliniti toksik inilah yang menjadi asal usul “lawak-lawak” hambar mereka, walaupun tanpa mereka sedari kerana hal ini beroperasi pada peringkat bawah sedar. Hal ini juga manifestasi sikap sebenar para bicarawan ini terhadap orang sekelilingnya. Dunia sastera dan perbukuan harusnya melahirkan manusia yang lebih santun dan beradab, saling menghormati kepelbagaian, dan lebih empati serta bersikap terhadap ketidakadilan sosial. Sikap stereotaip dan suka merendah-rendahkan orang pun merupakan sesuatu yang melibatkan andaian-andaian gender dan maskuliniti tertentu. Jadi, wacana gender dalam sastera bukan sahaja penting untuk meluaskan ufuk pemandangan kita terhadap isu-isu sosial, tetapi juga para panelis sendiri boleh berdikit-dikit untuk mula memahami gejala maskuliniti toksik yang sedang membarah dalam diri mereka sendiri.

Setelah itu, terdapat juga satu soalan daripada audiens tentang “keadaan penulis wanita yang aktif sebelum kahwin, tetapi tidak menulis lagi selepas kahwin” (jam 1:00:30). Seperti kata Dr. Norhayati sendiri, sememangnya ada data untuk membuktikan keadaan ini. Namun, adalah mengecewakan apabila semua panelis telah menyapu persoalan ini ke bawah permaidani, dan tidak cuba menelitinya lumat-lumat. Dr. Saleeh misalnya mengaku sendiri bahawa setelah berkahwin, seorang wanita akan terpaksa memikul tanggungjawab keluarga dan prasangka daripada suami (1:27:00), tetapi apabila tiba kepada penyelesaian masalah ini, mudah sekali dielak dengan hanya wallahu a’lam, hanya Allah yang tahu. Bagaimana seorang sarjana universiti tergamak menjadi seselekeh ini dalam memperkatakan isu sosial?

Jika kita melihat perkara ini dengan cermat, akan timbul banyak sekali persoalan. Mengapakah lelaki, walaupun selepas kahwin, dengan mudah sekali dapat terus menulis, tetapi perempuan akan berdepan banyak kesukaran? Mengapakah apabila kahwin, perempuan itu perlu fokus pada kerja rumah dan mengetepikan penulisan, manakala lelaki boleh berbuat sebaliknya dengan senang sekali? Sejak bilakah perbezaan beban domestik ini muncul? Siapa yang menetapkannya? Mengapa kita meneruskan saja amalan ini?

Terdapat juga perkongsian pemerhatian seorang pendengar, Puan Ramlah Rashid mengenai fenomena suami yang boleh mengurung dirinya berjam-jam di dalam bilik untuk menulis, tanpa menghiraukan hal anak di luar. Isteri atau wanita pula tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa menguruskan segala hal domestik seorang diri yang tidak dihiraukan oleh suaminya. Fenomena ini berkali-kali disebut dan disinggung dengan cara terang-terangan mahupun berseni dalam karya-karya besar Sasterawan Negara Zurinah Hassan berkali-kali.

Malangnya, dalam forum ini, moderator hanya mengulang komen yang dengan jelas, menyebut “Penulis wanita apabila berkahwin, mereka sibuk dengan kerja, anak-anak dan suami. Akhirnya, (wanita) susah untuk berkarya. Tetapi, apabila anak-anak sudah terlepas daripada penjagaan yang teliti, mereka akan bangkit. Waktu itu, mereka sudah jauh tertinggal. Berlainan dengan penulis lelaki, mereka mampu berkurung di bilik tanpa mempedulikan apa yang berlaku di luar bilik mereka.” (jam 1:20:20). Saudara Khair hanya menyapu pendapat audiens ini ke tepi dengan mengatakan “wallahu a’lam, itu pendapat” dan tidak pula meminta panelis untuk mengulas fenomena realiti ini yang sebenarnya menerangkan kesan ketidakseimbangan kuasa suami dan isteri dalam institusi kekeluargaan terhadap produktiviti penulis wanita. Komen itu malangnya sudah tidak boleh dijumpai di pautan forum malam itu (mungkin masalah teknikal atau telah dipadam).

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas ini hanya dapat dijawab jika kita telah memahami isu “kelebihan sosial” (social privileges), yang disentuh dalam disiplin ilmu kajian gender, falsafah, sosiologi, dan sains politik. Kelebihan sosiallah yang telah menjadikan sesebuah masyarakat itu melihat, kononnya lelakilah yang lebih layak memimpin sesebuah negara berbanding perempuan, suara lelaki lebih didengar dalam isu-isu nasional berbanding suara perempuan, dan bagaimana beban-beban kerja dalam rumah tangga dianggap biasa untuk disandang oleh perempuan secara eksklusif, dan si suami akan hanya dilihat sebagai “menolong isteri kemas rumah”, bukannya “kemas rumah itu juga tanggungjawab suami”. Sekali lagi, di sinilah pentingnya karya-karya sastera yang menyentuh isu-isu domestik yang dikatakan sepele itu, kerana situasi lelaki yang memiliki banyak sekali kelebihan sosial berbanding wanita akan dapat ditonjolkan melalui cerita-cerita domestik tersebut.

Namun, lebih menyedihkan lagi apabila semua panelis, tetap sahaja menyalahkan perempuan apabila berdepan dengan keadaan sebegini. Dr. Norhayati malah menyimpulkan, “perempuan mesti rajin menulis juga selepas kahwin,” “perempuan kena kental” (jam 1:00:30), “perempuan tidak boleh akur, tidak boleh terbatas”, dan sebagainya. Seolah-olah, mereka yang keciciran tidak menulis selepas kahwin itu disebabkan mereka ini “tidak cukup kental” atau “hanya akur pada halangan”, bukannya disebabkan oleh segala beban fizikal dan mental yang perlu ditanggung dalam perkahwinan, apatah lagi jika mendapat suami yang menjadi biawak hidup sahaja. Dr. Norhayati turut membawa cadangan Virginia Woolf bahawa walaupun wanita berada dalam rumah tangga, perlu ada ruang khusus untuk menulis. Cadangan ini amat tidak praktikal sekali, kerana Woolf ialah aristokrat dan lahir dalam kemewahan, itupun Woolf masih dihenyak oleh stereotaip dan diskriminasi terhadap diri perempuannya sebagai penulis (seperti yang masih berlaku beratus tahun setelahnya, dalam forum ini).

Sebagai pengkaji gainokritik yang membaca tulisan-tulisan Elaine Showalter, Dr. Norhayati tentu tahu mengenai sejarah penulis-penulis wanita besar dunia yang menghidapi tekanan mental dan perasaan yang teruk kerana tidak dapat menulis dan membaca dengan bebas setelah berkahwin. Bahkan, antara lain, teori gainokritik itu sendiri lahir sebagai respons terhadap ketidakseimbangan ruang dan pengalaman kepenulisan wanita yang unik, acap kali ditindas dan dihenyak oleh masyarakat zamannya. Antara yang paling diketahui umum ialah betapa hal-hal domestik (meski bukan konklusif) yang menekan penulis wanita berbakat besar seperti Sylvia Plath sendiri, sehingga dia memilih untuk mati dengan membunuh diri.

Bagaimanalah wanita boleh terus menulis dalam institusi keluarga yang tak pernah berubah sistemnya sejak beratus tahun yang lalu? Para penulis wanita dan lelaki yang menulis “isu domestik” tadi yang sebenarnya cuba untuk menyinggung permasalahan ini, tetapi “isu domestik” ini pula berterusan diremehkan oleh para panelis yang tidak pula menawarkan penyelasaian atau wacana yang lebih kritis bagi permasalahan sosial ini.

Tambahan pula, menjadi penulis bukan pekerjaan mewah. Majoriti wanita dalam kelompok B40 atau M40 tidak ada kemewahan material, ruang serta masa yang dimiliki oleh Woolf atau mungkin oleh Dr Norhayati sendiri, apatah lagi untuk mempunyai “ruang sendiri” di rumah supaya boleh terus menulis. Sikap menyalahkan mangsa (victim-blaming) sebegini amat mendukacitakan, kerana yang menghadapi kesukaran hampir tanpa jalan keluar dalam perkahwinan itu lazimnya si isteri, tetapi apabila si isteri tidak menulis kerana kekangan sistemik, dia dipersalahkan juga. Apalah nasib orang perempuan, sudah jatuh ditimpa tangga.

Apakah para bicarawan tidak pernah membaca dan menaakul puisi terkenal yang sering berlegar di media social, iaitu “Satu Percakapan Singkat” tulisan Zurinah Hassan?

(…) tetapi kau lelaki
dan aku perempuan
di sinilah letaknya perbezaan

Seorang lelaki membebaskan diri
untuk membataskan pilihan
seorang perempuan membataskan pilihan
untuk membebaskan diri.

Terus-terusan meraih pekung di dada, S.M. Zakir menunjukkan kesempitan pembacaan beliau sendiri apabila mendakwa bahawa “wacana feminisme dalam sastera sudah lapuk” (jam 1:32:15). Pada hakikatnya, wacana feminismelah yang sudah banyak berjasa membina alat-alat perkakas intelektual untuk memahami isu kelebihan sosial, beban ganda (double burden) dan sikap menyalahkan mangsa dalam isu berkaitan gender di seluruh dunia. Wacana gender dan feminisme telah jauh berkembang pesat, bahkan ketika dunia diserang oleh wabak COVID-19, wacana feminismelah yang telah membantu para pembuat dasar untuk memahami isu hubungan kekuasaan (power relations) dalam rumah tangga berikutan kuncitara di banyak negara di dunia. Adalah tidak adil untuk meninggalkan satu alat intelektual yang amat penting untuk memahami isu-isu kontemporari, hanya kerana anda menganggapnya sebagai “lapuk”. Malah, wacana feminisme dan politik agamalah yang telah mencetuskan ilham untuk Margaret Atwood menulis The Handmaid’s Tale (1985) yang telah memenangi Arthur C. Clarke Award pada tahun 1987. Pada hari ini, siapa yang boleh menafikan kehebatan novel ini dalam kesusasteraan dunia?

Justeru, apabila para panelis mencadangkan supaya para wanita “keluar daripada kepompong domestik” dan “menyentuh isu antarabangsa” umpamanya, dengan hasrat untuk “bersaing dengan penulis lelaki” (jam 1:18:05) kita harus persoalkan pula, adakah mereka “tidak mahu” atau “tidak mampu” untuk keluar dan bersaing? Lebih mendalam lagi, adilkah mereka disuruh “bersaing” jika padang permainannya sudah tidak rata sejak awal lagi? Pada masa yang sama, jika isu-isu domestik langsung didiskriminasi dalam karya dan dianggap kurang penting berbanding dengan isu “bukan domestik,” bagaimanakah kita mahu benar-benar menilai merit karya-karya sastera? Dengan pengalaman perempuan yang banyak didekam di rumah akibat ekspektasi sosiallah, kita melihat ramai penulis perempuan menulis isu domestik, namun bukanlah bermaksud isu domestik itu tidak bermutu. Seperti yang telah kami katakan dan buktikan di atas, mutu karya sastera tidak langsung berkait dengan isu “domestik” atau “bukan domestik”. Jika tanda aras penilaian sastera di negara kita yang dikatakan berasaskan “merit” itu pun sudah tempang begini, memang amat susahlah untuk sastera kita bangkit dengan karya-karya bermutu, mampan dan semasa pada peringkat dunia.

Menuju ke Hadapan

Hal “Isu domestik” atau “isu wanita” bukanlah isu yang kurang penting daripada isu sosial lain. Para bicarawan tidak habis-habis membawa analogi ruang-ruang di dalam rumah dan mengatakan wanita harus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu atau beranda untuk mendengar masalah-masalah yang “lebih besar dan penting untuk masyarakat”. Betapa bermasalahnya cara berfikir sebegini kerana (i) dapur ialah ruang yang sama penting dengan ruang lain seperti ruang tamu, kamar tidur atau jamban tempat kita melepaskan pemikiran najis yang dangkal, (ii) dapur ialah ruang utama untuk menyediakan makanan dan minuman supaya masyarakat boleh kenyang lalu boleh berfikir dan menulis “isu-isu besar” supaya “dapat memberi impak pada pembangunan masyarakat”, dan jangan dilupa, (iii) api di dapur lebih marak daripada api kecil di hujung silinder putung rokok picisan di tangan lelaki di beranda tadi.

Ketempangan dan keserabutan hujah dalam forum ini terlalu jahar, secara langsung menunjukkan sikap simplistik, korupsi sikap dan wewenang para bicarawan forum dalam memahami isu sastera dan sains sosial yang kompleks dan ragam. Kita mengerti bahawa kadangkala para bicarawan boleh menjadi terlalu santai dan kurang serius sikapnya apabila berhujah lewat forum-forum dalam talian, tetapi perkara yang dipaparkan di sini ialah manifestasi totok kecetekan kefahaman terhadap isu sosial yang melatari sastera.

Sebagai intelek dan pemimpin sektor sastera dan perbukuan Malaysia, kedangkalan kefahaman dikotomi dan simplistik sebegini begitu mengejutkan, lagi-lagi jika kita hendak membandingkan wacana sastera dalam bahasa Melayu di negara jiran Singapura dan Indonesia. Mereka ini digaji menggunakan dana awam dan seharusnya lebih berintegriti dalam menjalankan tugas selaku pemimpin dan pentadbir sastera dan perbukuan dengan unggul dan berkesedaran tinggi.

Taraf kualiti pewacanaan ini perlu disuluh terang-terangan kerana para bicarawan ini bukanlah pak cik dan mak cik yang tidak berpendidikan yang bersembang di kedai kopi. Mereka peran penting yang memegang antara tampuk utama pentadbiran bahasa dan perbukuan negara. Cara fikir dan sikap mereka akan memberi banyak sekali implikasi terhadap pengiktirafan karya dalam anugerah yang ditangani, penerbitan karya, pembuat dasar, cara penulisan, pendidikan bahasa dan sastera kepada generasi muda, pengembangan kesarjanaan sastera, dan seperti dalam forum ini, tahap kualiti dan kritik pewacanaan sastera.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 1)

_________________________

Nur Adilla ialah diplomat di Kementerian Luar Negeri. Sebelum itu, beliau merupakan Pegawai Penyelidik Dasar dan Legislatif di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor, serta penyelidik di Fakulti Sosiologi, Universiti Washington, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam dua bidang, iaitu Sains Politik dan Undang-undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari Universiti Washington. Selain esei, Nur Adilla turut menulis cerpen dan pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ketika di sekolah menengah.

 Hazman Baharom ialah Pegawai Penerbitan Kanan di Parlimen Malaysia. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Juri dan Hadiah Audiens dalam Pertandingan Haiku Antarabangsa 2020 anjuran Maison de la Culture du Japon à Paris, Perancis. Beliau telah menulis dua buah buku, Renungan Kemasyarakatan (2016) dan Perihal Keadilan (2019), selain sudah menterjemahkan empat buah buku daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina, serta menterjemahkan beberapa karya sastera Jepun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.