Oleh Orked Una
19 September 2021, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Siri bicara sastera terjemahan China diteruskan dengan membicarakan novel terjemahan Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Yōngzhèng huángdì: Jiǔ wáng duó dí) oleh Er Yuehe. Tokoh pengarang novel sejarah ini mendapat inspirasi daripada novel klasik Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dan kemudiannya berjaya menghasilkan novel trilogi sejarah Siri Maharaja yang memberikan fokus kepada tiga orang maharaja hebat Dinasti Qing, iaitu Maharaja Kangxi, Maharaja Yongzheng, dan Maharaja Qianlong.

Siri Maharaja Yongzheng merupakan siri yang paling terkenal dan dipilih menjadi koleksi 70 Novel Terunggul 70 Tahun sempena Ulang Tahun 70 Tahun Penubuhan Republik China. Siri novel sejarah ini telah diadaptasikan kepada drama bersiri televisyen (44 episod) yang sangat terkenal dan popular, selain turut memenangi anugerah berprestij.

Novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Maharaja Yongzheng) merupakan jilid pertama daripada tiga jilid novel siri Maharaja Yongzheng. Penterjemahan novel ini merupakan projek penterjemahan sastera China yang kelima oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel ini diterjemahkan oleh Tan Lai Peng, disunting oleh Dato’ Goh Hin San dan diterbitkan oleh DBP.

Bagi membicarakan novel ini, siri kedua Titian Sastera membawa dua orang panel, iaitu Puan Tan Lai Peng, penterjemah novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera; Profesor Tan Xiao, Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Universiti Pengajian Asing, Guandong; dan moderator, karyawan DBP, Puan Rabi’atuladawiyah Mohd. Salleh.

“Melalui sejarah, telah dibuktikan bahawa seorang pemimpin atau pemerintah yang berwibawa dan prihatin terhadap kehidupan rakyat jelata akan membawa negaranya kepada kegemilangan, kestabilan dan kesejahteraan.”

“Terjemahan novel ini diharapkan dapat memberikan gambaran kepada pembaca di Malaysia bahawa betapa pentingnya pentadbiran sesebuah kerajaan yang baik, melunaskan permintaan dan membela nasib rakyat,” kata Tan Lai Peng.

Bagi Profesor Tan Xiao, siri novel ini memperkenalkan tiga maharaja hebat sewaktu kemunculan awal zaman Dinasti Qing yang merupakan dinasti beraja terakhir negara China. Bagi siri yang dibicarakan, Maharaja Yongzheng merupakan maharaja keempat Dinasti Qing, putera keempat Maharaja Kangxi dan ayahanda Maharaja Qianlong. Maharaja Yongzheng memerintah dari tahun 1722 hingga 1735, dan banyak menaik taraf kehidupan rakyat dengan melakukan pembaharuan dalam sistem pemerintahan dan sosioekonomi, seperti meluaskan sistem perparitan, saluran pengairan, sistem pendidikan, dan sistem pengangkutan. Baginda membentuk pesuruhjaya khas bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa pembesar pada masa tersebut.

Petikan daripada novel ini, “Langit tiada dua matahari. Negara tiada dua raja” memberikan bayangan perjalanan novel ini tentang riwayat Maharaja Kangxi yang berliku dan kompleks apabila berdepan dengan plot rampasan kuasa daripada sembilan orang puteranya yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemerintah, lalu membentuk puak-puak mereka sendiri dan turut bersekongkol dengan para pembesar. Pergolakan politik yang berlaku turut disebabkan oleh khabar angin dan prasangka.

Penceritaan dalam siri ini sangat mendebarkan. Watak-wataknya hidup dan perwatakan mereka jelas. Er Yuehe bijak menggabungjalinkan gaya tradisional dan moden untuk menghasilkan bahasa prosa yang indah.

Program ini disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 18 September pada jam 3.00 petang. Pertandingan Resensi Buku Sastera Maharaja Yongzheng turut diadakan dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober 2021.

Tonton bicara buku Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera di sini.

Beli novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera di sini.

Berita Berkaitan |

Karya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.