18 September 2021, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia sains dan dunia sastera mahu tidak mahu akan bertembung dan berwacana menghasilkan pemikiran dan hasil polemik yang tersendiri. Kedua-dua bidang walaupun mempunyai tiang yang berbeza, namun mempunyai keterikatan yang tidak dapat dipisahkan.

Rem Dambul menyebut dalam kolumnya, “Dikotomi Sastera-Sains dan Generasi Ketam” dalam eDewan Sastera, kedua-dua disiplin ilmu ini bukan sekadar saling memerlukan, tapi harus berintegrasi dengan peranan sastera yang memugar kemanusiaan dan sains memacu pembangunan. Dunia yang kaya kemajuan tetapi papa nilai insani, akan berakhir dengan sebuah tamadun yang bejat. Katanya lagi, kedua-dua unsur ini berkongsi persamaan, iaitu didukung oleh tradisi persuratan.

Wacana PENA minggu ke-10 menampilkan panel jemputan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ahmad Patria Abdullah berganding sama dengan panel tetap, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk berdiskusi dalam wacana “Orang Sains dan Teknologi dalam Sastera: Membantu atau Membuntu?”. Bicara ini berlangsung pada 17 September 2021, jam 9.00 malam.

Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, seorang tokoh akademik serta penulis yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan rawatan air serta sisa. Begitu juga Ahmad Patria yang pernah berlatarbelakangkan ahli farmasi juga seorang penulis novel fantasi dan cereka sains yang terkenal. Siri Saga Artakusiad dan Kronika Nashan memang tidak asing lagi dengan peminat genre itu di ranah tempatan mahupun di negara jiran. Kedua-dua figura ini berperanan besar dalam polemik sains-sastera, di samping mempunyai tapak dalam dunia sains mahupun teknologi yang mapan.

Ahmad Patria sebagai penulis fiksyen meletakkan kedudukan beliau selaras dengan hal itu. Katanya, dalam dunia sastera, empati memainkan peranan mewarnakan diri mereka dengan dunia sekeliling, sekali gus melahirkan karyawan atau sasterawan yang berlatarbelakangkan sains, teknologi dan pelbagai bidang lagi. Maka, terhasillah penulis yang mampu berfikiran kritis, pakar dalam sesebuah bidang, di samping kekal berkarya.

Beliau berpendapat, walau apa-apa jua kerjaya seorang penulis itu, selagi mereka masih berkarya dan menulis, maka identiti yang dibawa oleh mereka masih sebagai ahli sastera.

“Sebenarnya dikotomi antara orang sastera dengan orang sains hanya wujud dalam minda-minda khalayak, namun hakikat itu tidak pernah membezakan kita secara realiti,” tambah Ahmad Patria.

Saleeh pula tidak berminat untuk meletakkan klasifikasi khas sebagai garis pemisah yang hanya membawa keburukan daripada kekangan, kerana mencipta kekangan hanya akan menyekat kejayaan.

“Seseorang penulis boleh bekerja dalam bidang sains, namun juga berfikiran sastera dalam wacana mereka,” jelas Saleeh.

Orang sains yang menulis merupakan kebebasan dan kelengkapan buat mereka. Zaini Ujang merasakan kegiatan menulis yang beliau cipta adalah hasil rasa bebas kerana selain tidak perlu penyelidikan menyeluruh, kekangan yang ada dalam menulis jurnal dan artikel akademik adalah sangat minimal.

Elemen sains dalam naskhah sastera disaksikan semakin meningkat dan berkembang dalam kelajuan yang tersendiri. Sayembara-sayembara yang dianjurkan hari ini juga menjadi lubuk naskhah fiksyen sains yang menggugah imaginasi. Karyawan yang menghasilkan karya genre sebegini ialah mereka yang dalam kalangan ahli sastera atau ahli sains yang mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Namun, seperti yang ditegaskan oleh Saleeh Rahamad, mereka yang ahli sains dan pakar teknologi sememangnya mampu menulis dengan gagasan ilmu yang hebat, namun wujud kekurangan elemen estetika dalam prosa mereka.

“Sebagai pembaca, saya sendiri pun dapat faedah yang tersendiri dalam sesi membaca hasil karya penulis yang bergelar ahli sains, walau wujud lompang yang hanya dapat dilengkapkan dengan pemikiran seorang sasterawan.

“Namun, kita melihat satu inisiatif kreatif yang bernafas baharu, seperti kolaborasi antara dua atau tiga orang yang berkepakaran tersendiri, seperti naskhah Leksikon Ledang yang mana penulisnya, Nor Azidah Ishak dan Fadli al-Akiti masing-masing mempunyai kepakaran yang berbeza (sains dan sastera), namun apabila bergabung, terhasillah karya yang bernafas baharu, padu dan kuat,” tambah Saleeh.

Ahmad Patria yang berperanan meronakan dunia fiksyen fantasi tanah air juga menambah, “Penulis tidak berlatarbelakangkan sains yang ingin menulis dalam bidang ini perlu membuat penyelidikan, perlu untuk mengkaji subjek cereka yang dicipta.

“Paling utama dan penting dalam menulis, pertamanya minat dalam bidang itu. Secara langsung, kita akan mengumpul pengetahuan dalam bidang yang diminati. Kedua, untuk melengkapi pengetahuan, kita juga perlu tahu teknik dan kaedah dalam penyampaian menggarap cerita, pengetahuan tanpa kemahiran untuk bercerita akan melahirkan karya yang kurang menjadi,” tambah Ahmad Patria.

Dari perspektif seorang tukang cerita, Ahmad Patria menekankan kepentingan untuk menggarap sastera fiksyen sains dengan baik, dan elakkan penulisan yang mengetuk pembaca dengan fakta-fakta yang berjela-jela. Menurut perbincangan ini juga, Patria menegaskan, adalah satu keperluan untuk berpengetahuan terhadap bidang secara umum dan melakukan penyelidikan demi mengelakkan penghasilan naskhah yang lemah.

Hal yang lebih utama, sastera kita harus dimasyaratkan dengan lebih mesra agar jurang perpisahan yang wujud dalam kalangan masyarakat akan terlerai.

“Sepertimana puisi haiku dari Jepun yang diterap indah ke dalam semua lapisan masyarakat mereka, daripada warga pelajar sehinggalah individu profesional, malah saintis juga, memperlihatkan hasil sastera yang telah dimasyarakatkan,” ujar Zaini Ujang menyimpulkan bicara.

Tonton wacana penuh di sini untuk mengikuti sesi panel wacana membaca puisi dan prosa pilihan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.