16 September 2021, 23:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Semua karyawan telah ditakdirkan mengungkapkan citra alam dalam karya, kerana kepuitisan ada pada setiap manusia sejak dilahirkan. Justeru, rasa kasih dan sayang yang dianugerahi Allah dizahirkan dalam seni menulis puisi dan juga seni lukisan.

Demikian juga Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sering mengapresiasikan gelojak rasa dan pengamatannya terhadap alam sekitar melalui seni puisi dan seni lukis.

“Nenek sering mengingatkan saya tentang kecintaan terhadap alam. Daripada nenek juga saya kenal pucuk rebung dan tahu menjeruknya. Oleh kerana itu citra seni lukis saya adalah pucuk rebung,” ujarnya.

Siti Zainon juga berkisah betapa ayat-ayat yang dikutip dalam kuliah-kuliah pembelajarannya ditemui dalam ilmu tauhid Sifat 20. Perkataan Wujud, Qidam, Baqa’, Hayat, Sama’, Basar, Kalam misalnya, akhirnya membina abjad-abjad yang melahirkan puisi-puisinya.

Bersahabat dengan alam menuntut taakul fikir dan keaslian jiwa. Justeru peri pentingnya menghayati sejarah alam kerana ia menjadi percakapan batin apabila menzahirkan sesuatu. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berpendapat bahawa puisi ialah kaedah untuk menyatakan idea. Beliau mengakui keghairahannya menulis sajak dalam media sosial sebagai penyampaian mesej paling mudah kepada para pembaca. Dr. Zaini ialah “orang menteri” yang sering menyampaikan dan mempromosi citra alam sekitar melalui puisi lestari alam, termasuk Puisi Cinta Alam (kesedaran alam sekitar), Puisi Melayu Moden (tentang jiwa seni), Puisi Nasihat Mulia (amalan mulia), dan Puisi Lestari Alam (tentang gaya hidup lestari).

“Banjir yang berlaku di Yan, Kedah merupakan kesan kemerosotan alam akibat tangan-tangan manusia. Sungai Gombak misalnya, yang tidak lagi indah sebaliknya menjadi tempat longgokan sampah sarap yang bukan sahaja mencacatkan pandangan, bahkan merosakkan ekosistem kelestarian alam. Justeru, penyampaian tentangnya lebih baik disenikan kerana pelestarian alam ialah penghayatan tentang idea dan medium mempromosi idea,” ujar Dr. Zaini.

Kesedaran terhadap pelestarian alam sekitar amat perlu dipupuk dan sewajarnya dapat menjentik kepekaan masyarakat yang akhir-akhir ini lebih gusar tentang pandemik COVID-19, sedangkan isu besar yang dibincangkan di seluruh dunia pada ketika ini ialah perubahan iklim. Maka tidak hairanlah, Malaysia menjadi negara nombor satu yang begitu bimbang tentang COVID-19 dan menjadi negara tercorot yang memikirkan tentang perubahan iklim. Skala ini boleh dilihat melalui indeks kegusaran World Worries 2021. Maka, usaha Dr. Zaini dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap pelestarian alam melalui puisi amat wajar dipuji. Kaedah ini juga bertepatan pada dekad ini kerana puisi sarat dengan keindahan unsur alam selain menggunakan diksi-diksi yang indah lalu menyerlahkan objek alam yang melingkungi manusia.

Panel pembicara ketiga Dr. Zakaria Ali pula berkongsi pengalamannya terhadap penghayatan alam sekitar melalui lukisan-lukisan yang dihasilkannya.

“Alam mempengaruhi visi saya sebagai pelukis. Kita tidak dapat duplicate alam dalam lukisan. No matter how talanted you are, tetap tidak akan dapat menyalin-tampal alam sekitar dalam lukisan.

“Pendorong terhadap realisme: seniman mendapatkan keserupaan sahaja, karya pula haruslah seimbang, justeru dapat menikmati keindahan seni sebagai pengkarya, pembuat, atau pemerhati. Maka dengan itu, rakaman video adalah lebih baik dan terkehadapan dalam menarik minat penonton serta membangkitkan kesedaran mereka,” ujarnya.

Webinar Seni dan Alam dikendalikan oleh Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung pada jam 3.00 hingga 4.30 petang pada 12 September lalu, melalui platform Facebook Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Tonton webinar penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.