Oleh Adib MN
9 September 2021, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Enam program celik huruf cemerlang dari Ivory Coast, Mesir, Guatemala, India, Mexico, dan Afrika Selatan memenangi Hadiah Literasi Antarabangsa sempena Hari Literasi Antarabangsa yang disambut pada setiap 8 September.

Hadiah yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu, mengiktiraf program yang membantu golongan pelajar belajar membaca serta menulis berdasarkan teknologi.

Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, berkata program-program itu berjaya mengubah kehidupan ribuan kanak-kanak, remaja, wanita, dan orang dewasa yang terpinggir.

“Literasi memperkasa manusia dan mengembangkan kebolehan serta kebebasan memilih mereka,” katanya, seperti dalam kenyataan UNESCO di laman webnya.

Mengikut statistik, sekurang-kurangnya 773 juta golongan muda dan dewasa di dunia masih belum dapat membaca serta menulis, manakala 250 juta kanak-kanak gagal memperoleh kemahiran literasi asas. Begitu juga lebih ramai wanita buta huruf berbanding dengan lelaki, malah kaum Hawa semakin ketinggalan dalam persekitaran digital.

Lebih malang, situasi itu dijangka memburuk dengan gangguan persekolahan akibat COVID-19, menyebabkan kehilangan peluang pembelajaran dengan 23.8 juta kanak-kanak dan remaja lagi dianggarkan tercicir atau tidak memiliki akses kepada sekolah pada tahun ini akibat impak pandemik terhadap ekonomi sahaja.

Anugerah itu disampaikan pada Persidangan Antarabangsa Literasi untuk Pemulihan Berasaskan Manusia: Mendekatkan Pemisahan Digital yang dianjurkan secara maya pada 8 dan 9 September.

Tiga anugerah masing-masing dari Guatemala, India dan Afrika Selatan dianugerahkan Hadiah Literasi King Sejong UNESCO yang mengiktiraf sumbangan pembangunan literasi berasaskan bahasa ibunda yang ditaja oleh Kerajaan Korea Selatan.

Anugerah pertama dimenangi oleh Program Penyiaran Cerita Dwibahasa yang mempromosi literasi secara interaktif di kawasan pedalaman Guatemala, dianjurkan oleh Limitless Horizons Ixil (LHI).

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LHI menumpukan usaha terhadap isu ketidakseimbangan gender dan meningkatkan penghasilan pendidikan di Chajul sejak tahun 2004. Prakarsa ini menggunakan pendekatan pembelajaran jarak jauh dengan mengoptimumkan penggunaan radio, televisyen dan perpustakaan komuniti kepada generasi muda Maya Ixil yang berhadapan dengan risiko tercicir daripada sekolah kerana pandemik COVID-19.

Anugerah kedua pula diraih oleh Institut Sekolah Terbuka Kebangsaan (NIOS), India yang membolehkan orang kurang upaya (OKU) mendapat akses pendidikan menggunakan teknologi bahan pembelajaran inklusif terhadap kandungan berasaskan bahasa isyarat India.

Sebagai organisasi autonomi di bawah Kementerian Pendidikan India, NIOS menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua dengan pembelajaran terbuka dan jarak jauh, sekali gus menjadi antara program sekolah terbuka terbesar di dunia dengan jumlah kumulatif jutaan pelajar.

Beroperasi sejak tahun 2016, program itu menumpukan keperluan pendidikan kepada OKU dan kumpulan minoriti lain dengan menawarkan persekitaran inklusif dan memberikan pilihan subjek fleksibel kepada pelajar. Mereka bukan saja boleh meningkatkan keupayaan akademik, bahkan memperoleh kemahiran vokasional.

Anugerah ketiga pula diberikan kepada Yayasan Sastera Kanak-kanak Puku yang mempromosikan sastera kanak-kanak dalam bahasa orang asal di Afrika Selatan. Sebagai NGO yang ditubuhkan pada tahun 2009, yayasan itu bertujuan untuk mempromosikan budaya membaca dan perkembangan buku untuk membantu kanak-kanak, khususnya yang mendiami kawasan miskin memperoleh akses kepada buku dalam semua bahasa etnik di Afrika Selatan.

Di bawah program itu, bengkel dan aktiviti sosial media diadakan untuk melatih tukang cerita, penulis, guru, pustakawan, pelatih bahasa, aktivis budaya dan literasi, serta ahli akademik dalam komuniti bahasa orang asal, khususnya untuk mengajar kanak-kanak.

Sepanjang pandemik COVID-19 ini, Puku menganjurkan webinar bersiri buat julung-julung kalinya dalam bahasa orang asal dalam kalangan dan antara pelbagai komuniti linguistik melalui radio serta media sosial.

Setiap pemenang Hadiah Literasi King Sejong UNESCO menerima pingat, diploma dan hadiah wang tunai bernilai AS$20 000 (RM83 100).

Tiga lagi pemenang menerima Hadiah Confucius untuk Literasi UNESCO yang mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kenal huruf fungsian (functional literacy) dan memanfaatkan persekitaran teknologi dalam usaha menyokong golongan dewasa di kawasan pedalaman serta remaja keciciran sekolah.

Penerima pertama hadiah ditaja oleh Kerajaan China itu ialah “Building & Growing” di Construyendo y Creciendo, Mexico, iaitu NGO yang ditubuhkan pada tahun 2006 untuk memberikan peluang kedua kepada mereka yang memiliki kemahiran literasi rendah atau buta huruf, khususnya pekerja kontrak dan komuniti mereka bagi memperoleh pendidikan berkualiti, diiktiraf dan menyeluruh.

Program “Building & Growing” memfokuskan penyediaan pendidikan literasi secara digital dan inklusif di tapak pembinaan dan kelas bergerak serta jarak jauh, sekali gus membawa persekitaran pembelajaran kepada pelajar hingga dapat meruntuhkan tembok ekonomi, sosial dan psikologi bagi memperoleh pendidikan serta kemahiran digital penting.

Pemenang kedua hadiah ini pula diraih oleh Universiti Ain-Shams di Mesir yang menjalankan kelas literasi secara dalam talian untuk penduduk pedalaman. Dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Persekitaran universiti ketiga tertua di negara itu, jabatan ini memberikan perkhidmatan pembangunan komuniti kepada golongan miskin, terpinggir dan kampung berkeperluan serta petempatan.

Projek itu memanfaatkan teknologi digital dalam latihan literasi untuk memperkasa pelajar, khususnya di kawasan pedalaman dan peserta Program Literasi Kebangsaan dengan menyediakan pendidikan, ekonomi serta perkhidmatan sosial kepada mereka. Ia juga menggunakan program insentif dan latihan untuk menggalakkan penyertaan mahasiswa sebagai guru literasi.

Sepanjang krisis pandemik, fokus terarah kepada teknologi dan pembelajaran jarak jauh melalui penggunaan bahan cetak, televisyen, mesej teks, dan platform dalam talian seperti YouTube.

Penerima ketiga pula ialah Persatuan Guru Literasi yang Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (GA-TIC) di Ivory Coast yang menawarkan kenal huruf fungsian kepada penjaja di Abidjan.

Baru ditubuhkan pada tahun 2017, NGO ini berkepakaran dalam pembinaan kapasiti dalam bidang itu dengan menggunakan teknologi digital kepada penjaja dalam kalangan wanita di negara itu.

Objektifnya untuk memperkasa penerima yang terdiri daripada 95 peratus wanita dan meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan aritmetik untuk memperbaiki aktiviti menjana pendapatan.

Ketiga-tiga penerima Hadiah Literasi King Sejong UNESCO menerima pingat, diploma dan hadiah wang tunai bernilai AS$30 000 (RM124 600).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.