Oleh Karmila Azmi
31 Ogos 2021, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Adakah sastera hari ini mampu lagi berperanan untuk membentuk sebuah identiti bangsa Malaysia? Antara ya dan tidak, tiga panel iaitu Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan bersama-sama dua penulis, Ahmad Muziru Idham dan Nur Adilla tampil mengemukakan pengalaman dan pandangan masing-masing dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kawah Buku, malam tadi. Forum ini dikendalikan oleh Azan Safar selama dua jam lebih.

Perbincangan itu agak menarik apabila Zurinah memulakan dengan berkongsi pengalamannya membesar sewaktu Malaysia belum merdeka. Zurinah berkata, pada zamannya, pandangan umum terhadap wanita yang ingin belajar atau terpelajar tidak begitu murni, malah budak perempuan selalu dipandang serong jika asyik membaca.

“Pada pandangan zaman itu, (peranan) perempuan hanya duduk di dapur. Tiada yang peduli jika ada budak perempuan yang dapat nombor satu,” katanya.

Tegas Zurinah, karya yang beliau hasilkan adalah warna zamannya, seperti Hatimu Aisyah yang merakamkan kehidupan dan budaya masyarakat zaman itu.

Pandangan Zurinah itu senada dengan Ahmad Muziru yang turut menyebut, pada zaman itu, sastera dianggap wadah terbaik untuk kebangkitan semangat kebangsaan dan juga pembangunan. Hal ini disebabkan sastera ialah satu-satunya sumber hiburan yang ada.

“Ketika zaman belum merdeka, kita lihat sastera digunakan sebaik-baiknya oleh anak watan untuk meniup semangat nasionalisme menerusi karya kreatif seperti novel, sajak dan cerpen.

“Kebanyakan mereka juga (yang terlibat dalam sastera) ialah wartawan kerana ketika itu mereka susuk yang penting dan mempunyai akses,” katanya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka yang bertugas di pejabat sidang media Utusan Melayu dan Mastika menggunakan nama samaran kerana tidak mahu dikenali dan melindungi kepengarangan mereka daripada penjajah ketika itu.

Tegas Muziru, perjuangan penulis menerusi sastera untuk menuntut kemerdekaan bagaimanapun tidak dapat dikesan dalam kalangan penulis bukan Melayu. Hal ini katanya kerana kebanyakan penduduk bukan Melayu masih lagi berkiblatkan negara asal, selain dasar pemerintahan penjajah ketika itu masih pecah dan perintah, yang mengasingkan tiga kaum utama di Malaysia, Melayu, Cina dan India.

Keadaan ini berlarutan hingga selepas merdeka apabila pembabitan penulis bukan Melayu yang berkarya kreatif dalam bahasa Melayu masih kurang. Justeru, pembentukan identiti kebangsaan menerusi sastera itu tidak begitu efektif.

Namun bagi Nur Adilla, sastera masih berperanan besar dalam usaha mengisi makna merdeka jika kita berlapang dada dan berfikiran terbuka. Malah katanya, hari ini ramai pengarang muda dan penerbit swasta yang tampil dengan karya merdeka yang tidak mengikut acuan sastera sebelum ini, yang lebih banyak memfokus tentang politik.

“Sastera membolehkan pengarang menyentuh begitu banyak isu, sama ada ekonomi atau pekerjaan.

“Bagaimanapun, selepas lebih 60 tahun merdeka, sastera kita masih terbelah-belah dengan sastera Inggeris, Iban, Cina dan Tamil, malah selepas lebih 60 tahun, kita masih memperkatakannya.

“Sebagai pentabdir sastera atau pensyarah atau penyelidik, kita perlu membaca semua jenis sastera, tidak kira bahasa apa-apa pun, dan di sinilah pentingnya penterjemahan,” katanya.

Tonton forum sempena Hari Kebangsaan anjuran Kawah Buku ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.