Oleh Adib MN
25 Ogos 2021, 22:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Biasanya, usaha meningkatkan pemahaman masyarakat khususnya generasi muda terhadap sains dan teknologi lebih tertumpu pada pendidikan, terutamanya di sekolah seperti yang berlaku di negara ini. Tidak hairanlah ada yang sampai mengubah bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris kerana menganggap tindakan itu satu-satunya kaedah paling berkesan.

Bagaimanapun, proses menyemai minat masyarakat terhadap ilmu sains dan teknologi tidak terhad dalam bentuk formal, sebaliknya perlu dibuat dalam bentuk pembudayaan secara terancang dengan menggunakan mekanisme menarik serta tidak kaku.

Yayasan Buku Kebangsaan (NBF) yang berpusat di New York misalnya, memperkenalkan inisiatif Program Science + Literature yang menyelongkar hubungan antara sains dengan kemanusiaan.

Berbekalkan sokongan dana sebanyak AS$525 ribu (RM2.2 juta) daripada Yayasan Alfred P Sloan, program selama tiga tahun ini akan mengenal pasti tiga buku setiap tahun untuk memperdalam pemahaman pembaca terhadap sains dan teknologi dengan menumpukan karya yang meraikan serta menyumbangkan kepelbagaian suara dalam penulisan saintifik.

“Karya sastera terpilih akan berfungsi sebagai pemangkin untuk mencetuskan wacana, pemahaman dan keterlibatan dengan sains kepada masyarakat di seluruh negara.

“Acara awam akan dianjurkan, seperti NBF Presents, iaitu program kemasyarakatan yang menjadi jenama NBF sepanjang tahun,” kata kenyataan NBF di laman webnya.

Jawatankuasa Induk dan Tetamu Kehormat Program Science + Literature akan diumumkan pada musim sejuk/bunga 2022, sekali gus memulakan perbincangan umum di seluruh negara untuk menyorot buku terpilih, selain acara berkaitan penulisan sains dan teknologi.

Bersandarkan hubungan dan kerjasama akrab NBF dengan pelbagai institusi berkaitan buku seperti perpustakaan, kolej, penganjur festival dan tempat persembahan, Program Science + Literature dijangka boleh mewujudkan gelombang baharu dalam pembudayaan sains dan teknologi melalui kesusasteraan. Malah, inisiatif ini juga dijangka dapat mempertemukan pakar, pemikir dan pengarang terkenal dengan pembaca di seluruh negara.

Naib Presiden dan Pengarah Science + Literature Yayasan Alfred P Sloan, Doron Weber, berkata pihaknya berbesar hati untuk bergandingan dengan NBF untuk mengiktiraf buku hebat daripada para penulis yang mengangkat tema atau watak saintifik di seluruh negara yang dapat menemukan suara baharu serta menarik khalayak umum untuk terbabit dalam sains dan teknologi.

“Pengarang yang menang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$10 ribu (RM42 ribu) dan akan bergabung dengan komuniti unik yang dianggotai oleh lebih 200 penulis berbakat yang disokong oleh Yayasan Sloan,” katanya.

Sejak berdekad-dekad, program buku Yayasan Sloan menyediakan sokongan langsung kepada pengarang untuk menghasilkan buku yang menyelongkar sains dan teknologi. Antara yang menerima sokongannya termasuk karya yang diiktiraf seperti Hidden Figures tulisan Margot Lee Shetterly, Under a White Sky (Elizabeth Kolbert) dan The Making of the Atomic Bomb (Richard Rhodes).

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah NBF, David Steinberger, berkata Program Science + Literature dapat meningkatkan kedudukan yayasan berkenaan sebagai penguji rasa dan pempengaruh serta pembicara kebudayaan yang membantu dalam usaha mencetuskan wacana penting pada peringkat kebangsaan.

“Kami berterima kasih dengan Yayasan Sloan kerana membenarkan kami untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan pengarang sains dan teknologi yang membantu membawa hubungan kami kepada khalayak di luar,” katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, NBF Presents berhubung dengan 40 ribu pembaca dalam talian dan bersemuka di 31 wilayah, sekali gus memperluas akses sastera di pinggir bandar, pedalaman dan bandar.

Hal itu ditegaskan oleh Pengarah Eksekutif NBF, Ruth Dickey yang mengingatkan, buku hebat dapat membuka pintu kepada pelbagai pemahaman isu yang kompleks.

“Kami belajar lebih banyak daripada rakan kerjasama dan pembaca di seluruh negara, sekali gus berharap dapat berhubung dengan komuniti-komuniti ini. Malah, usaha ini mampu memperkasa sebuah komuniti baharu buat kami, iaitu sekitar sains dan teknologi dengan lensa kritis dan kepelbagaian,” katanya.

Semangat sama wajar dicontohi bukan sahaja oleh institusi, organisasi mahupun badan berkanun berkaitan kesusasteraan serta kebudayaan di negara ini, bahkan khalayak sains secara kolektif dalam usaha menjadikan masyarakat kita memiliki minat untuk memahami dan mendalami sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan.

Benar, pembudayaan sains dan teknologi mesti diterapkan dalam sistem pendidikan bermula prasekolah, sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT), tetapi tindakan ini tidak terhad dalam bentuk kurikulum semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan melalui bidang kesusasteraan serta kebudayaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.