20 Ogos 2021, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jakarta Cerita panji yang berasal dari Jawa telah berkembang sehingga ke Nusantara pada abad ke-12 Masihi. Cerita-ceritanya malah terkenal dan tersebar sehingga ke serata negara Asia, seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar. Umumnya, cerita yang berlegar daripada satu masyarakat kepada satu masyarakat di Jawa itu telah diolah ke dalam pelbagai bentuk kesenian seperti seni rupa, seni sastera dan seni pertunjukan, mengikut penerimaan masyarakat setempat dan peredaran zaman.

Apabila mendengar atau membaca cerita panji, sudah pasti dua nama yang cukup tersohor melekat dalam kotak fikiran. “Unsur-unsur kejawaan terserlah dengan pengekalan nama wira dan wirawati, iaitu Raden Inu Kertapati dan Raden Galuh Cendera Kirana. Tambahan pula, cerita panji tidak terlepas daripada tema kepahlawanan, keberanian dan kasih sayang. Kasih sayang tidak hanya terbatas kepada sesama manusia tetapi juga kepada Tuhan. Jadi, tidak hairan apabila senario yang seumpama itu dipaparkan menyebabkan masyarakat Melayu turut menyenanginya,” ujar Dr. Noriah Mohamed.

Dr. Noriah Mohamed, pakar kesusasteraan dan kebudayaan Melayu membentangkan kajiannya dalam Webinar Relevansi dan Aktualisasi Budaya Panji yang berlangsung pada 19 Ogos 2021, jam 2.00 petang anjuran Asosiasi Tradisi Lisan Jawa Timur, Indonesia. Webinar yang bertemakan “Cerita Panji Berkelana di Malaysia” turut menampilkan Encik Faizal Hilmie Yusof, Pengarah Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia.

Buku berjudul Syair Misa Gumitar yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2004 diangkat sebagai teks kajian.

Syair Misa Gumitar amat langka dibicarakan oleh mana-mana pengkaji. Syair yang sangat dekat dengan masyarakat Melayu ini harus dibuat kajian lanjutan. Cerita panji yang berbentuk syair seperti ini digunakan secara meluas oleh orang Melayu. Rima dan alunan irama syair tersebut memberikan kesan kepada pendengaran dan hati mereka,” tambah Noriah.

Sememangnya, cerita-cerita panji menjadi wadah bacaan masyarakat Melayu kerana alur ceritanya mempunyai persamaan dengan cerita lipur lara Melayu yang bertemakan pengembaraan dan percintaan dalam kalangan putera dan puteri raja. Walaupun cerita panji (Jawa) dan cerita lipur lara (Melayu) diolah mengikut latar budaya masyarakat masing-masing, namun sesebuah cerita menjadi hak bersama dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Tonton webinar penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.