18 Ogos 2021, 07:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengorak langkah positif apabila menterjemahkan Hónglóumèng (Dream of the Red Chamber), atau kini dikenali dalam bahasa Melayu sebagai Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah. Karya agung yang dinukilkan oleh Cao Xueqin ini merupakan sebuah daripada Empat Novel Klasik Cina terpenting dalam sejarah panjang kesusasteraan Cina.

Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah lahir daripada proses penterjemahan yang gigih dalam tempoh beberapa tahun. Penerbitannya yang terdiri daripada empat jilid berlaku secara berfasa, bermula pada tahun 2018, yang keseluruhannya mengandungi 120 bab.

Sebagai usaha untuk mengajak masyarakat Malaysia membaca karya klasik agung dari negara China yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, DBP dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) mengadakan siri bicara buku sastera terjemahan China. Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah menjadi buku pertama yang berlangsung pada 17 Ogos 2021 pukul 8.30 malam, sejurus selepas majlis perasmian Titian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan China oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (HMRAM) merupakan novel berbentuk drama yang memaparkan kisah suka duka dan jatuh bangun sebuah keluarga bangsawan yang mengalami zaman kejatuhan. Novel yang menyentuh perasaan ini berlatarkan sejarah dan sosiobudaya masyarakat yang disulami peristiwa yang penuh ketegangan serta penampilan watak yang hebat, seperti Jia Baoyu dan Lin Daiyu. Semua itu menjadi rencah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang membaca kisah klasik China ini. Yang turut menjadikan novel ini menarik ialah paparan protes golongan muda terhadap sekatan yang dikenakan oleh sistem feudal dalam soal percintaan.

Bicara karya yang berlangsung selama satu jam setengah ini dikemudikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong. Bersama-sama dengan beliau ialah tiga ahli panel, iaitu pensyarah dari Beijing Foreign Studies University, Dr. Han Xiao, editor bebas, Zaleha Ahmat, dan pengasas Pusaka, Eddin Khoo. Dr. Goh membuka bicara dengan kata-kata, “Karya sastera menggambarkan tamadun dan akal budi sesuatu bangsa. Karya terjemahan pula sebagai titian yang menghubungjalinkan masyarakat dari pelbagai negara yang terlibat menterjemahkan karya dalam bahasa negara masing-masing, lantas mewujudkan persefahaman dan keharmonian.”

Dr. Han Xiou yang dikenali dengan nama Melayunya, Dr. Indah, menerangkan bahawa HMRAM ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam sejarah China. “Oleh sebab itulah, HMRAM ini mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi dan diakui sebagai karya sastera klasik agung milik negara China.”

Aspek lain yang menjadikan HMRAM sebuah karya yang berbeza daripada karya sastera yang lain ialah sifatnya yang mirip sebuah ensiklopedia sosiobudaya serta alur kisah dan jalan ceritanya yang sangat indah dan menyentuh perasaan.

“Karya ini juga sarat dengan misteri atau rahsia yang harus diteroka oleh pembaca dan diselidik oleh pengkaji sastera,” ulas Dr. Han yang mengakui HMRAM sebuah karya agung yang menyaingi karya klasik Barat.

Editor buku HMRAM, Zaleha Ahmat, berkongsi pengalaman menyunting karya terjemahan yang menurut beliau bukan satu kerja yang mudah. Perbezaan budaya dan sifat karya yang kompleks menjadi cabaran paling hebat dalam proses menyunting manuskrip HMRAM. Hal ini bertambah mencabar kerana HMRAM diterjemahkan oleh lima penterjemah, yang setiapnya menghasilkan gaya bahasa terjemahan yang berbeza.

“Saya perlu menyelaraskan kesemua hasil terjemahan oleh lima penterjemah dengan menetapkan satu piawaian supaya penyuntingannya selaras, di samping mengekalkan laras bahasa klasik yang disesuaikan dengan zaman moden agar karya terjemahan versi dalam bahasa Melayu itu menarik dari segi bahasa dan kosa katanya,” ujar Zaleha.

Bagi membantu beliau memahami karya yang berlatarbelakangkan sosiobudaya negara China zaman feudal ini, Zaleha membina rajah atau susur galur bagi menandakan nama watak dan konflik yang dialami oleh watak yang berbeza peranan, status dan kedudukan, ditambah dengan nama yang begitu asing dengan latar dirinya yang berbangsa Melayu.

Sebagai budayawan, Eddin Khoo memperkatakan elemen seni dan budaya yang terdapat dalam HMRAM. Sebelum itu, Dr. Goh dan Dr. Han menyatakan HMRAM sebuah karya yang luar biasa kerana menyajikan pembaca dengan lebih kurang 400 bait puisi yang disulami dalam teks penceritaan. Jadi, dalam memperkatakan puisi yang begitu banyak dalam HMRAM, Eddin Khoo menyatakan puisi sudah digunakan dalam karya prosa sejak tiga dan empat ratus tahun dahulu. Puisi juga merupakan salah satu alat yang menandakan peralihan zaman, dari masa lampau hingga masa kini.

“Hebatnya HMRAM kerana mengungkapkan sejarah dan budaya zaman lampau dalam masyarakat China sebagai sebuah dunia kayangan menggunakan puisi. Selain itu, perasaan watak dalam HMRAM juga diluahkan menggunakan puisi, yakni penggunaan aksara yang disusun indah dan penuh makna,” ujar Eddin.

Aspek lain yang menjadi bahan kupasan ialah alat susastera yang menunjangi penulisan HMRAM, khususnya perlambangan dan metafora, perkaitan sesuatu objek dengan pemikiran dan budaya masyarakat, misalnya kaitan antara makanan dengan budaya masyarakat China, dan titik persamaan antara Malaysia dengan China yang dilihat pada penggunaan herba (China) dan jamu (Malaysia). Akhir sekali, disentuh soal kisah cinta tiga segi dan pertentangan ideologi politik yang mewarnai konflik cerita HMRAM.

Sememangnya dalam kesusasteraan klasik Cina, HMRAM merupakan salah satu karya agung yang tidak ternilai seni sasteranya, selain amat berpengaruh dan tersebar luas. Watak dan perjalanan episod dalam HMRAM juga diketahui oleh hampir segenap lapisan masyarakat Cina sepanjang zaman.

Pada bahagian pengenalan novel HMRAM, dipaparkan catatan pengarangnya yang menyatakan, HMRAM ialah novel paling agung dalam sejarah kesusasteraan Cina, malah seolah-olah tidak ada sebarang karya klasik yang mampu menjangkau kecemerlangan novel ini. Oleh sebab itulah, bicara karya HMRAM melabuhkan tirainya dengan pernyataan bahawa jika kesusasteraan sebagai cerminan jiwa sesuatu bangsa, maka HMRAM dianggap karya yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan jiwa bangsa. Sehingga kini, HMRAM telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa, seperti bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, dan Sepanyol.

Tonton bicara buku Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah di sini.

Beli Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah Jilid I, Jilid II, Jilid III dan Jilid IV. Bagi versi kulit keras, sila layari katalog buku kami.

Berita Berkaitan |

Karya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.