7 Ogos 2021, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umumnya, terdapat tiga kategori pertandingan dalam pengiktirafan sastera. Sayembara mempertandingkan manuskrip yang belum pernah terbit, manakala hadiah serta anugerah sastera mengiktiraf sesebuah karya, atau mengiktiraf tokoh sastera.

Menurut Dr. Saleeh Rahamad, panelis tetap Wacana PENA dan Presiden PENA, Malaysia kini subur dengan hadiah dan anugerah sastera serta sayembara-sayembara sastera. Antara kesemua negara Asia Tenggara, Malaysia merupakan negara yang paling banyak dan mekar tumbuh program sasteranya.

Baru-baru ini sahaja, Hadiah Sastera Selangor 2020 sudah berlangsung pada bulan Julai lepas, malah Anugerah Sastera Negeri Sarawak juga baru selesai melabuhkan tirai, dan akan menyusul pada 8 Ogos 2021 ini ialah Hadiah Sastera Johor.

Hal ini dibicarakan dalam Wacana PENA ke-4 (Jumaat, 6 Ogos 2021, 9.00 malam), dengan tajuk “Hadiah Sastera, Anugerah Sastera: Apa Masalahnya?”. Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Penulisa Nasional Malaysia (PENA) kali ini menampilkan dua orang panelis jemputan, iaitu Prof. Dr. Hashim Ismail, pensyarah Universiti Malaya dan Abizai (Zainal Abidin Suhaili), penerima SEA Write Award 2017.

Bagi Abizai, hadiah dan anugerah merupakan motivasi dan ihtifal (perayaan) buat karyawan, secara tidak langsung menyuburkan semangat para penulis untuk terus berkarya, malah membajakan benih untuk penghasilan karya-karya bermutu yang seterusnya dalam dunia sastera.

“Ia juga berperanan sebagai aras tanda yang akan memberikan mereka (penulis) satu semangat yang kuat dan utuh untuk menghasilkan lagi karya yang bermutu,” jelas Abizai.

Hashim juga turut menganggap bahawa hadiah dan anugerah sastera sebagai satu pengiktirafan dan unsur memotivasikan penulis.

“Di Asia Tenggara, Malaysia merupakan antara negara yang banyak menganjurkan hadiah satera oleh institusi badan kerajaan, bukan kerajaan, badan kerajaan negeri, dan sebagainya. Hal ini satu fenomena positif dalam kalangan penulis dan penggiat sastera tanah air,” tambah Hashim.

Saleeh menegaskan, dengan penganjuran pertandingan sastera yang banyak, tercipta satu ruang dan peluang untuk penulis meningkatkan nilai diri dan teladan, berdasarkan karya yang ditampilkan.

Dalam hal kontroversi setiap kali pemenang hadiah diumumkan, Hashim Ismail, figura yang banyak terlibat sebagai panel juri memaklumkan, “Dalam pelantikan panel juri, penganjur akan melantik panel yang berwibawa dan tidak bermasalah dalam isu sosial, malah wujud kriteria-kriteria tertentu untuk mengelak daripada konflik yang berkaitan.

“Jujurnya, semua calon yang telah disenaraikan dalam pemilihan pemenang telah layak (untuk menang), tetapi bergantung pada panel hakim untuk mencari dan memilih karya yang perlu untuk ditampilkan sebagai pemenang.”

Hashim juga tidak menafikan kemungkinan untuk wujud satu pola apabila seorang panel itu kekal lama dalam satu hadiah sebagai panel juri. “Pada satu perspektif, kontroversi sebenarnya bagus juga. Kerana keadaanya menarik perhatian.”

Kadang-kadang wujud persoalan dalam kalangan masyarakat, apakah faktor geografi juga wujud dalam pemilihan pemenang? Abizai sebagai penulis asal Sarawak tidak menafikan wujudnya pandangan ini dalam kalangan penggiat sastera di Sarawak, tetapi beliau percaya masyarakat tidak tertakluk pada satu pemikiran dan pandangan.

“Secara peribadi, saya percaya dan memandang tinggi dengan kredibiliti para panel anugerah yang selalunya berwibawa dan dihormati dalam dunia kesusasteraan. Saya percaya dengan integriti yang dibawa oleh mereka untuk mengekalkan mutu sastera.”

Bagi Hashim pula, soal geografi merupakan isu perspektif. Hal ini juga berlaku atas faktor posisi politik dan sosial di Malaysia, kuasa penentu yang berlangsung di luar bidang kesusasteraan. “Namun, kita ada kriteria-kriteria konkrit yang menentukan kelayakan pemenang. Pendapat saya, hujah sebenar isu ini berada di luar bidang sastera.”

Saleeh menegaskan, “Dalam penilaian kriteria, kami tidak memilih karya dengan sewenang-sewenangnya. Malah dalam pemilihan panel pun, tersedia tatacara yang rumit demi memenuhi kriteria seorang panel.

“Para panel perlu bersedia untuk bertegang leher dalam mesyuarat untuk memilih pemenang hadiah. Mesyuarat untuk mencapai keputusan ini kadang-kadang, panel pun boleh menangis,” jelas Saleeh.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.