1 Ogos 2021, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah dan kolumnis e-majalah Dewan Sastera, Dr. Ramzah atau mesra dipanggil Rem Dambul berganding sebagai panel utama bersama Presiden PENA dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam wacana “Sastera Hanya untuk Orang Sastera: Sudah Tidak Relevan?”.

Wacana PENA ke-3 ini dikendalikan oleh Mohd Khair Ngadiron dan bersiaran pada 9.00 malam 30 Julai 2021, di Facebook Pena dan YouTube TV Pena.

Dalam persoalan “Di manakah sebenarnya nilai sastera?” yang diutarakan oleh Khair, Ramzah menegaskan, sastera berperanan penting dalam kehidupan manusia.

“Pertamanya, sastera ini memainkan peran sebagai kegiatan terapi jiwa dan rekreasi minda. Kedua, sastera ialah satu bentuk persuratan utama untuk membawa gagasan kepada masyarakat, dan merupakan bahan penting untuk merubah satu-satu masyarakat itu sendiri,” ujar beliau.

Dalam persoalan elitisnya sastera, Saleeh berpendapat, sastera Malaysia tidak bersifat elitis. Umumnya, karya sastera menyediakan isi dan unsur yang berbeza. Ada yang memerlukan pembaca untuk memahami konteks, dan ada juga yang boleh dibaca secara pasif.

“Memang sebahagian karya sastera kita memerlukan pemahaman dan daya berfikir yang menuntut, contohnya karya falsafah, teori teologi dan sebagainya,” jelas Saleeh.

Ramzah membalas, kita tidak boleh mengkastakan sastera. “Kasta hanya memisahkan. Hakikat dunia sastera kini wujud polemik yang berpendirian sastera indie lawan sastera popular, sastera rendah lawan sastera tinggi.”

Baginya, sastera harus mudah diserap oleh masyarakat, mudah difahami oleh orang awam serta dekat dengan hati manusia. Beliau malah menyifatkan karya sastera yang berlambak tapi tidak cuba untuk didekati oleh masyarakat merupakan usaha kesusasteraan yang gagal.

“Komuniti sastera perlu memainkan peranan. Saya malah ingin meletakkan teori yang antara sebab kita gagal memasyarakatkan sastera lantaran komuniti sastera kita sendiri.

“Sastera ini luas, terdiri daripada pelbagai tiang aspek yang berbeza, antaranya aspek undang-undang, aspek sains, aspek falsafah dan aspek sejarah.

“Apa usaha kita untuk menjayakan dunia sastera yang dibina untuk merangkai dengan bidang lain?” soalnya. Ramzah turut menyuarakan kekhuatiran yang sastera tempatan agak tertutup kerana komuniti sasteranya tidak memasyarakatkan sastera.

“Kadang-kadang kita sendiri menyanggah usaha untuk memasyarakatkan sastera dengan mengadakan wacana atau forum besar tapi gagal mengumpulkan peserta mahupun pembicara yang terdiri daripada orang di luar bidang sastera,” tambah Ramzah.

Acara sastera yang membicarakan isu politik, ekonomi, pendidikan, urus tadbir kementerian dan agensi, memerlukan kalangan warga yang ahli dalam bidang yang disebutkan untuk bersama-sama turun berbicara.

“Itulah mengapa orang awam kadang-kadang kata kita buat program syok sendiri,” ujar Ramzah.

Namun pandangan tersebut dibangkang oleh Saleeh, “Sebenarnya orang sastera juga berjuang habis-habisan ke arah itu, tapi setahap mana orang yang berkuasa menurut Ramzah itu mengambil endah?”

Baginya, penjanaan ekonomi, kemajuan materi dan pembangunan fizikal bukanlah terletak dalam aspek kesusasteraan. Pada akhir keputusan pun, mereka yang memegang polisi akan ada kecenderungannya. Saleeh memberikan gambaran, jika pemegang dan pembuat polisi sendiri tertutup daripada mempedulikan dunia kesusasteraan, bagaimanalah mereka akan melihat kepentingan sastera?

“Sedangkan pemikiraan pembinaan negara, pembentukan sahsiah, peribadi, malah pembinaan nasionalisme juga sebenarnya adalah daripada pemikiran sastera,” tegas Saleeh.

Usaha untuk mengubah persepsi masyarakat, selain daya minat orang awam, penting untuk komuniti sastera dan pembuat polisi bergerak sama. Kunci untuk membaiki isu ini tidak lain tidak bukan, harus bermula daripada peringkat sekolah.

“Negara kita mengasingkan pelajar sekolah kepada dua kategori pemikiran, 60 peratus daripadanya aliran sains, 40 peratus daripadanya baru aliran sastera,” ujar Saleeh.

Sastera tidak boleh dilihat dalam satu komponen khusus, seperti aliran sains. Aliran sastera berkembang melebar ke dalam semua aliran ilmu yang lain. Sastera wujud dalam aliran sains, aliran agama dan aliran perdagangan, kerana untuk membentuk masyarakat, mereka perlu ada budaya dan pemikiran.

“Penggiat-penggiat sastera juga perlu tahu, untuk memasyarakatkan sastera di tanah air, masyarakat di Malaysia ini bagaimana?” Saleeh membuka pandangan.

Para pelajar di Malaysia sendiri terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Penggiat sastera perlu berasa bertanggungjawab untuk menulis tanpa diskriminasi.

“Kalau (penulisan karya) terlalu bersifat kemelayuan, terlalu fokus pada Islamik, manakan pelajar kita yang jelas bukan dalam satu kelompok agama dan bangsa akan berasa mesra? Penting untuk sastera di medan ranah perdana anak murid kita sebuah sastera yang dimiliki oleh semua masyarakat pelbagai lapisan agama dan bangsa,” tegas Saleeh.

Saleeh menyambung, “Saya juga tak menafikan perjuangan orang Melayu, tapi inilah halangan besar untuk kita memasyarakatkan sastera juga. Saya percaya kalau kita berusaha ke arah ini, kita dapat membentuk masyarakat yang berfikiran sastera, kerana para pelajarlah yang akan membesar nanti membuat polisi negara.“

Program bicara ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.