10 Julai 2021, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perbincangan sesi Mengopi Puisi (Episod 3) berlangsung dengan tajuk “Asyik Puisi, Prosa Macam Mana?” secara maya di media sosial Twitter @katapilarbooks pada 9 Julai (Jumaat) jam 9.15 malam. Acara perbincangan terbuka ini dikendalikan oleh Za’im Yusoff dan Fahd Razy, menampilkan lima orang pembicara, iaitu Rebecca Ilham, Hafizah Iszahanid, Shahkang, Khairil Idham Ismail, dan Wan Nor Azriq. Kesemua panel yang dijemput kali ini berlatarbelakangkan penulis karya cerpen dan novel.

Za’im Yusoff sebagai pengelola memulakan suasana polemik dengan membawa perhatian tentang status kerelevanan sesebuah prosa dalam dunia moden apabila pelbagai medium baharu untuk manusia semakin mengambil tempat dan masa masyarakat pada era internet sekarang. “Antara puisi dengan prosa, secara peribadinya saya sendiri lebih memilih untuk membaca puisi,” ujar Za’im.

Rebecca Ilham dalam hal ini meyakini bahawa taraf prosa dalam masyarakat masih lagi relevan. “Bagi saya, prosa ialah satu bentuk penulisan yang boleh beradapatasi dengan masa dan platform, pada masa akan datang dan seterusnya.”

Zaman teknologi kini membuktikan lagi yang prosa berkembang dan beradapatasi dengan pembacanya. Ruang-ruang digital yang memuatkan hantaran menjadi ruang untuk para penulis dapat menulis prosa. Malah di Twitter kini, dengan adanya fungsi rajutan, maka akan berjelalah hantaran yang dapat membentuk satu untaian cereka atau esei yang ringkas.

Shahkang tidak menafikan akan fenomena zaman teknologi dan menyuarakan cabaran karyawan zaman sekarang untuk menjadikan prosa-prosa itu kekal relevan. Sementara itu, Wan Nor Azriq menyatakan yang prosa akan sentiasa relevan, kerana manusia akan sentiasa mencari cereka dan cerita dalam kehidupan.

Pembacaan prosa memberikan perbezaan yang signifikan dalam pengalaman pembaca daripada medium filem dan televsiyen. Menurut Hafizah, prosa memberikan ruang kebebasan untuk berimaginasi dan berfikiran kritis yang sangat besar kepada pembaca berbanding menonton sesebuah filem.

Perbincangan diteruskan dengan persoalan status karya yang diterima hari ini. Sebagai “penjaga pintu” dalam penyiaran cereka penulis tanah air, Hafizah menyatakan industri penyiaran kini tiada isu dalam kuantiti karya yang dihantar, tetapi yang perlu diperbanyak lagi ialah karya yang berkualiti dan membawa nafas baharu.

“Kita perlukan karya (prosa) yang merefleksi masyarakat hari ini, sama ada dalam isu kesihatan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Saya tak dapat cerpen yang boleh respon pada isu-isu ini, yang juga menutup keberanian mereka dengan artistik,” katanya.

Khairil Idham pula menyatakan, “Penulis perlu memainkan peranan untuk merakam zaman dengan karya-karya yang berbentuk refleksi mayarakat. Namun, perlu juga kebijaksanaan penulis untuk menggaul naratif dan mesej dengan nilai estetika, apakah falsafahnya, nilai intelektual dan emosi yang dia cuba disampaikan.” Khairil menekankan kepentingan untuk menjaga kebijaksanaan karya yang juga menyuarakan kritikan sosial semasa bagi mencetuskan rasa emosi dan empati pada karya.

Dalam hal mutu prosa pula, Shahkang menambah, “Sebagai seorang penulis, saya menjadikan mesej dan penyampaian sebagai tunjang utama. Tetapi kita sendiri sebagai penulis mempunyai cara yang berbeza dalam menulis, contohnya aspek jalan cerita dan sebagainya.”

Wan Azriq menambah yang karya fiksyen tidak perlu dijadikan kritikan sosial pada setiap masa, kerana hal itu bukanlah identiti sastera prosa dan fiksyen sebenarnya. Namun beliau setuju bahawa karya prosa perlu berperanan sebagai perakam zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.