Oleh Osman Ayob
10 Julai 2021, 00:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob menulis tentang kumpulan cerpen perseorangan terakhir Allahyarham Malim Ghozali PK, yang amat terkenal sebagai seorang pengembara benua dan manusia.

Malim Ghozali menyemarakkan persoalan muhibah dan cinta rentas budaya yang berakhir dengan pembentukan generasi baharu yang berfikiran sekular dan lebih terbuka demi kebaikan bersama.

Gabungan pengalaman lampau yang terhasil daripada pengembaraan pengarang ke beberapa buah negara dan pada masa yang sama terbabit pula dalam hubungan sesama manusia daripada pelbagai bidang kehidupan merupakan suatu kelebihan bagi Malim Ghozali PK. Kumpulan cerpen terakhirnya, Cerita Sarah Leong yang memuatkan 20 buah cerpen garapan pengalaman dan kembara pelbagai rangkaian pertemuan dan kisah peribadi yang dihasilkan pada tahun 2014–2019 menyerlahkan bakat dan kekuatan beliau sebagai cerpenis yang cukup prihatin dengan persekitaran yang dialaminya. Setiap ceritanya penuh dengan aksi dan perilaku manusia dalam usaha mengejar cita-cita.

Malim Ghozali gemar menggunakan watak “aku” dalam cerpennya. Dalam kumpulan ini, 13 buah cerpen beliau menampilkan nama “aku” sebagai peneraju cerita. Dari satu aspek, penggunaan watak “aku” memudahkan pengarang mempersembahkan cerita, kerana “aku” secara langsung berfikir, bermonolog dan berdialog dengan watak lain yang secara tuntas mencungkil segala pengalaman dan idea, lalu sebatilah perkongsian komunikasi antara satu sama lain yang sentiasa mengejar cita-cita dan identiti diri.

Melalui cerpen “Pesanku Pada Hujan”, ditonjolkan gandingan “aku” (seorang penulis dan nasionalis) dengan Kiai Mutalib ditahan kerana mengajar tanpa tauliah, dan Datuk S seorang YB yang tiada pendirian. Hal ini dilukiskan dengan aksinya yang gemar memakai songkok, ketayap, tarbus dan topi koboi, ditangkap kerana berkhalwat dengan janda beranak dua, kemudian dituduh di bawah ISA. Dalam situasi ini, mereka bertelagah dan mengeluarkan pendapat bagi menegakkan pendirian masing-masing. Akhirnya, ketiga-tiganya dibebaskan tanpa syarat.

Malim Ghozali juga tidak lepas daripada merakamkan persekitaran keluarga dan kampung halamannya. Dalam cerpen “Api dan Angin”, “aku” jatuh cinta pada Ika tetapi dibantah oleh Emak dan Opah. Emak dan Opah mencadangkan beberapa calon lain, tetapi tidak dapat diterima oleh “aku”. Atas desakan “aku”, Zika akhirnya dapat bersemuka dengan Emak dan Opah dengan membawa Batik Pekalongan sebagai buah tangan. Walau bagaimanapun, Zika menyedari bahawa hadiah diterima dengan “pesam-pesam kuku”, menandakan dia tidak dapat memikat hati Emak dan Opah.

Hal ini berbeza dengan cerpen “Saat Tren Berangkat”. “Aku” pulang ke kampung dan hanyut dalam kenangan silam. “Aku” teringat kisah pertemuan dengan Tijah di stesen kereta api yang telah berubah wajah setelah perkhidmatan ETS dimulakan. Di stesen itu dulu, “aku” terserempak dengan Tijah yang mahu ke Ipoh untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru, manakala “aku” ke selatan untuk bekerja di Kuala Lumpur. Pertemuan itu merupakan pertemuan terakhir kerana cinta yang tidak kesampaian. Bagaimanapun, “aku” yang belum berkahwin dan membawa diri hingga ke London memutuskan untuk pulang ke kampung setelah bersara. Rakan-rakannya, Basya, Mahmud Lonjong, Cikgu Bodin memutuskan untuk bertemu di gerai Tijah di simpang jalan. Tijah seorang janda (suaminya meninggal kerana serangan jantung) membina warung sebaik bersara dan kini dibantu oleh anak-anaknya. “Aku” mengajak Tijah ke stesen kereta api yang telah berubah wajah. Di situ, mereka terkenang kisah silam. Kali ini “aku” tidak lagi gentar menentang “sepasang sinar mata Tijah yang jernih”.

Seperti cerpen-cerpen lain, Malim Ghozali menamatkan cerpennya secara tergantung. Dia semacam meninggalkan satu lompang untuk ditafsirkan kesudahannya oleh pembaca. Trend ini sama dengan cerpen-cerpen berwatak “aku” yang lain. Di samping itu, sebagai penulis pengembara, beliau banyak menggunakan pengalamannya mengutip dan mengaitkan kisah pengembaraannya dalam cerpen-cerpennya. Melalui cerpen “Kubra Oh Kubra” misalnya, Malim mengisahkan “aku” ketika bersiar-siar di London, bertemu dengan Kibra, seorang bekas pekerja restoran mamak di Perak. “Aku” juga bertemu dengan Yin, peraih durian, kini menjadi tukang sulap. Arbaayah yang dulunya free hair kini bertudung. Demikian perubahan seseorang diubah mengikut peredaran masa dan persekitaran. “Aku” seorang penyair, juga belum berkahwin biarpun setelah bersara. Kota London yang kosmopolitan itu membawa “aku” ke Taristok untuk makan di Perak Recipe. “Aku” tersua dengan Kibra tetapi tidak sempat ke rumahnya kerana mengejar waktu penerbangan pulang ke Malaysia.

Perubahan sikap juga terungkap dalam cerpen “Teman Penyair dari Batam”. Setelah empat dekad berlalu, “aku” bertemu kembali dengan Mizi di Batam. Daripada berambut gondrong dan tidak keruan, Mizi sudah menjadi pendakwah, mengajar qasidah dan berzanji. Kerana fanatiknya, Mizi hampir bergaduh dengan pekerja warung kopi kerana memakai topi Santa Claus. Sama halnya dengan cerpen “Suatu Malam di Sri Ratu Safiatudin”. “Aku” seorang pensyarah menemui Mawardi seorang wira Gerakan Aceh Merdeka yang pernah beberapa kali mengunjungi Malaysia. Mawardi yang rapat dengan Adha mendorong “aku” untuk menemui pelajar pintar tetapi kejutan berlaku apabila aku mendapat tahu Adha sudah menghilangkan diri sebaik tsunami melanda dan menyebabkan seluruh keluarganya lenyap.

Kembara “aku” ke Lombok dan pertemuan dengan Kang Usin membawa satu falsafah tentang hubungan kekeluargaan. Melalui cerpen “Kang Usin Tukang Rojak” memaparkan bagaimana penjual rojak itu kesepian kerana dua orang anaknya, seorang di Eropah dan seorang lagi di Amerika, tidak pernah menjenguknya lagi. Kang yang menghadapi tekanan, mati dalam kemalangan dan hal ini amat menyentuh hati “aku”. Perihal orang tua diusik oleh masa lampau turut terungkap dalam cerpen “Perahu Tua Teras Bitanggor”. “Aku” pulang ke kampung setelah syarikat tempat “aku” bekerja bankrap. Di kampung, “aku” ingin merealisasikan wasiat orang tua yang menghendaki “aku” menggunakan semula perahu tebuk teras bitanggor untuk menangkap ikan. Kemahuan ini dibantah oleh sang isteri yang mahu “aku” menggunakan bot moden GRP dan enjin sangkut. “Aku” bertegas, selain mengekalkan nilai sentimental, “aku” bagaikan diusik oleh burung-burung ganjil yang melintas tasik dari benua jauh. Walaupun tidak mempunyai zuriat, “aku” teringat pesan ayah supaya anak cucu cicitnya mewarisi pembuatan perahu tebuk agar tidak pupus dimakan masa.

Kisah perjuangan terhadap tanah air dicetuskan melalui cerpen “Akhirnya Kutemui Haadyai ll”. Sebagai seorang warga emas, “aku” menaiki ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar. Dari situ, “aku” mahu menyambung perjalanan ke Haadyai untuk satu kegiatan baca puisi di Prince of Songkhla University. “Aku” berasa beruntung lantaran rakan penumpang di sebelah merupakan seorang pemuda bernama Seni Madman dari Narathiwat. Dengan menggunakan nama samaran, Abu Daud merupakan seorang pejuang PULO yang cukup terkesan dengan tragedi Takbai yang menyebabkan beberapa orang dalam keluarganya terbunuh. Abu Daud meninggalkan kariernya sebagai pensyarah di Thaksin University dan terbabit dalam perniagaan yang membawanya berulang-alik ke Malaysia. Bagaimanapun, kepulangan Abu Daud ke Thailand dapat dihidu oleh tentera Thailand. Dalam satu pertempuran di Stesen Kereta Api Haadyai, Abu Daud terbunuh. Walaupun acara baca puisi dibatalkan, “aku” berharap dapat menemui Dr. Qasidah bagi menyerahkan surat Abu Daud kepada ibunya.

Kisah yang dipaparkan dalam cerpen “Menanti Matahari Terbenam di KP” menyentuh tentang seorang tua yang kaya dengan pengalaman tetapi teruja dengan persekitaran yang dimamah pembangunan. Kawasan kediamannya yang dulu malap, kini menjadi kawasan elit yang menjadi rebutan ramai dan bernilai tinggi. Anak perempuan Dia dari Dubai begitu cerewet dalam pembelian hartanah. Dia mahu pindah sahaja, tetapi dua orang anaknya membantah. Mereka lebih suka tinggal di apartmen yang mempunyai kawalan keselamatan dan kemudahan sukan selaras dengan keperluan hidup moden mereka.

Selebihnya, cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan ini menyentuh tentang mahalnya nilai pembangunan dan kemodenan yang menenggelamkan nilai tradisional, lalu hanya akan terselit dalam lipatan kenangan. Hal ini dapat diikuti dalam cerpen “Tanah”, “Guru”, “Air” dan “Cikgu Puisi”, manakala persoalan tentang baik hati orang-orang Melayu terhadap golongan imigran terungkap dalam cerpen “Cerita Sarah Leong”. Malim Ghozali menyemarakkan persoalan muhibah dan cinta rentas budaya yang berakhir dengan pembentukan generasi baharu yang berfikiran sekular dan lebih terbuka demi kebaikan bersama.

Dalam kumpulan cerpen ini, Malim Ghozali PK berjaya menyeimbangkan rentak persembahan cerpennya dengan dialog yang bernas, tersirat dengan makna yang mengungguli falsafah yang padat dengan pengajaran. Di samping itu, cerpen-cerpennya kali ini mempunyai gaya bahasa yang mantap. Cerpen-cerpen Malim seperti biasa, dibantu oleh landskap yang padat dan teliti dan hal ini banyak membantu untuk membina kekuatan naratif cerpennya, sesuatu yang perlu ada dalam sesebuah karya sastera yang bermutu.

Beli kumpulan cerpen Cerita Sarah Leong di sini.

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih daripada 166 cerpen yang tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah. Beliau juga telah memenangi pelbagai hadiah peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk kumpulan cerpen Bayangan Silam yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009. Novel remaja Osman, Meniti Impian pernah menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020. Kumpulan cerpen beliau yang telah diterbitkan ialah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Bayang Silam (2009), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Novel dewasa beliau ialah Warna Sebuah Lembah (1990), Embun di Hujung Daun (1999), Ombak Bukan Penghalang (2007), Empangan Tugal (2010), Lembah Kencana (2012), Anak Primadona (2012), CEO Baru (2013), Dukhan: Langit Akhir Zaman (2013), dan Kugenggam Tanganmu (2018).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.