15 Mac 2021, 08:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Novel Gunung Cha ialah novel terakhir Malim Ghozali PK sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Jun 2020. Seperti kehidupan manusia, penyediaan novel turut melalui suatu proses yang panjang dan berliku-liku. Ikuti catatan editornya sendiri menceritakan pengalamannya menekuni manuskrip novel terakhir Malim itu serta menjejaki rahsia sebenar “Gunung Cha” daripada pengarangnya.

Adakah ‘Gunung Cha’ itu benar-benar wujud atau sekadar perlambangan semata-mata? Kata Pak Malim, kedua-dua perkara itu disampaikan dalam karyanya. Lokasi itu wujud manakala perlambangannya juga ada.

Pada awal bulan Disember tahun 2019, satu pertemuan diadakan bersama-sama Malim Ghozali PK (Allahyarham) di sebuah warung yang berhampiran dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau ada menyatakan sebuah karya yang telah siap ditulis dan dikarang, dan hasrat itu disampaikan untuk menjadikan manuskrip itu dapat diterbitkan oleh DBP. Saya mendengar beliau menceritakan kisah dan pengalaman hidupnya sehingga membawa ke dunia mencipta sebuah karya yang diberi judul “Gunung Cha”. Pasti, Gunung Cha itu dekat dengan jiwa dan beberapa kisah hidupnya yang diadun bersama-sama aksara dan rakaman penulisannya. Kisah ke gunung pasti dekat dengan minat dan kehidupan saya, tambahan pula latar dalam karyanya ada menyentuh lokasi yang pernah menjadi misi pendakian saya pada tahun 2016 dan 2017. Mengenali dirinya bukanlah pada hari itu, tetapi mengenalinya sudah hampir lapan tahun, bermula saya sebagai peserta di dalam Bengkel Penulisan Cerpen yang tenaga pengajarnya ialah Malim Ghozali PK.

Kini, pertemuan kedua dengan beliau diadakan semula. Kali ini perbincangannya lebih mendalam tentang karya baharunya. Tugas mendalami dan membedah idea pengarang ialah salah satu cara mengembangkan cara berfikir seorang editor yang mungkin boleh dianggap sebagai pengarang kedua. Dari awal hingga akhir, dihuraikan jalur ceritanya sehinggalah membuka kepada soalan apakah maksud di sebalik judul “Gunung Cha”. Adakah “Gunung Cha” itu benar-benar wujud atau sekadar perlambangan semata-mata? Kata Pak Malim, kedua-dua perkara itu disampaikan dalam karyanya. Lokasi itu wujud manakala perlambangannya juga ada.

Pertemuan Malim Ghozali PK (kiri) bersama-sama penulis membuahkan suatu perjalanan penerbitan yang mengesankan.

“Perlambangan Gunung Cha ialah ketinggian rasa cinta. Gunung antara makhluk Tuhan yang tinggi sifatnya, datarannya, manakala Cha bukan sekadar nama watak ‘Çhauntelle’ tapi huruf ‘Cha’ pada awal perkataan ‘cinta’. Huruf C.”

“Bagaimana dengan lokasi sebenarnya?” tanya saya, tangan tersedia pena dan sehelai kertas A4.

“Lokasi sebenar ialah sebuah dataran tinggi. Banjaran Titiwangsa. Gunung Korbu. Itu antara latar tempat semasa watak utama, Mad meneruskan pendakian. Tapi, cerita ini bukanlah kisah pendakian, tapi ada pelbagai konflik dengan latar tempat yang pelbagai, bukan semata-mata di hutan. Ada di kota, ada juga di negara lain, selain Malaysia.”

“Bagaimana dengan kewujudan Gunung Cha? Setahu saya, Gunung Cha tidak wujud namanya di Banjaran Titiwangsa. Antara gunung tertinggi di banjaran itu pun Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Chamah di sempadan Perak dengan Kelantan, dan Gunung Korbu ialah puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa.” Saya memberikan pertanyaan dan beberapa huraian berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pendaki dataran tinggi.

“Gunung Cha aku gambarkan sebagai perlambangan akan nilai cinta. Tapi, ini juga berdasarkan pengalaman aku. Baiklah. Sedikit aku kongsikan. Gunung Cha kata sesetengah para pendaki dan orang tua-tua, termasuk orang asli memang wujud. Namun, sesetengah pendapat mengatakan diperlihatkan kepada orang tertentu sahaja. Lokasinya terletak di antara Gunung Korbu dengan Gunung Gayong.”

Saya mulai berfikir. Bersirat dalam minda dengan mengesahkan bahawa Pak Malim pernah melihat letaknya Gunung Cha. Biasanya, seorang pengarang yang mencipta sebuah hasil penulisan sedikit sebanyak memasukkan pengalamannya dalam karyanya. Itu yang menjadikan sesebuah penulisan itu “hidup”, seolah-olah melihat sebuah filem dan drama atau wayang gambar secara nyata.

“Pak Malim pernah ke situ?” tanya saya. Beliau hanya diam dan matanya memandang saya bersama-sama sebaris senyuman.

Sebagai editor, mencelah dan berbahas sesuatu yang kurang difahami adalah perkara biasa dalam mengembangkan lagi idea untuk sesebuah karya. Celahan demi celahan diutarakan, dan ini dijawab oleh Pak Malim dengan jawapan yang cukup panjang. Katanya, “Karya ini mungkin terakhir untuk aku, dan aku tulis ceritanya tidak mengikut kronologinya, tapi susunan makna kehidupan dan cinta yang aku ingin sampaikan. Tapi susunan mengikut latar masa dan tempat serta watak telah aku buat. Mungkin bab 1 tidak akan sama dengan bab-bab lain. Wajar untuk pembaca berfikir apa yang aku ingin sampaikan.”

“Adakah cinta kepada manusia semata-mata?”

“Tidak, cinta yang merangkumi tiga elemen utama. Pertama, cinta terhadap Tuhan sebagai cinta hakiki. Kedua, cinta kepada manusia. Ketiga, cinta terhadap alam ciptaan-Nya.”

Pada hujung bulan Disember tahun 2019, manuskrip ini telah dihantar ke Jabatan Penerbitan, Bahagian Buku Sastera dan diterima di meja saya pada awal bulan Januari tahun 2020 untuk ditangani proses penerbitannya. Bermula dengan proses penilaian peringkat bahagian dan seterusnya dibawa untuk kelulusan Jawatankuasa Editorial. Namun, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Editorial, ada beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat oleh penulis bagi memperkemas susunan cerita dan garapan idea. Begitu juga dengan susunan watak (manusia dan haiwan) dan latar tempat yang menjadi penekanan dalam karya ini. Akhirnya, manuskrip ini diluluskan penerbitan dan tugasan ini bermula dengan kerja-kerja penyuntingan. Bagi editor, kerja penyuntingan menjadi mudah sekiranya sesebuah karya diperhalusi terlebih dahulu, terutama pada peringkat penilaian bahan.

Pada akhir pertemuan itu, beliau ada menyebut, ‘Aku sakit.’

Dalam proses sunting sesebuah manuskrip, logik peristiwa perlu diberi perhatian. Hal ini berdasarkan juga ilmu yang disampaikan oleh Mohamad Shahidan yang saya anggap sebagai guru untuk bidang sunting kopi dan substantif sesebuah karya. Beliau juga merupakan mantan editor di DBP. Malah, banyak karya Pak Malim diteliti terlebih dahulu oleh beliau sebelum diserahkan ke DBP. Ini kepercayaan seorang pengarang kepada editor lama seperti beliau. Begitu juga dengan “kehadiran” Gunung Cha. Pernah suatu ketika Mohamad Shahidan memberitahu saya tentang sebuah manuskrip Pak Malim yang bakal diserahkan ke DBP. Katanya, serahan ini seboleh-boleh kepada editor pilihannya untuk ditangani. Selaku orang muda, rasa dihargai itu ada disebabkan oleh nilai kepercayaan pengarang kepada editor masih berlangsung dalam dunia pengkaryaan.

Proses penyuntingan mengambil masa hanya beberapa minggu, dan di situ juga beberapa olahan dilakukan oleh editor. Bukan kerja yang mudah untuk meminda dan menukarkan hasil penulisan pengarang yang banyak menghasilkan karya terbaik dan banyak memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Apabila menyebut Tree of Sorrow (diterjemahkan daripada buku Luka Nering) pasti tergambar raut wajah Pak Malim. Itulah antara karya yang berjaya disenaraikan antara 160 novel terbaik dunia oleh IMPAC-Dublin International Book Award 2016. Malah, karyanya Redang yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1988 telah diadaptasi ke dalam drama TV, Panggung RTM 1 dengan judul Ipin. Pak Malim juga dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014. Namun begitu, apa-apa yang dibaiki dan diubah, saya bertanya dahulu kepada Pak Malim sama ada setuju atau tidak, kerana tidak mahu mengubah identiti kepengarangan seorang penulis.

“Nur, hantar kepada saya yang kausunting. Aku mahu baca,” jelasnya dalam talian telefon pintar.

“Saya sudah hantar dalam e-mel Pak Malim,” jawab saya.

Selang beberapa hari, beliau menyatakan telah selesai membaca hasil suntingan dan beliau bersetuju dengan olahan dan tambah baik yang dibuat oleh editor. Pada awal bulan Mac, manuskrip ini dihantar ke bahagian yang menguruskan reka letak dan proses penerbitan sehingga terbit.

Dari kiri: Malim Ghozali PK, penulis dan Mohamad Shahidan.

Pada 8 Mei 2020, ada pertemuan pada pagi Jumaat, bersamaan dengan 15 Ramadan 1441H di perkarangan Wisma DBP. Turut serta dalam suasana Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa itu ialah Mohamad Shahidan. Dalam pertemuan itu juga Pak Malim menyatakan telah menterjemah Gunung Cha ke dalam bahasa Inggeris. Hasratnya dapat diterbitkan oleh DBP. Judulnya Mount Cha. Teruja dengan semangat beliau menghasilkan terjemahan dalam tempoh masa yang singkat, malah dirinya mempunyai wawasan yang tinggi sebagai seorang pengarang yang mahukan karyanya dapat dibaca oleh pelbagai masyarakat. Maksudnya merentas bangsa dan negara. Pada akhir pertemuan itu, beliau ada menyebut, “Aku sakit.”

Itulah pertemuan terakhir kami. Dan, pertemuan itu banyak mutiara kata dan nasihat daripadanya, yang saya anggap itulah “wasiat” berharga buat orang muda seperti saya. Beliau telah menghembuskan nafas dan pulang ke alam abadi pada 18 Jun 2020 (Khamis).

Gunung Cha dan Mount Cha telah diterbitkan pada tahun 2020 bersama-sama dengan beberapa judul yang lain, seperti Usia, Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir, kumpulan cerpen Cerita Sarah Leong, dan karyanya yang diulang cetak semula, iaitu Redang.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.