Oleh Orked Una
9 Julai 2021, 23:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malam Khamis, 8 Julai diisi dengan program bual santai dan perkongsian cerita Curhat JIWA “Malam ini Kita Cerita tentang Quarter-Life Crisis”. Program bicara ini dibawa oleh JIWA pada pukul 9.30 malam di Twitter Spaces @WehNakBacaApaNi dan @inibukujiwa. Curhat JIWA kali ini dihoskan oleh Duta Buku JIWA, Iman Danial Hakim dan Pengarah Jiwa, Mohd Hafizul Faiz.

Perbincangan tentang krisis “suku” usia (quarter-life crisis) yang melanda generasi muda kini menjadi lebih getir dengan episod panjang pandemik dan keadaan berkurung. Selaluanya, krisis ini mula timbul dalam kalangan usia 20-an sehingga awal 30-an dalam kalangan anak-anak muda. Fenomena krisis ini mula dilaporkan seawal tahun 2004 apabila didapati terdapat anak muda pasca Alaf 21 selepas keluar dari institusi pengajian tinggi, sudah mula berasa tekanan realiti hidup era hiper materialisme dan persaingan sengit dalam dunia pasaran kerja. Hal ini membuka laluan kepada enam pendengar yang berani berkongsi luahan hati, ilmu dan tip kehidupan.

Mereka berkongsi tentang cabaran menjadi anak yang baik apabila berhadapan dengan jurang generasi yang besar dengan ibu bapa, tekanan sosial, persoalan identiti diri, hala tuju kehidupan, memulakan dan bertukar kerjaya dalam era pandemik, memilih kerjaya yang menghidupkan jiwa, pengembaraan spiritual, dan kepentingan kesihatan mental.

Sesi ini dibicarakan supaya dapat mendorong orang ramai untuk meluahkan setiap hal yang terbuku dalam hati bagi melegakan kekusutan yang dialami. Melalui berkongsi masalah, seseorang dapat mengurangkan stres yang dihadapi serta menerima bantuan yang diperlukan bagi menjaga kesihatan mental dan emosi. Krisis ini penting untuk dibincangkan, terutamanya pada peringkat awal untuk mengelakkan orang muda menjadi dewasa yang berjiwa kecil dan tidak dapat menyumbangkan manfaat besar kepada masyarakat.

Hal yang menarik lagi, terdapat tiga buah buku yang disentuh oleh Hafizul Faiz yang berkait rapat dengan tema perkongsian cerita kali ini. Tiga buku tersebut ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang membentangkan kepentingan sokongan dan kesedaran tentang masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat tempatan, Secrets of Divine Love: A Spiritual Journey into the Heart of Islam oleh A. Helwa tentang pengembaraan spiritual, dan Love Looks Pretty on You oleh Lang Leav tentang anak-anak yang menghidupkan cita-cita dan impian yang dikorbankan oleh ibu bapa bagi mendapatkan kehidupan keluarga yang lebih baik. Sesi Curhat JIWA kali ini berlanjutan lebih daripada dua jam dan tamat pada pukul 12.00 tengah malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.