Oleh Karmila Azmi
6 Julai 2021, 22:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Penglipur lara merupakan sebahagian daripada warisan sastera silam. Walaupun mungkin jumlahnya makin berkurang hari ini, tetapi kajian mengenainya tetap berterusan. Satu daripada kajian yang dibuat mengenai penglipur lara ialah model binaan RL:KDHT oleh Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam acara Cakna Sastera 1.0: Semanis Bicara Bersama “Berbicara tentang Model RL:KDHT” pada 6 Julai jam 2.00 petang di laman sosial UPM Alumni, Roslina berkata model itu secara umumnya mengkaji mengenai komunikasi antara penglipur lara dengan audiensnya.

“Model RLina: Komunikasi Dua Hala Terancang atau KDHT ini ialah teori komunikasi yang dibina untuk membaca karya sastera. Model ini menampilkan komunikasi dua hala antara penglipur lara dengan khalayaknya secara bersama, iaitu mereka secara serentak bertindak sebagai sumber dan penerima,” katanya.

Tambahnya, penglipur lara mempunyai keunikan tersendiri dan keunikan itu dapat dikupas menerusi model binaan RL:KDHT yang memperincikan bagaimana proses tukar menukar data, fakta dan idea, di samping membina pelbagai fungsi komunikasi dan sastera rakyat itu sendiri.

Mengikut model ini, komunikasi antara penglipur lara dan audiens berbentuk transaksional, iaitu pengirim juga ialah penerima dan proses yang saling bergantungan.

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar menampilkan carta keseluruhan Model RL:KDHT dalam sesi bicara ilmiah petang tadi.

“Penglipur lara dilihat sebagai sumber kerana kedudukanya sebagai communicator yang bercerita atau menyampaikan mesej kepada audiens. Sepanjang persembahan, penglipur lara menjadikan komunikasi dua hala itu berkesan kerana elemen interpersonal merangkumi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kreativiti, dan kecerdasan ketika persembahan,” katanya.

Tambah Roslina, berdasarkan RL:KDHT, komunikasi tidak wujud secara terpencil, sebaliknya proses ini juga berhubung dengan aspek lain dalam kehidupan. Dalam konteks kebudayaan, komunikasi dan interaksi tidak akan mampu wujud tanpa masyarakat, dan masyarakat pun tidak akan wujud tanpa individu.

“Penglipur lara menyampaikan mesej mengikut keupayaan pengetahuannya dan ia selari dengan prinsip komunikasi tertentu yang digariskan dalam Islam. Justeru, penglipur lara ini berada dalam kelompok Melayu Islam, maka komunikasi atau mesej yang disampaikan adalah seputar hal itu,” katanya.

Hal ini dari satu segi menjelaskan komunikasi itu tidak akan tercapai jika sumber dan penerimanya datang daripada latar budaya yang berbeza.

Program bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.