6 Julai 2021, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Apabila karya tidak diperkatakan, maka ia akan mati ditelan zaman.” Demikian kata-kata yang dipetik oleh salah seorang panel melalui pesanan gurunya dalam Diskusi Ilmu “Resensi Buku Melalui Video: Alternatif Baharu Mengenal Bukudari Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 5 Julai jam 10.00 pagi.

Diskusi yang dikendalikan oleh Puan Baiduri Mohamed Rosli sebagai moderatornya telah memancing perbincangan hangat antara dua panel, Encik Hafiz Latiff dan Encik Nazlie Amri Abdul Rahim. Usaha memperkenalkan sesebuah karya melalui video ialah alternatif terpantas yang dapat dilakukan pada masa kini. Tidak mungkin dapat mengenali sesebuah karya dalam ribuan karya jika tiada siapa yang memperkatakanya.

Kemunculan golongan muda seperti Hafiz Latiff dan Aman Wan misalnya, dalam memperkenalkan Book Tube Malaysia telah berjaya menarik seramai 62 orang ahli untuk mengulas dan melontarkan kritikan membina terhadap sesebuah karya atau buku yang dibaca. Usaha ini dilihat sebagai satu persaingan positif, kerana keupayaan seseorang yang berani bercakap di hadapan kamera merupakan satu cabaran yang dapat memberikan manfaat kepada khalayak penonton dan peminat buku khususnya.

Hafiz Latiff menambah, “Jika karya atau buku tidak diulas dalam media sosial, ia akan dilupakan atau tidak diperkatakan (tiada publisiti). Adalah penting mengulas dalam bentuk video YouTube dan pelantar video yang lain agar masyarakat umum dapat menghayati sesuatu karya.

“Jumlah karya buku dan pelbagai karya amat banyak sehingga ribuan atau jutaan dalam dunia ini. Oleh itu, amat penting publisiti, promosi, ulasan, kritikan dan analisis dibuat dalam platform yang pantas dilihat, yakni media sosial seperti YouTube khususnya.”

Nazlie Amri pula menjelaskan, komuniti Book Surgeon yang mengadakan “pembedahan buku” mula bergerak dari platform komuniti di facebook pada 18 Ogos 2018, ke platform YouTube dengan memuatkan aktiviti seperti ulasan buku, kritikan, analisis dan bedah karya.

“Setiap penulis membawa pelbagai ideologi, justeru penting kepada pembaca bukan sekadar membaca, tetapi mampu berfikiran kritis terhadap sesuatu karya yang dibacanya,” ujar Nazlie Amri.

Hafiz Latiff dan Nazlie Amri sama-sama berkongsi panduan untuk menghasilkan video resensi atau ulasan buku di YouTube. Antaranya termasuk (1) pembaca terlebih dahulu perlulah membaca sesuatu buku yang hendak diulas, (2) mengulas dengan cara tersendiri tanpa meniru-niru orang lain (menjadi diri sendiri), (3) video yang singkat berdurasi 1.00–2.00 minit supaya penonton tidak jemu, (4) kritikan tidak mengaibkan peribadi seseorang meskipun tidak bersetuju dengan apa-apa yang ditulisnya, dan (5) pelbagai tip juga boleh dikongsi sebelum video tersebut disunting dan dimuat naik ke YouTube.

Perkara pertama yang perlu dilaksanakan untuk memahami sasaran di media sosial bagi persembahan video atau karya, si pengulas hendaklah memilih nama penyampai atau kumpulan yang menarik perhatian. Contohnya, nama Hafiz Latiff dijenamakan sebagai “Bang Fizz”, yang bertujuan untuk menarik perhatian penonton dan dianggap mesra serta punya identiti yang tersendiri.

Terdapat beberapa penonton yang turut bertanya kepada panel tentang penggunaan platform media sosial untuk mengulas buku secara langsung, seperti Instagram dan Twitter. Bagi Hafiz dan Nazlie, ulasan buku secara langsung di platform seperti Facebook (FB Live), Instagram atau Twitter masih digalakkan namun bagi pengulas amatur, akan timbul masalah jika ada soalan yang tidak dapat dijawab secara spontan dan memerlukan kepakaran ilmu. Platform-platform ini juga mempunyai para pengikut tegarnya masing-masing. Hal ini berbeza dengan YouTube, suatu platform media rakaman yang boleh ditonton oleh semua orang seperti siaran televisyen dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.