Oleh Adib MN
30 Jun 2021, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beijing – Apakah yang perlu dibawa oleh pegawai tinggi kerajaan sesebuah negara sekiranya mengunjungi ibu pejabat organisasi penting mengenai persoalan ekonomi dan keselamatan, apatah lagi membabitkan kuasa besar yang bukan sahaja ada kepentingan hubungan diplomatik, bahkan isu yang berisiko mencetuskan konflik?

Sudah tentu pegawai terbabit akan membawa mandat besar daripada kerajaan untuk menjaga kepentingannya dengan menggunakan kebijaksanaan dan kepintaran diplomasi bagi memastikan hubungan antara negara membuahkan hasil dari sudut pulangan ekonomi dan juga keselamatan terus dipelihara.

Selain itu, mungkin juga karya sastera!

Ya, Duta India ke China, Vikram Misri, membawa 10 buah karya klasik daripada khazanah kesusasteraan moden negara itu dalam sesi kunjungan rasmi terbaharunya ke ibu pejabat Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) dan bertemu dengan Setiausaha Agung SCO, Jeneral Vladimir Norov.

SCO yang baru menyambut ulang tahun penubuhannya ke-20 pada 15 Jun lalu, ialah organisasi tetap antara kerajaan pada peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh India, Kazakhstan, China, Kyrgyz, Pakistan, Russian, Tajikistan, dan Uzbekistan.

Dalam kunjungan rasmi itu, Misri membawa karya tulisan pengarang India dalam pelbagai bahasa.

Karya terjemahan itu merangkumi Arogyaniketan karya Tarashankar Bandyopadhyay dalam bahasa Bengal; Ordained by Fate karya Rajinder Singh Bedi (Urdu); Illu karya Rachakonda Viswanatha Sastry (Telugu); The Last Exit karya Nirmal Verma (Hindi); dan Longing for Sunshine karya Syed Abdul Malik (Assamese).

Selain itu, buku yang dihadiahkan juga ialah Mystery of the Missing Cap and Other Short Stories tulisan Manoj Das dalam bahasa Odia; The Last Flicker tulisan Gurdial Singh (Punjabi); Of Men and Moments tulisan Jayakanthan (Tamil); Parva: A Tale of War, Peace, Love, Death, God and Man tulisan S.L. Bhyrappa (Kannada); dan The Promised Hand tulisan Jhaverchand Meghani (Gujarat).

Kedutaan India di China itu juga bukan sahaja akan mengedarkan karya terjemahan terbabit kepada kedutaan negara anggota SCO, malah kepada negara pemerhati, rakan dialog dan misi lain.

Negara pemerhati SCO ialah Afghanistan, Belarus, Iran dan Mongolia, manakala rakan dialog organisasi terbabit pula ialah Azerbaijan, Armenia, Kemboja, Nepal, Turki, dan Sri Lanka.

Sementara itu, Vikram dalam kunjungan rasmi itu dipetik berkata, 10 adikarya itu diharap dapat memperkukuhkan hubungan kebudayaan antara negara anggota SCO.

“Hari ini, generasi muda negara anggota SCO tidak begitu menyedari ikatan sejarah yang pernah menyatukan negara-negara mereka.

“Kita berharap inisiatif kecil yang menterjemah permata sastera India ini dapat membuka ruang untuk kita menyumbang dan mengukuhkan lagi persefahaman yang penting dalam usaha meningkatkan kerjasama dalam semua bidang antara negara-negara anggota SCO,” katanya seperti dipetik dalam Outlook India.

Dalam pada itu, Norov dalam kenyataan balasnya berkata, buku itu memperlihatkan kekayaan budaya dan kepelbagaian bahasa di India, sekali gus mengukuhkan hubungan antara rakyat negara anggota SCO.

Sebenarnya, usaha penterjemahan dan mengangkat khazanah karya kesusasteraan itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pemimpin sesebuah negara.

Hal ini kerana majlis penyerahan karya itu susulan daripada pengumuman Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Sidang Kemuncak Ketua Negara SCO di Bishkek pada tahun 2019.

Dalam sidang kemuncak itu, Modi mengumumkan 10 karya agung sastera India akan diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia dan Mandarin, iaitu bahasa rasmi SCO.

Susulan pengumuman itu, Akademi Sahitya atau Akademi Persuratan Kebangsaan India yang bertanggungjawab memelihara dan mempromosi karya sastera dalam 24 bahasa di negara berkenaan, ditugaskan menyelenggarakan projek penterjemahan yang selesai pada hujung tahun lalu.

Usaha yang dilakukan oleh India untuk menyuguhkan karya sasteranya pada pentas antarabangsa walaupun bukan dalam lingkungan sastera, sebaliknya blok ekonomi dan keselamatan, perlu dijadikan teladan oleh negara ini.

Hal ini kerana, usaha memperkukuhkan ekonomi dan mempertahankan keselamatan memerlukan suntikan kebudayaan termasuk sastera kerana usaha ini bergerak atas dasar kefahaman yang bukan sahaja membabitkan antara kerajaan dengan kerajaan, malah sesama rakyat sendiri.

Kefahaman ini tentunya tak akan dapat dibina semata-mata dengan angka ekonomi atau bahasa senjata, sebaliknya memerlukan nilai kemanusiaan dan kebudayaan yang sarat dalam karya kesusasteraan.

Justeru, hubungan sesama negara anggota ASEAN juga wajar diberikan suntikan sebegini yang selama ini hanya dilakukan oleh institusi atau badan bahasa, penerbit dan orang perseorangan, tetapi kurang diberikan perhatian dalam konteks negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.