15 Jun 2021, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wacana ilmiah oleh ahli akademik lumrahnya hanya terbatas di dalam dewan kuliah atau seminar akademik yang ditujukan untuk mahasiswa dan kelompok tertentu. Hal ini demikian kerana sifat wacana itu yang terlalu khusus dan sangat teknikal. Namun begitu, dalam hal yang lebih umum dan asas, perbahasan wacana boleh sahaja dimanfaatkan oleh khalayak. Lebih-lebih lagi jika perbincangan sebegitu dibawa oleh pakar bidang yang bergiat aktif mempromosi kandungan penyelidikan menerusi medium arus perdana.

Di sinilah peranan Bicara Ilmu, sebuah program bual bicara yang menyediakan ruang untuk ahli akademik berkongsi nyala rasa dan akal fikir dalam suasana yang santai dan segar kepada khalayak umum tanpa “merendahkan” nilai dan sifat akademik kandungan yang dibincangkan. Program yang dihoskan oleh Azian Mohamed Isa ini memulakan siaran ulungnya pada Khamis, 27 Mei 2021 dengan menampilkan Dr. Ummi Hani Abu Hassan, pensyarah kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dengan judul “‘Para Pencari Rumah’: Dari Benang Ilham Menjadi Selendang Karya”, episod ini menyelongkar proses penciptaan cerpen “Para Pencari Rumah”, salah satu cerpen karya Dr. Ummi yang terbit dalam antologi cerpen Seratus Rumah Yang Sunyi (2021) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Cerpen ini bukan sahaja kuat aroma kimchinya malah membawa tema yang unik, sangat terpencil, jauh dan sunyi daripada hingar bingar K-pop dan K-wayang gambar.

Menurut Ummi Hani, cerpen “Para Pencari Rumah” agak istimewa. Dalam cerpennya ini terdapat unsur interteks setelah beliau membaca cerpen terjemahan Korea-Indonesia karya Kim Ae-ran yang berjudul Ke Toserba. Katanya lagi, perkara yang mendorong beliau untuk menukang cerpen ini bukanlah disebabkan oleh tema, idea atau penceritaan tetapi lebih untuk mengasah dan mengembangkan teknik penulisan pengarang Korea yang pada anggapannya sangat terkehadapan berbanding dengan teknik penulisan cerpen di Malaysia.

Dalam episod selanjutnya, Bicara Ilmu berpeluang menjemput Dr. Rosmawati Mohamad Rasit, pensyarah kanan Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tetamu panel. Disiarkan secara langsung pada Khamis, 10 Jun 2021, episod kedua membawa tajuk, “Penulisan Skrip Karya Kreatif Patuh Syariah”.

Perjuangan Dr. Rosmawati dalam bidang penulisan skrip patuh syariah bukanlah baharu. Hampir 10 tahun beliau berjuang memperkenal dan mengembangkan konsep patuh syariah dalam filem dan drama. Terbaharu, modul penulisan skrip patuh syariah hasil penyelidikan beliau telah pun dibeli oleh KUISCELL Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milikan penuh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Malah, hasil kerjasama antara UKM dengan KUISCELL Sdn. Bhd. berjaya memperoleh dana tajaan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bagi menganjurkan bengkel “Creativity Never Stops 4.0”.

“Kita sudah penat melihat drama agama yang mengangkat watak orang baik dengan pemakaian baju jubah, memegang tasbih. Orang jahat pula dipertonton dengan perbuatan maksiat yang melampau. Koyakkan lapisan-lapisan ini yang sangat tipikal, skema dan membosankan. Skrip patuh syariah memandang agama dengan dimensi yang luas, ada nilai universal, kemanusiaan dan budaya tempatan. Ada citra Islam yang bersandarkan akidah, akhlak dan syariah,” ujar Dr. Rosmawati.

Program Bicara Ilmu bergerak menerusi platform Bicarawara yang diasaskan oleh Hafiz Latiff. Menurut Hafiz, Bicarawara hadir sebagai wahana yang berusaha memberikan kandungan yang berkaitan dengan perbukuan, seni, filem, kewangan, isu semasa, dan budaya. Selain Bicara Ilmu, terdapat empat buah program bual bicara yang diketengahkan, termasuk SembangPis, Secawan Wayang, FaThink dan Otak Duit. Bicarawara membuka ruang kerjasama kepada sesiapa sahaja yang mahu turut serta membangunkan kandungan yang bermanfaat kepada khalayak masyarakat seluruhnya.

Saksikan episod 1 Bicara Ilmu, “‘Para Pencari Rumah’: Dari Benang Ilham Menjadi Selendang Karya”, di sini. Untuk episod 2, “Penulisan Skrip Karya Kreatif Patuh Syariah” boleh tonton di sini. Atau, boleh terus ke halaman Bicarawara untuk mendapatkan perkembangan terkini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!