16 Januari 2023, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya Persoalan penulis hari ini tidak lagi cenderung mengkritik pelbagai kepincangan masyarakat dalam karya mereka, dan lesunya kritikan sastera tanah air disinggung oleh ahli panel dalam program “Bedah Buku – Dialog dengan Sasterawan & Sidang Bersuara: Kassim Ahmad dan Keintelektualan Mandiri” di Kafe Bibliophile, Menara Mutiara Majestic pada 14 Januari lalu.

Program anjuran bersama-sama Lestari Hikmah Malaysia dengan pertubuhan bukan kerajaan, KRITIS yang dimudahcarakan oleh Setiausaha Agung Lestari Hikmah, Syed Fadzil Alhabshi itu wajar dan penting kerana Allahyarham Kassim Ahmad juga seorang sasterawan, dan pengkritik sastera tanah air.

Buku Dialog dengan Sasterawan menghimpunan 22 buah esei tulisan Kassim yang menjadi cerminan sisi lain beliau dalam kritikan dan komentar sastera dari tahun 1950-an hingga 1970-an (terbitan pertama pada tahun 1977). Buku Sidang Bersuara: Kassim Ahmad dan Keintelektualan Mandiri pula merupakan himpunan esei dari tahun 1960-an hingga awal tahun 2000 yang menyentuh tentang politik pemerintahan, falsafah kemasyarakatan, dan pemikiran intelektualisme (2022/terbitan Lestari Hikmah).

Syed Fadzil Alhabshi (tengah) sebagai pemudah cara dengan ahli panel iaitu Harieth Zaini (kiri) dan Dr. Teo Lee Ken.

Bukti kesasterawanan dan daya kritikan Kassim terserlah apabila penggiat KRITIS, Harieth Zaini sebagai ahli panel pertama memulakan bicaranya dengan memperkatakan sajak kontroversi karyawan besar itu, iaitu “Sidang Ruh” (1960). Harieth menyebut frasa “dan Tuhan sudah mati” yang secara tersiratnya Kassim memerihalkan dan mengkritik sikap umat Islam yang sentiasa melakukan dosa. Beliau menyatakan lagi bahawa tidak lengkap memerihalkan tentang karya Kassim jika kita melupakan sajak tersebut.

Dalam bicaranya, Harieth juga turut kesal kerana ramai karyawan sastera sekarang seolah-olah hanya gemar menulis soal remeh-temeh, dan kadangkala tidak berpijak di bumi nyata.

Selain itu, beliau juga turut menyentuh tentang “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara” yang telah dianjurkan sebanyak 13 kali (sehingga Sasterawan Negara ke-14 iaitu Zurinah Hassan). Meskipun penganjuran seminar tersebut tuntas, tetapi tidak salah dan janggal jika “Seminar Pemikiran Kassim Ahmad” (juga Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako) turut dianjurkan. Kedua-dua penulis tersebut juga banyak memberikan sumbangan kepada kesusasteraan negara. Ideologi politik mereka tidak boleh dianggap sebagai penghalang jika ingin membicarakan tentang sumbangan kesusasteraan mereka.

Dalam menyebut beberapa buah karya Kassim seperti Kemarau di Lembah (1967), Universiti Kedua: Kisah Tahanan di Bawah ISA (1983), dan Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam (2022), Dr. Teo Lee Ken sebagai ahli panel kedua, mengimbas kembali ke era tahun 1960-an yang rancak dengan kritikan sastera.

Penulis bebas itu juga bertanya mengapa penulis hari ini tidak berani menegakkan kebenaran, sedangkan kebenaran tidak datang begitu sahaja, sebaliknya perlu dipertahan dan dibela dalam karya-karya mereka.

Turut hadir dalam bicara tersebut termasuklah Pengerusi Lestari Hikmah, Mohd. Rashidi; mantan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; sarjana Dr. Syed Husin Ali dan Prof. Jomo Kwame Sundram, serta penulis/budayawan bebas Raja Ahmad Aminullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.